Tuesday, March 8, 2011

Bisnes sendiri


Azlin tinggalkan zon selesa

Oleh SHOLINA OSMAN

Azlin Ahmad Shaharbi

Sampai bila perlu makan gaji? Ayat ini mungkin tidak pernah dipedulikan oleh mereka yang sudah berada di 'zon selesa' walaupun kadangkala pernah dicuit oleh persoalan itu.

Begitu pun, mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan duduk di rumah untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi wanita profesional seperti doktor, peguam, arkitek dan jurutera, mungkin sesuatu yang agak merugikan.

Apatah lagi dengan jumlah tenaga wanita di bidang profesional di negara yang masih jauh berkurangan.

Bagaimanapun negara tidak akan rugi jika wanita profesional ini berhenti kerja disebabkan enggan makan gaji tetapi memilih untuk menyambung profesyen dengan membuka syarikat sendiri.

Langkah wanita profesional seperti ini wajar dijadikan contoh kepada wanita lain di luar sana supaya tidak mensia-siakan kebolehan yang dimiliki.

Datuk Azlin Ahmad Shaharbi, 47, pemilik Azlin Shaharbi & Associates juga antara wanita profesional yang bertahan 'setahun' sahaja untuk makan gaji.

Lulusan Sarjana Muda UndangUndang dari Universiti Kent, England ini mengakui kerja makan gaji sebenarnya banyak menyekat kebolehan yang dimiliki oleh seseorang.

"Nama pun bekerja dengan orang, tidak semua idea saya boleh diterima bos tambahan pula ketika itu saya masih muda baharu sahaja tamat chambering,'' katanya ketika ditemui di firmanya yang terletak di 29, Jalan Kent 3 Off Jalan Maktab, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana dalam tempoh setahun itu banyak yang dipelajari walaupun tenaganya diperah habis-habisan.

"Adatlah kerja makan gaji tetapi saya gunakan peluang itu untuk mempelajari selok-belok yang berguna jika ingin membuka firma guaman sendiri,'' katanya.

Walaupun masih baru dalam dunia guaman, Azlin diberikan kepercayaan oleh ketuanya untuk mengendalikan cawangan syarikat di Kajang.

Katanya, daripada situ beliau mula belajar pengurusan firma guaman yang sememangnya memberikan pengalaman begitu berharga.

Akhirnya Azlin nekad berhenti kerja dan bersama dengan seorang rakan kongsi mula membuka firma guaman sendiri di Petaling Jaya mulai 1 Januari 1990.

"Di sini bergunanya pengalaman menguruskan firma guaman dengan semangat untuk memulakan perniagaan sendiri,'' katanya.

Beliau sedar, firma guaman dibuka bukan hanya untuk mencari pelanggan khusus untuk mengendalikan kes-kes di mahkamah sahaja.

Sebaliknya, matlamat Azlin mahu menjadikan firma guamannya turut mengendalikan urusan guaman perbankan dan hartanah.

Cerita Azlin, beliau dan rakan kongsinya terpaksa tebalkan muka serta 'naik-turun' bank untuk memperkenalkan firma mereka dan menyakin pihak bank bahawa mereka juga mampu mengendalikan urusan guaman bagi pembelian hartanah oleh pelanggan.

"Akhirnya kami telah diberi kepercayaan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) sekali gus membolehkan firma kami berjaya mendapat keuntungan dalam tempoh enam bulan,'' katanya.

Pencapaian itu dianggap suatu yang membanggakan memandangkan jangkaan awal beliau dan rakan hanya akan mendapat untung dalam tempoh dua tahun beroperasi.

Kini usia firma guaman miliknya telah mencecah 23 tahun.

Dalam keserasiannya dengan dunia perniagaan, Azlin yang mempunyai bakat dalam penulisan sehingga mendorongnya menubuhkan HPC Global sejak 10 tahun yang lalu.

"Perniagaan ini juga berasaskan minat terpendam saya dalam bidang penulisan,'' ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

Perkhidmatan HPC Global meliputi bidang penerbitan ( buletin, majalah, buku, laporan tahunan), pemasaran korporat (logo, profil syarikat, brosur, bunting, sepanduk, kalendar meja dan juga papan iklan gergasi), pengurusan majlis dan pameran, seminar dan juga laman web.

"Saya sendiri yang akan memberi idea bukan sahaja untuk membuat lay-out malah juga penulisan untuk majalah dan sebagainya,'' kata Azlin lagi.

Sesuai dengan pengalamannya sebagai peguam dan usahawan, pada tahun 2006 Azlin menulis buku bertajuk Undang-Undang Untuk Usahawan.

Buku yang diedarkan oleh Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) itu, akan diulang cetak dan bakal dilancar sekali lagi pertengahan tahun ini.

"Saya mendapati usahawan di negara ini masih cetek pengetahuan dalam undang-undang berkaitan dengan perniagaan sehingga mudah ditipu.

"Untuk itu saya juga mengendalikan kelas-kelas untuk para usahawan di seluruh negara supaya faham dengan selok-belok undang-undang yang berkaitan perniagaan," katanya.

Sekalipun sibuk menjalankan perniagaan, Azlin tetap mempunyai masa lapang untuk bermain alat-alat muzik seperti piano, gitar, saksofon dan drum.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan wanita yang bercadang untuk menjadi usahawan supaya membuat perancangan yang teliti dan memilih jenis perniagaan yang bersesuai mengikut kemampuan.

"Jangan buka sesuatu perniagaan itu hanya kerana nak ikut orang, sebaliknya berpandukan minat serta kebolehan supaya perniagaan yang dijalankan tidak sekerat jalan,'' katanya.

Ini kerana katanya, walaupun menjalankan perniagaan sendiri nampak mudah, tetapi ia agak mencabar bagi yang berkeluarga khususnya dalam aspek mengendalikan masa.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment