Friday, March 4, 2011

Tempe


Tempe Tani diterima ramai

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Yusob Hanapiah bersama isteri, Norhasmah Hussin menyusun tempe di pusat memproses Tempe Tani di Kampung Lubok Ipoh, Malau, Jitra.

KUBANG PASU 3 Mac – Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Begitu juga juadah tempe yang begitu sinonim dengan masyarakat Jawa.

Tempe yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti bahan anti oksida, asid amino, serabut, phytokimia, vitamin B1, B2, B6 dan E kini sudah popular di seluruh negara dan semakin mula diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Tempe yang diperbuat daripada kacang soya mentah yang direbus kemudian dihancurkan sebelum digaul serta diperam bersama ragi.

Selepas itu, tempe akan dibentuk dalam kepingan nipis dan dibiarkan menapai pada suhu sekitar 30 darjah celsius selama kira-kira 48 jam.

Kira-kira 20 tahun lalu, mungkin sukar bagi penggemar tempe di negeri-negeri Utara semenanjung untuk mencari tempe dan mungkin juga ada di antara masyarakat di sini tidak tahu apa itu tempe.

Kesukaran untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat di negeri Kedah diceritakan oleh seorang pengusaha tempe, Yusob Hanapiah, 57, yang menghadapi pelbagai cabaran semasa mula-mula menjadi pembuat dan penjual tempe di negeri ini kira-kira 27 tahun yang lalu.

Yusob yang merupakan anak jati Kampung Lubok Ipoh, Malau di sini memberitahu, sewaktu berumur awal 20-an dia merantau meninggalkan kampung halaman untuk mencari pengalaman hidup sehingga sampai ke kawasan Kota Tinggi, Johor.

“Sewaktu sampai di sana saya cuba rasa satu benda baru yang agak pelik rasanya bagi saya kerana makanan itu tidak pernah saya makan sewaktu di Kedah.

“Setelah saya makan barulah rakan saya beritahu makanan pelik yang saya makan ini adalah tempe yang dibuat masak lemak cili api,” ujarnya ketika ditemui di bengkel membuat tempe di Kampung Lubok Ipoh di sini baru-baru ini.

Yusob yang tertarik dengan keunikan tempe kemudiannya mengambil keputusan untuk mempelajari cara-cara untuk membuat makanan berasaskan kacang soya itu.

Jelasnya, pada mulanya dia memang tidak gemar dengan rasa tempe namun lama kelamaan dia mula jatuh cinta dengan tempe yang mempunyai rasa dan tekstur yang unik.

“Saya belajar cara-cara membuat tempe daripada rakan saya di Kota Tinggi dan kemudiannya saya balik ke Kedah untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat negeri ini.

“Bukan mudah berniaga tempe di sini dan pelbagai pengalaman yang lucu dan menarik dapat saya tempuhi sepanjang menjual tempe bermula pada 1984,” katanya.

Yusob berkata, dia mula berniaga tempe di pasar tani seluruh negeri Kedah dan untuk memperkenalkan tempe buatannya itu dia memasak dan menunjukkan kepada pelanggan cara-cara untuk memakan tempe.

“Pada masa itu memang orang Kedah tidak tahu apa itu tempe dan saya perlu menerangkan kepada mereka apa itu tempe.

“Sewaktu saya mula-mula berniaga tempe, saya balut tempe ini dengan daun pokok leret dan ada seorang warga emas dari Kuala Nerang yang menyangkakan tempe ini kuih lepat pisang lalu dia terus membeli lima bungkus tempe untuk sarapan.

“Kemudian, saya nampak dia pergi ke kedai kopi dan membuka pembalut tempe untuk memakannya mentah-mentah. Apabila saya teringatkan peristiwa ini memang saya akan ketawa,” ujarnya.

Jelasnya, lama kelamaan setelah Universiti Utara Malaysia (UUM) dibuka di kawasan Kubang Pasu barulah tempe buatannya dikenali ramai ekoran daerah ini mula didatangi dan diduduki oleh masyarakat dari seluruh negara terutama dari tempat yang tempe sudah popular seperti dari selatan Semenanjung.

Kini, dengan menggunakan jenama Tempe Tani, Yusob boleh tersenyum kerana usahanya untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat di negeri ini sudah berjaya.

“Saya tidak lagi berniaga di pasar tani dan tempe-tempe yang dibuat oleh saya kini diambil oleh pemborong-pemborong untuk dipasarkan di sekitar Kubang Pasu.

“Saya bersyukur kerana tempe buatan saya semakin dikenali dan dengannya saya mampu membesarkan tiga orang anak,” katanya.

No comments:

Post a Comment