Tuesday, May 24, 2011

Mesin Pengupas Kelapa


Mesin mengasing sabut kelapa

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar ZULKARNAIN SAIDIN


Mudah mengasingkan sabut kelapa menggunakkan mesin ciptan Dr. Md. Akhir Hamid.

Pokok kelapa dikatakan sebagai pokok seribu guna kerana setiap bahagiannya ada kegunaan tertentu. Batang misalnya boleh dibuat titi, daun untuk ketupat dan lidi penyapu, isi kelapa dan umbut untuk bahan dalam makanan dan terkini santan kelapa boleh menghasilkan minyak kelapa dara.

Biasanya sabut kelapa yang diproses digunakan dalam sektor pertanian terutama kerana ciri-cirinya yang menyerap air selain fiber digunakan dalam industri perabot.

Terdapat dua produk utama yang didapati daripada sabut kelapa adalah cocopeat (habuk sabut) dan coir (fiber panjang).

Biasanya cocopeat digunakan sebagai media tanaman terutama pada sistem fertigasi manakala coir merupakan bahan yang biasa terdapat di dalam tilam, di bawah lapisan karpet, hamparan dan papan penebat.

Kaedah pengeluaran cocopeat dan coir secara tradisional amat merumitkan dan memakan masa yang lama.

Biasanya sabut kelapa akan direndam di dalam kolam selama sebulan kemudian sabut yang diawet tadi diangkat dan ditoskan sebelum dipukul bagi memecahkan dan melembutkannya.

Cocopeat dan coir kemudian diasingkan menggunakan penapis.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan mesin mengasing sabut kelapa bagi memudahkan usahawan kecil dan sederhana memproses sendiri sabut kelapa mereka.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Dr. Md. Akhir Hamid berkata, mesin mengasing sabut kelapa yang bangunkan amat mudah digunakan dan mesra alam sekitar.

Mesin berkenaan boleh memproses dan mengasingkan cocopeat dan coir amat diperlukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengusaha ladang kelapa.

"Mesin mengasing sabut kelapa berupaya memecahkan dan melembutkan sabut dan pada masa yang sana memisahkan fiber coir daripada cocopeat dalam satu operasi," katanya semasa ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Semasa proses berkenaan, jelas Dr. Md. Akhir mesin berkenaan berupaya mengasingkan cocopeat dan coir iaitu dua produk daripada sabut kelapa.

Mesin berkenaan telah direka dengan kapasiti memproses 500 kilogram sabut dalam masa sejam.

"Hanya seorang pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi berkenaan termasuk membungkus cocopeat dan coir," katanya.

Bagi memudahkan operasi, mesin berkenaan dilengkapi dengan drum berpusing dengan diameter 100 sentimeter (sm), pisau untuk memukul serta roda dan beroperasi menggunakan enjin diesel 10 kuasa kuda.

Mesin berkenaan boleh dibawa ke ladang dengan sebuah traktor mini disambungkan kepada mesin pemisah bagi membolehkannya dibawa ke mana-mana saja di dalam ladang.

Mesin mengasing sabut kelapa boleh beroperasi terus di mana saja kerana tidak menggunakan tenaga elektrik.

Fiber coir dan cocopeat boleh diasingkan secara terus semasa proses pengasingan dan kedua-duanya dikumpulkan dalam kotak yang disediakan supaya dapat mengurangkan masa bekerja.

Mesin berkenaan telah direka sedemikian rupa bagi membezakannya dengan mesin yang biasa digunakan di dalam kilang.

Dr. Md. Akhir berkata, mesin mengasing sabut kelapa amat berguna bagi pengusaha tanaman kelapa dan usahawan media pertanian dan bagi individu yang menghasilkan cocopeat bagi kegunaan nurseri sendiri atau menjualnya kepada pihak lain.

"Mesin berkenaan boleh beroperasi terus dari ladang dan memberikan persekitaran yang lebih sihat," katanya.

Mesin mengasing sabut dijangka dapat membantu petani kelapa meningkatkan pendapatan menerusi

nJualan fiber dan cocopeat terus kepada pelanggan seperti kepada pengeluar kerusi kereta dan nurseri.

nProses pemisahan sabut boleh dilakukan tanpa kilang dan mengelakkan pengumpulan sisa di sesuatu tempat dan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar

nTidak terdapat kos tambahan bagi pengangkutan tambahan

Pengguna yang berpotensi menggunakan teknologi berkenaan seperti petani atau penanam kelapa dalam skala kecil, pengeluar fiber coir dan cocopeat komersial dan usahawan dan kecil dan sederhana.

1 comment: