Tuesday, March 8, 2011

Koperasi Hijjaz

Hijjaz tubuh koperasi


KUMPULAN Nasyid Hijjaz mengorak langkah ke hadapan dengan menubuhkan koperasi yang sudah diluluskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Koperasi yang ditubuhkan di Terengganu itu diberi nama Koperasi Muamalat Bersatu Terengganu Bhd (KMBTB).

Buat masa ini, ia beroperasi di Tingkat 3, Bangunan Paya Keladi, Kuala Terengganu dan keahliannya terbuka terutamanya kepada semua rakyat negeri Terengganu. Ketua kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata, penubuhan koperasi itu bertujuan mengajak ahlinya berniaga di samping memberi kesedaran kepada mereka mengenai muamalat secara Islam dan halal.


“Antara aktiviti perniagaan yang dirancang termasuk menceburi perniagaan pengeluaran dan pemasaran produk kesihatan berasaskan herba yang akan menggunakan Hijjaz sebagai strategi penjenamaan.

“Sudah tiba masanya untuk Hijjaz menyumbang kepada masyarakat yang banyak menyokong Hijjaz dalam bidang nasyid. Kami selalu memikirkan apakah cara terbaik untuk membantu masyarakat semula,” katanya. Menjelaskan kenapa Hijjaz menubuhkan koperasi di Terengganu, Isman berkata, faktor peminat yang aktif di sana antara salah satu sebabnya. “Bagaimanapun, sebab utama kerana Hijjaz sendiri yang banyak mengadakan persembahan di Terengganu dan melihat potensi perniagaan yang amat baik di sana. Terengganu adalah permata di Pantai Timur dan sangat bagus untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan di sana,” katanya.


Dalam perancangan jangka panjang pula, KMBTB akan menukar operasinya ke seluruh negara selepas ditukarkan kepada Koperasi Muamalat Bersatu Malaysia Berhad. Keahlian kini dibuka dengan hanya membayar RM20 yuran keahlian sekali seumur hidup dan modal saham sebanyak RM500. Mereka yang berminat boleh menghubungi Pegawai Koperasi, Syed Amir Farhan di 012-344 2434 (Wilayah Tengah), Nurul Izza (019-9971592 / Wilayah Timur), Junaidi (012-7811149/ lain-lain kawasan).

No comments:

Post a Comment