Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Tuesday, March 15, 2011
Kerepek Saodah
Sikap positif Siti Saodah bawa kejayaan
SITI Saodah Hanapi (kanan) bersama produk kerepeknya di tapak Pameran Program Amal di Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN 14 Mac – Seorang suri rumah dari Felda Panching Utara di sini bangga apabila perusahaan kerepeknya semakin berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan.
Sikap positif Siti Saodah Hanapi, 44, sejak menceburi bidang itu membuahkan hasil apabila dia mampu menubuhkan syarikat sendiri, Sri Bagus Enterprise.
Katanya, syarikat tersebut ditubuhkan pada 2002 dan beroperasi di sebuah bengkel berhampiran rumahnya di tanah rancangan itu.
Menurutnya, walaupun sibuk melayan kerenah lima anaknya termasuk tiga kembar berusia lapan hingga 25 tahun tetapi ia tidak menghalang untuk memastikan perniagaannya berjalan lancar.
“Bermula secara kecil-kecilan iaitu menjaja dari rumah ke rumah dan pejabat serta pekan sehari, kini perusahaan itu semakin berkembang sehingga mendapat permintaan tinggi terutamanya pada musim perayaan.
“Apa yang istimewanya produk terbabit mendapat sijil halal dan kebelakangan ini saya sering mendapat tempahan termasuk dari luar daerah dan negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Jelasnya, antara produk yang dikeluarkan ialah ubi pedas, popia perisa, kerepek bawang, buah rotan berperisa, kerepek pisang enak, kuih siput dan bangkit kelapa istimewa.
Isteri kepada peneroka, Abdul Malek Isa, 50, ini berterima kasih kepada Felda dan kerajaan kerana memberi peluang kepadanya menceburkan diri dalam bidang tersebut.
Mengimbas sejarah perniagaannya katanya, perniagaan tersebut bermula secara kecil-kecilan di samping membantu menambah pendapatan suami yang bekerja sebagai peneroka.
Tambahnya, dengan sedikit modal dan bantuan daripada kerajaan negeri dia menjalankan perniagaan tersebut di samping mendapat dorongan daripada suami dan rakan-rakan.
Hasil kerja kerasnya, dia bersyukur kerana memiliki sebuah bengkel sendiri dengan bantuan enam pekerja yang kesemuanya adalah suri rumah di tanah rancangan itu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment