Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Sunday, May 29, 2011
Mat Jamil
Keajaiban bakat Mat Jamil
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN
Mat Jamil Ramli
CAMPURAN warna terang dicalitnya secara spontan dan yakin di atas kertas. Tidak sedikit pun berasa terganggu dengan kehadiran pengunjung di sisinya, Mat Jamil Ramli, 26 sebaliknya memberi fokus penuh kepada lukisan di depan mata ketika ditemui di pejabat Artis Pelukis Mulut dan Kaki (MFPA), Ampang Park, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini .
Satu demi satu garisan yang dicalit itu membentuk imej ayam. Usaha anak kelahiran Terengganu sebenarnya layak dipuji.
Lahir dengan tanpa kedua-dua belah tangan, Mat Jamil bukan sahaja tidak mensia-siakan bakat semula jadinya itu, malah dia dilatih untuk menggunakan seni sebagai mengasah daya kreativitinya.
Sejak umur tujuh tahun, dia telah belajar cara bersendirian menggunakan kakinya untuk melukis dan mewarna.
Bekas ahli sukan Paralimpik mewakili negeri Terengganu, dia tidak pernah patah semangat dan percaya kepada kebolehan diri sendiri.
Tiga tahun lalu, dia memenangi Anugerah Khas Panel Penilai Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2008.
Ketika itu, Jamil terharu dan terkejut dengan pengiktirafan kali pertama itu walaupun tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan atas sumbangan ikhlas dalam aktiviti belia.
Mat Jamil yang menyertai MFPA sejak 2003 membuktikan golongan orang kelainan upaya
( OKU ) setanding dengan insan normal lain jika ada kesungguhan dan keyakinan.
“Golongan OKU tidak harus berasa rendah diri. Kita perlu tunjukkan pada masyarakat bahawa kita mampu buat apa yang orang normal buat.
“Apa yang penting ialah kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan mempunyai minat yang tinggi untuk mencapai sesuatu kejayaan," ujar ahli Persatuan Belia Felda Bukit Bading, Terengganu itu.
Sepanjang menghasilkan karya lukisan, Mat Jamil banyak merujuk kepada internet untuk mencari idea-idea baru.
Ditanya bagaimana dia boleh mahir melukis dan melakukan aktiviti harian menggunakan kaki, Mat Jamil berkata, dia sudah biasa melakukannya sejak kecil lagi.
Minat dan bakat yang lahir semula jadi daripada dirinya tidak pernah disia-siakan, Mat Jamil mula terfikir untuk mencari sumber pendapat sendiri.
Atas dorongan keluarga dan rakan-rakan, Mat Jamil yang menyertai latihan kemahiran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Orang Kelainan Upaya di Bangi, Selangor.
Sejak itu, Mat Jamil menghasilkan pelbagai lukisan untuk dijual menerusi MFPA.
Bagi mendapatkan sokongan pelanggan, Mat Jamil akan menulis surat menggunakan kaki sendiri untuk memohon bantuan.
“Sokongan orang ramai dapat membantu diri sendiri dan menggalakkan kami untuk menghasilkan lukisan-lukisan untuk kad ucapan, kalendar dan produk lain. Selain menambah pendapat, hasil belian lukisan dapat membantu saya dan rakan-rakan pelukis mulut dan kaki yang lain meneruskan usaha,” katanya yang meminati lukisan alam sekitar yang menggambarkan kehijauan.
Baginya, melukis dapat memberi kepuasan lebih-lebih lagi apabila berjaya menghasilkan karya seperti yang dia bayangkan.
Berdikari
Anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik ini juga tidak takut hidup berdikari di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur. Walaupun pada awalnya timbul rasa malu dan tersisih, Mat Jamil tidak pernah putus asa.
Kini dia menyewa sebuah rumah dan tinggal dengan kawan-kawan yang normal.
“Alhamdulillah, mereka menerima saya. Sekarang saya tidak ada lagi rasa malu tetapi yakin untuk meneruskan kehidupan.
Kalau saya makan di restoran pun, saya boleh menggunakan tangan seperti orang lain. bahkan menjawab dan menaip pesanan ringkas telefon bimbit pun saya tiada masalah,” katanya.
Nasihatnya kepada OKU yang lain, golongan ini perlu membuang rasa malu kerana peluang untuk berjaya ada di mana-mana sahaja.
Minat lumba kereta
Dalam diam-diam, Mat Jamil sebenarnya peminat setia perlumbaan kereta. Hasil usahanya melukis, dia berjaya mengumpul duit dan membeli sebuah kereta Honda Civic.
Mungkin rama yang tertanya-tanya, bagaimana seorang pemandu kereta tanpa tangan memandu kereta? Bagi anak muda ini, tiada yang mustahil jika ada usaha dan kesungguhan.
Selain menyertai Kelab Honda Civic Malaysia, Mat Jamil telah melakukan ubah suai keretanya supaya dia dapat memandunya.
Mungkin tidak seperti keadaan kereta lumba lain, Mat Jamil berhasrat impiannya itu akan tercapai suatu hari nanti.
“Saya memang meminati dunia permotoran atau kereta ini sejak kecil lagi. Alhamdulillah, saya berjaya mengumpul duit dan membeli sebuah kereta. Selain memenuhi impian, saya juga dapat pergi ke mana sahaja termasuk balik ke kampung, Terengganu dengan memandu diri sendiri,” katanya sambil tersenyum.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment