Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Tuesday, March 15, 2011
Hobi Jadi Hasil
Hobi jadi pendapatan lumayan
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my
SPESIES katak yang jarang ditemui turut dijual di Newhillz Pets di Kampung Tun Razak, Bukit Katil, Melaka. - utusan/Nas Norziela Nasbah
MELAKA 14 Mac - Hobi memelihara haiwan peliharaan sudah menjadi kelaziman di kalangan peminat haiwan.
Kini, minat untuk membela binatang eksotik semakin meningkat di kalangan masyarakat kerana keunikannya dan memiliki haiwan tersebut memberi satu kepuasan serta kebanggaan.
Terdapat pelbagai jenis binatang yang sering dipelihara dan ia terdiri daripada pelbagai spesies yang jarang ditemui.
Malah terdapat juga binatang peliharaan yang dipelihara bukan sahaja mahal tetapi memerlukan perbelanjaan tinggi untuk menjaganya.
Tidak hairanlah perniagaan haiwan peliharaan menjanjikan pendapatan lumayan.
Pemilik kedai menjual haiwan peliharaan, Rosahairil Tan Roslan Tan berkata, perniagaannya bermula dengan hobi memelihara arnab pelbagai spesies sejak berusia 12 tahun.
Rosahairil, 32, memberitahu pada awalnya dia mula memelihara kucing dan minat terhadap haiwan peliharaan lain bermula selepas itu.
Jelasnya, naluri cintakan alam sekitar dan haiwan telah mendorong dirinya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan.
Menurut pemegang Ijazah Biologi Pemuliharaan pengkhususan Zoologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, minatnya pada haiwan peliharaan membuka perspektif baru apabila berjinak dalam bidang perniagaan pula.
Berbekalkan ilmu yang ditimba semasa masih menuntut, bermula tahun 2008 Rosahairil memulakan perniagaan haiwan Newhillz Pets di rumahnya di Kampung Tun Razak, di Bukit Katil di sini.
Fokusnya lebih kepada penjualan arnab yang terdiri daripada pelbagai spesies termasuk dari baka Holland Lop, Teddy Bear, Lop, Rex, Lion Head dan New Zealand White.
"Pada mulanya saya telah membeli dua ekor arnab kemudian arnab tersebut dibiakkan bagi mendapat anak untuk dijual.
"Bermula dari situ arnab-arnab saya semakin banyak dan permintaan juga bertambah dari semasa ke semasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Rosahairil, nilai pasaran arnab ditentukan oleh baka iaitu antara RM50 dan ada kalanya mencecah hingga RM3,500.
"Baka Holland Lop adalah antara arnab yang bernilai tinggi dan ia terbahagi kepada dua kategori iaitu baka kategori persembahan dan baka kategori pembiakan.
"Baka kategori persembahan lebih mahal terutama kalau salasilah ketulenan bakanya dijaga tanpa kacukan daripada baka berlainan," katanya.
Tambah beliau, arnab yang dipelihara boleh menjangkau usia 9 hingga 15 tahun bergantung kepada teknik penjagaan dan pemakanan yang betul.
Berbeza dengan haiwan peliharaan lain, kos memelihara spesies itu tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi iaitu antara RM30 hingga RM50 sebulan untuk membeli makanan dan perkakas lain.
Selain arnab, Rosahairil juga menjual pelbagai haiwan peliharaan lain seperti ikan laga, ular, kucing, kala jengking, cicak, tarantula, hamster, tikus, kura-kura dan katak.
Dalam pada itu, seiring dengan perkembangan dalam bidang teknologi dan informasi, Rosahairil menggunakan kaedah yang berbeza untuk menjual produknya.
Dia menggunakan teknologi terkini dengan memasarkan arnab secara online menerusi blog, laman sesawang dan laman sosial seperti Facebook.
"Dengan cara ini proses jual beli menjadi lebih mudah kerana pembeli boleh melayari Internet pada bila-bila masa di mana sahaja mereka berada.
"Keadaan ini secara tidak langsung meluaskan lagi ruang lingkup perniagaan dan saya boleh mendapat maklum balas para pelanggan dengan lebih mudah dan pantas," katanya.
Selain itu, Rosahairil turut menjual haiwan peliharaan di Car Boot Sale anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) setiap Ahad di Ayer Keroh.
Pelanggannya bukan sahaja dari Melaka tetapi juga dari Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Jelasnya, memelihara binatang kesayangan bukan sahaja dapat memastikan spesies itu tidak pupus malah dapat dijadikan sebagai punca pendapatan lumayan.
Mengenai perancangan masa hadapan, Rosahairil bercadang mencari tapak untuk membuat taman arnab bagi memperkenalkan baka-baka arnab yang terdapat di seluruh dunia.
Pada masa sama, dia turut merancang untuk menubuhkan kelab pencinta arnab di negeri ini supaya orang ramai mendapat lebih banyak informasi berguna berkaitan haiwan comel itu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment