Tuesday, March 15, 2011

Susu Kerbau


Susu kerbau sumber rezeki

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

Salah seorang daripada enam pekerja mahir yang ditugaskan memerah susu kerbau secara manual setiap hari. - utusan/OPAT RATTANACHOT

PADANG SERAI 14 Mac - Susu segar kerbau yang kaya dengan kalsium, karbohidrat dan rendah kolesterol mampu memberikan tenaga yang lebih kepada manusia.

Disebabkan khasiat tinggi tersebut, masyarakat negara ini sejak turun-temurun percaya bahawa meminum susu kerbau turut mampu mengubati penyakit darah tinggi serta kencing manis.

Namun, susu segar kerbau kini semakin sukar diperoleh kerana minat memelihara haiwan tersebut di kalangan masyarakat desa berkurangan.

Menyedari hakikat tersebut, seorang jurutera elektrik, Rizal Mansor, 45, mengambil inisiatif mengusahakan sebuah ladang kerbau secara moden di Kampung Guar Lobak, Mukim Sidam Kanan, dekat sini.

Hasilnya, ladang yang memulakan operasi pada tahun 2008 itu kini mampu mengeluarkan lebih 200 liter susu kerbau segar setiap hari.

Menurut pengurusnya, Fahrul Radzi Abdullah, 54, ladang seluas 0.8 hektar berkenaan mempunyai 25 ekor kerbau baka Marrah yang diimport dari India.

"Kesemua kerbau ini ditempatkan di dalam kandang dua tingkat berukuran 200 x 60 kaki persegi. Bagi membiasakan haiwan itu dengan habitatnya, kita turut mewujudkan sebuah kubang di dalam ladang.

"Walaupun dipelihara dalam kaedah moden, kubang masih diperlukan bagi membolehkan kerbau berendam di situ dan seterusnya menghasilkan produktiviti yang baik," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, enam pekerja mahir akan ditugaskan untuk memerah susu secara manual setiap hari.

"Proses memerah susu dilakukan dua kali sehari dengan pengeluaran antara 10 hingga 20 liter bagi seekor kerbau," katanya.

Tambahnya, setiap kerbau betina boleh menghasilkan susu secara maksimum dalam tempoh beberapa minggu selepas melahirkan anak.

"Selepas tempoh 300 hari, susu yang dihasilkan akan berkurangan. Namun, dengan perkembangan teknologi, kita telah menyediakan makanan tambahan kepada kerbau terbabit agar terus mengeluarkan hasil tenusu," jelasnya.

Ditanya mengenai kaedah peliharaan, Fahrul Radzi berkata, kerbau import tidaklah begitu sukar dijaga berbanding kerbau tempatan.

"Kita cuma perlu bersihkan kandang setiap hari sebelum kerja-kerja memerah susu dilakukan," jelasnya.

Katanya, untuk memastikan bilangan kerbau bertambah, pihaknya turut menempatkan seekor kerbau jantan bersama dua kerbau betina untuk tujuan mengawan pada satu-satu masa.

Beliau memberitahu, harga pasaran bagi setiap kilogram susu adalah sekitar RM10 sekilogram.

"Permintaan daripada pelanggan amat menggalakkan malah melebihi pengeluaran setiap hari. Antara khasiat meminum susu kerbau ialah menghilangkan keletihan di samping menurunkan kadar hipertensi (darah tinggi) serta kencing manis," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahrul Radzi berkata, ladang ternakan kerbau itu sering menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan peniaga tenusu tetapi para penuntut universiti.

"Ladang ini sentiasa dibuka untuk orang ramai untuk melawat. Selain itu, para pelajar universiti sering menjalankan penyelidikan di sini," jelasnya.

Katanya, pihak ladang turut menggalakkan orang ramai terutamanya petani dan usahawan bumiputera menceburi bidang tersebut yang menjanjikan pulangan lumayan.

"Mereka yang berminat boleh datang ke ladang kami di Kampung Guar Lobak ini pada setiap masa," jelasnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment