Friday, May 20, 2011

Pasar Karat JB


'barang sentimental' di Pasar Karat

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
pengarang@utusan.com.my


SEMAKIN larut malam, Pasar Karat, Johor Bahru semakin meriah dengan kedatangan pengunjung termasuk pelancong.

TENGAH malam mungkin sunyi di tempat lain. Namun Bazar Johor Bahru (Bazar JB) atau sinonim dengan nama Pasar Karat, ia sentiasa meriah dengan kehadiran warga bandar raya itu dan juga pelancong.

Jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam tetapi lokasi Bazar JB ini terus menerima kehadiran pengunjung sehingga dinihari.

Pembukaannya di Legaran Segget sejak awal tahun 2009 menghidupkan aktiviti di Johor Bahru. Ia dibuka pada pukul 6 petang sehingga 2 pagi pada hari biasa dan 7 pagi hingga 2 pagi pada Sabtu dan hujung minggu.

Konsepnya sangat santai. Penjual hanya perlu membentangkan kain atau kanvas di kaki lima. Jual beli dengan tawar-menawar antara peniaga dan pembeli.

Dari jauh, limpahan lampu kalimantang sangat menarik perhatian bukan saja warga kota malah pelancong baik dari dalam atau luar negara yang berhasrat melihat warna malam di ibu negeri Darul Takzim ini.

Formatnya mungkin sama seperti beberapa uptown atau downtown di Lembah Klang.

Tetapi Bazar JB atau Pasar Karat mempunyai keunikan tersendiri. Ia boleh diibaratkan seperti jualan terbuka muzium.

Daripada barangan antik dan vintaj seperti kipas, piring hitam, beg dan perkakas dapur sehinggalah kamera serta gambar.

Pre-loved item atau barang yang pernah disayangi merupakan istilah digunakan untuk barangan terpakai yang dijual di sini. Nilai sentimental menjadi tarikan setiap barangan.

Sesetengah tapak niaga pula menjual produk tani dan hutan. Ini sekali gus memudahkan pelanggan termasuk jika berhajat untuk membeli binatang peliharaan seperti arnab.

Barangan keperluan juga turut dijual oleh peniaga di sini, seperti dekorasi rumah, minyak wangi, pakaian dan sebagainya.

Seorang pengunjung, Zairul Afendi Zulkifli, 21, kakitangan awam yang menetap di Taman Universiti, Johor Bahru ini selalunya datang ke Bazar JB bersama rakan-rakan.

"Nak buat cincin pun di sini, beli baju murah pun di sini. Pendek kata macam-macam yang dijual daripada barangan dapur sehingga ke ruang tamu, selain kasut dan topi," ujarnya.

Kenny Venison, 24, yang berasal dari Sarawak pula berkata, setiap kali berkunjung ke Bazar JB seolah-olah sedang melalui sebuah muzium terbuka.

Bagi peniaga barangan kosmetik, Izzlahaizan Mohd. Hussein, 26, yang sudah setahun berniaga berkata, prospek berniaga di sini besar kerana pengunjung sentiasa ramai.

"Sejak berniaga di sini, bukan saja dapat ramai pelanggan malah dapat juga 'jiran' baru di kiri dan kanan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Marhayu Ismail, 29, yang mengusahakan jualan baju-baju corak tentera luar negara dan pakaian tidur berkata, tawar-menawar juga adalah antara daya penarik ke bazar itu.

"Hujung minggu memang ramai orang sehingga kadang-kadang sampai ke pukul 3 pagi baru habis mengemas," katanya.

Seorang pengunjung, Nor Mimi Abdul Aris, 25, pula datang ke Bazar JB kerana tertarik dengan produk minyak wangi yang banyak dijual di sini.

1 comment:

  1. salam Tuan,
    pembukaan pasar karat ni dia ad konsep dia tersendiri ke?mksud sy tujuan utama dia bina pasar krat ni.samada nk jadikan jalan tu sbgi culture street ke ap ke.sbb barang2 yg di jual kt situ kbyakannya barangan vintage

    ReplyDelete