Friday, March 11, 2011

Korporat Waqaf

Jihad Bisnes Waqaf Korporat

Oleh Muhammad Ali
JOHOR Corporation (JCorp) menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) pada 4 Disember 2009. Perjanjian ini mempunyai implikasi besar kepada masa depan JCorp sebagai badan korporat serta perjuangan menjayakan Jihad Bisnes untuk kepentingan bangsa, negara dan umat Islam. Selain memungkinkan JCorp terusmenerus mewakafkan saham syarikat miliknya mengikut kaedah yang diiktiraf sebagai Waqaf Korporat, ia memberi pengiktirafan undang-undang (legitimacy) kepada institusi Waqaf Korporat menerusi penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp).

Pengiktirafan itu memberi laluan kepada WANCorp untuk berkembang menjadi sebuah badan korporat bertaraf wakaf pertama di Malaysia. Dengan taraf ini, iaitu dengan kombinasi kedua-dua kelebihan institusi wakaf dan institusi korporat, WANCorp diyakini boleh menjadi institusi teras kepada usaha memperkasa ekonomi Melayu dan umat Islam Malaysia.

Justeru, WANCorp berpotensi memainkan peranan strategik dalam konteks menjayakan agenda transformasi Melayu Islam dalam konteks Model Baru Ekonomi (MBE).

Ciri utama yang membezakan Waqaf Korporat dengan wakaf harta, wang dan saham terletak pada kaedah pengurusan harta, iaitu yang dimulakan dengan saham syarikat JCorp yang telah diwakafkan. Insya-Allah, langkah ini kemudiannya boleh disusuli pewakafan saham syarikat milik semua pihak (termasuk milik swasta dan GLC lain) yang ingin bersama menjayakan konsep Waqaf Korporat untuk kepentingan jangka panjang bangsa Melayu dan umat Islam amnya.

Ada beberapa matlamat strategik penubuhan WANCorp demi menjadikannya badan korporat pengurus saham serta hal ehwal kepentingan bisnes dalam syarikat yang sahamnya diwakafkan. Antara pertimbangan utama rangka struktur WANCorp disusun seperti itu adalah untuk mengimbangi dua tuntutan asas.

Pertama, konsep struktur pemegang amanah mengurus wakaf wajib memenuhi sepenuhnya syarat asas pewakafan menurut hukum syarak dan syariat. Kedua, ia distruktur sebegitu rupa supaya dapat memenuhi keperluan keberkesanan bisnes dan korporat.

Apapun, Waqaf Korporat perlu distrukturkan supaya dapat menentukan urusan bisnes berjalan licin dalam memenuhi keperluan korporat, umpamanya untuk memangkinkan pertumbuhan menerusi pengambilalihan dan usaha sama (joint venture, merger and acquisition) dapat dipermudah. Semua ini membolehkan syarikat terbabit menambah nilai aset, di samping menjamin kelangsungan bisnes menjana harta kekayaan berpanjangan dan berkekalan.

Kaedah susunan struktur dan sistem pengurusan WANCorp telah diasaskan mengikut amalan korporat swasta (khasnya mengikut acuan Syarikat Awam Tersenarai – PLC). WANCorp juga telah menerima pakai amalan pengurusan terbaik JCorp, terutama aspek urus tadbir korporat terbaik, ketelusan dan kebertanggungjawapan.

Di peringkat awal, semua tanggungjawab mengurus dan mengendalikan hal ehwal bisnes WANCorp telah mendapat kerjasama dan sokongan penuh Kumpulan JCorp yang mana telah terbukti kecemerlangannya. Dalam kata lain, di peringkat permulaan, semua tanggungjawab pengurusan bisnes WANCorp telah diamanahkan kembali kepada pengurusan JCorp. Namun, WANCorp kini dalam proses membentuk barisan pengurusan korporatnya sendiri untuk menentukan ia berdikari dan berautonomi, menepati tuntutan menyempurnakan sepenuhnya amanah mutawwali sebagai sebuah badan pengurusan wakaf.

Tanggungjawab mengurus sendiri aset yang diwakafkan memberi WANCorp kedudukan istimewa, kerana tidak seperti harta wakaf lain, pengurusannya telah diserah amanah kepada WANCorp oleh pihak berkuasa agama negeri. Prinsip menentukan supaya tanggungjawab pengurusan bisnes diserahkan kepada orang yang ahli dalam bisnes sangat penting untuk menempa kejayaan.

Lagipun, ia selaras dengan anjuran Islam yang mengingatkan bahawa sekiranya sesuatu amanah tidak diserahkan kepada yang ahli, pasti mengundang kehancuran dan kemusnahan usaha yang diamanahkan itu. Kita lihat sebelum ini banyak kegagalan umat Islam mengurus aset dan harta, mengakibatkan kebocoran dan kehilangan hak milik, termasuk yang diswastakan kepada mereka. Kemungkinan besar ini berlaku berpunca daripada pengabaian prinsip penyerahan amanah yang tidak menepati anjuran Islam.

Saya yakin inilah antara pertimbangan utama pihak berkuasa agama Johor ketika menerima pembaharuan yang diperkenal menerusi konsep Waqaf Korporat, lalu menyerahkan amanah pengurusan kepada WANCorp sepenuhnya, tertakluk kepada kuasa yang ada pada Lembaga Pengarah serta peraturan dan undang-undang yang membabitkan perjalanan sebuah syarikat awam berdaftar.

Proses penubuhan dan langkah menggerakkan WANCorp telah dijayakan menerusi beberapa peringkat. Langkah pertama JCorp mewakafkan saham kepada WANCorp di bawah konsep ini berlaku pada 8 Julai 2005 apabila 75 peratus saham syarikat Tiram Travels Sdn. Bhd. milik JCorp bernilai RM260,568 (nilai aset bersih) diwakafkan. Tiram Travels terlibat dalam bisnes pengendalian pakej haji dan umrah.

Kemudian, pada 3 Ogos 2006, langkah lebih besar dan berani diambil ketika Datuk Nooh Gadut memegang jawatan Mufti Johor. Sesungguhnya, WANCorp terhutang budi kepada Nooh yang melihat konsep Waqaf Korporat sesuatu yang perlu segera dijayakan demi kepentingan jangka panjang umat.

Langkah kedua ini membabitkan pewakafan saham RM200 juta (nilai aset bersih) dalam tiga syarikat JCorp yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu RM142 juta dalam Kulim Malaysia Bhd. (syarikat memiliki Sindora Bhd. dan rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut serta bisnes minyak sawit, termasuk sebuah anak syarikatnya tersenarai di London Stock Exchange); RM45 juta dalam KPJ Healthcare Bhd. dan RM13 juta dalam Johor Land Bhd. Justeru, secara tidak langsung, WANCorp kini mempunyai kepentingan dalam bisnes antarabangsa dengan nilai berbilion ringgit, terutama menerusi rangkaian restoran KFC yang semua makanan dam minumannya dipastikan halal.

Sekalipun jumlah saham yang diwakafkan sejauh ini masih kecil, potensi untuk terus menambahnya sangat baik, terutama jika WANCorp mendapat sokongan penuh menerusi pewakafan saham (atau wang untuk membeli saham) dari kalangan umat Islam, bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Paling penting, terdapat prospek untuk mengekalkan hak milik saham-saham yang diwakafkan kepada WANCorp, insya-Allah, berkekalan dan berkesinambungan untuk manfaat generasi masa depan, sekali gus memperkasa ekonomi bangsa dan umat.

Pewakafan saham KPJ Healthcare (KPJ) pula menepati cita-cita WANCorp menjayakan Jihad Bisnes yang diperjuangkan di JCorp sejak 1982-2010, dan akan diteruskan untuk kepentingan negara, bangsa dan agama. Ketua Eksekutif KPJ serta barisan pengurusan dan para doktor pakar KPJ daripada kalangan semua bangsa, agama dan keturunan dapat memanfaatkan semangat perkasa Jihad Bisnes ini, sehingga berjaya membina dan mengembangkan bisnes KPJ menjadi pemimpin pasaran. Justeru, konsep Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat tidak eksklusif Muslim, malah sangat inklusif, dan juga tidak menghalang pencapaian tinggi bisnes.

Sesungguhnya, Waqaf Korporat menjanjikan pembaharuan peranan organisasi korporat untuk kepentingan besar masyarakat dan negara. Ini perlu mendapat perhatian, khasnya dalam keadaan krisis ekonomi dunia hari ini akibat kerakusan sistem bisnes dan korporat anjuran kapitalisme Barat.

Jelas sekali Waqaf Korporat diyakini dapat menyumbang terhadap usaha mengimbangi ketidakadilan ekonomi dan sosial dengan menggunakan kaedah institusi Islam.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim

Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan

Islam Malaysia (DPIM) dan Pengerusi Pengasas,

Waqaf An Nur Corporation Bhd. (WANCorp)

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment