Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Sunday, March 27, 2011
Syarikat 'Hantu'
Syarikat ‘hantu’ Suhaimi menjadi
Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my
DIDIK...antara program Ride It Right yang mengajar penunggang untuk menunggang dengan selamat.
KETIKA ditubuhkan, syarikat�nya dianggap sebagai syarikat ‘hantu’ kerana ha�nya wujud pada namanya saja tanpa ada sebarang aktiviti perniagaan dijalankan.
Malah, sejak didaftarkan pada 1997, nama Eramaster Resources (M) Sdn Bhd (Eramaster) langsung tidak mempunyai sebarang pejabat dan pekerja. Bila menyentuh me�ngenai syarikat berkenaan, pastinya ramai akan tertanya ia terletak di mana dan menjalankan perniagaan apa.
Namun, siapa sangka, lapan tahun menjadi syarikat ‘hantu’, kini Eramaster mampu berdiri megah sebagai sebuah syarikat yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan khusus membabitkan khidmat nasihat dan pengurusan acara, pengiklanan, reka bentuk grafik serta pembekalan barangan cenderahati.
Lebih membanggakan lagi, Eramaster kini mampu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ apabila mempunyai dua rangkaian anak syarikat iaitu Ride It Right Management (M) Sdn Bhd dan SMI Motorsport Center yang khusus dalam bidang permotoran.
Ketua Pegawai Eksekutif�nya, Suhaimi Abd Jalil berkata, segala-galanya bermula sewaktu beliau bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di negara ini.
Oleh kerana pekerjaannya waktu itu adalah bagi menguruskan sebarang program dan acara syarikat, minat untuk memiliki syarikat sendiri sentiasa bermain di kepalanya.
Minatnya itu juga disulami dengan pendidikan tertinggi yang dimilikinya iaitu Sarjana Pengurusan Perniagaan.
“Sebenarnya, minat untuk membuka perniagaan sendiri wujud sejak saya belajar lagi. Cuma pada waktu itu saya tidak pasti perniagaan apa yang saya ingin buka.
“Tetapi, bila ditawarkan bekerja di sebuah syarikat dan terbabit dalam menguruskan atur cara majlis serta program selama kira-kira 12 tahun, saya mula terfikir untuk membuka sendiri sebuah syarikat yang menguruskan setiap acara bagi syarikat lain,” katanya.
Menurutnya, ini kerana, sepanjang pengalaman yang diperoleh�nya sewaktu makan gaji, sukar bagi sesebuah syarikat untuk menguruskan sesuatu atur cara majlis secara langsung, sebaliknya ada yang akan mendapatkan khidmat jururunding atau menyerahkan tugas berkenaan kepada syarikat yang khusus menjalankan pengurusan acara.
“Waktu makan gaji inilah saya kutip pengalaman serta kenalan yang ada kerana saya percaya ia peringkat penting untuk membina sebuah perniagaan.
“Saya belajar menilai dan me�ngamati bagaimana sesuatu kerja itu dilakukan bermula dari A hingga Z dan bagaimana setiap masalah itu ditangani,” katanya.
Oleh kerana minat yang menebal selain ‘sedikit’ pengalaman yang ditimbanya itu, dia akhirnya memulakan langkah pertama dengan mendaftar nama syarikat miliknya.
Suhaimi berkata, pendaftaran nama syarikatnya itulah yang me�nguatkan impian untuk menjalankan perniagaan secara nyata.
“Sebenarnya, kekangan saya waktu itu adalah kerana kekura�ngan modal untuk menjalankan perniagaan sendiri.
“Bagaimanapun, ada masanya saya melakukan juga sebarang kerja sambilan yang mudah dengan mengambil upah daripada kawan-kawan rapat yang meminta untuk membekalkan barangan cenderahati, mereka bentuk grafik serta melakukan kerja cetakan iklan yang mudah,” katanya.’
Bagai ‘orang mengantuk disorong�kan bantal’, Suhaimi mengakui tawaran skim pemisahan sukarela (VSS) oleh syarikat tempatnya bekerja memberi lembaran baru dalam merealisasikan cita-citanya itu.
Sebelum menamatkan khidmat�nya pada 2005, dia mula merangka beberapa kerja dengan mencari pelanggan serta menyewa sebuah kedai kecil bagi menjalankan urusan perniagaannya.
“Mungkin bagi orang lain VSS itu sesuatu yang tidak disukai, tapi bagi saya, ia ibarat bulan jatuh ke riba. Imbuhan yang diberikan itulah saya jadikan modal untuk menggerakkan perniagaan dengan nilai seba�nyak RM50,000.
“Saya masih ingat waktu saya menamatkan karier saya adalah sehari sebelum jatuh�nya cuti Hari Pekerja. Esoknya, selepas cuti berkenaan, saya terus mengorak langkah dengan melakukan kerja sendiri dengan mencari projek kecil-kecilan daripada bidang cetakan, pengiklanan hinggalah kepada pembekalan barangan keperluan,” katanya.
Sama seperti usahawan lain, beliau mengakui bukan senang mahu senang, langkah pertamanya itulah yang banyak menguji dirinya berikutan tanpa bantuan orang lain, dia terpaksa melakukan semua kerja dalam masa yang sama.
“Masa itu, sayalah kuli, sayalah kerani, sayalah pengurus, sayalah penyelia dan sayalah majikan.
“Malah, hampir setiap hari, saya akan balik ke rumah sekitar jam 3 hingga 4 pagi berjumpa pelanggan dan terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana isteri serta anak-anaknya memahami situasi yang dihadapinya dan tidak pernah mempersoalkan tindakannya yang banyak menghabiskan waktu dengan bekerja.
Berkat kesabaran, syarikatnya itu mula berkembang apabila ramai pelanggan yang mula mendapatkan khidmat daripadanya sama ada untuk mencetak iklan, menjadi jururunding majlis atau menguruskan majlis mereka.
“Waktu itu saya hanya me�nyewa saja. Oleh kerana mahu menjimatkan kos, saya kongsi sewaan bangunan dengan syarikat lain yang dibahagi dua dan mengupah seorang pekerja bagi membantu urusan pejabat terutamanya jika ada pelanggan yang datang,” katanya.
Ternyata, berkat pengalaman serta kenalan yang diperoleh sewaktu bekerja makan gaji, perniagaannya boleh dikatakan berjalan lancar apabila diberi tawaran untuk menguruskan atur cara bertaraf dunia membabitkan Perlumbaan Japan GT dan Marlboro Motor Grand Prix pada 2005.
“Ketika mendapat tawaran, memang kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Saya terima dengan tekad bagi membuktikan saya boleh melakukannya dan ternyata ia berhasil.
“Malah, tawaran itulah juga yang menjadi batu loncatan kepada saya untuk menguruskan atur cara bertaraf dunia yang lain,” katanya.
Peluang yang diterimanya itu ternyata banyak membantu meluaskan perniagaannya apabila sehingga kini mempunyai 40 pekerja tetap selain membiayai gaji pekerja sementara sehing�ga 150 orang pada satu-satu masa bergantung kepada
atur cara majlis yang diuruskannya.
Lebih membanggakan lagi, dia kini turut mempunyai wisma perniagaan sendiri bagi membantu melicinkan urusan yang kini bukan hanya terhadap kepada pengurusan atur cara majlis, cetakan iklan atau reka bentuk grafik, tetapi juga diperluaskan dalam bidang permotoran.
Sebagai individu yang bermula dari bawah, Suhaimi percaya, selain memerlukan pengorbanan, komunikasi dua hala bersama pekerja serta pelanggan, pengalaman bekerja sebagai orang bawahan amat penting bagi individu yang ingin berjaya dalam perniagaan.
“Ini kerana saya percaya, bila kita buat kerja bawahan itu sendiri, kita tahu di mana batas kesukarannya selain kita tahu apa yang kurang.
“Ini penting bagi mengelakkan kita ditipu oleh pihak lain atau pekerja itu sendiri,” katanya.
PROFIL
NAMA: Suhaimi Abd Jalil
USIA: 40 tahun
TARIKH LAHIR: 12 Ogos 1971
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
PENDIDIKAN: Sarjana Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eramaster Resources (M) Sdn Bhd
STATUS: Berkahwin
ISTERI: Suzilyanna Abdul Shariff, 40.
ANAK: Syahril Naim (17), Hanan Syafie (10) dan Nur Izzah Liyana (7)
Kongsi artikel ini men
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment