belanja RM40,000 baik pulih basikal klasik
Tarikh : November 24, 2011
Abdullah Thani Ibrahim, 57, dari Seberang Perak, Alor Setar, berkata, dia tidak pernah menganggap wang yang digunakan untuk tujuan itu sebagai satu pembaziran sebaliknya berbangga kerana dapat menyimpan koleksi antik yang kini jarang ditemui lagi.
Menurutnya, kos membaik pulih lebih mahal berbanding harga sebenar basikal yang dibeli sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sahaja daripada pemilik asalnya.
Selain itu, ada antara basikal berkenaan sudah tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Proses membaik pulih dilakukan secara berperingkat-peringkat dan selalunya dia akan meluangkan lebih banyak masa untuk mencantikkan semula basikal termasuk mencari barangan diperlukan di kedai.
“Namun daripada 30 jenis yang berada dalam koleksi saya, 15 model sudah dijual kepada rakan-rakan berminat manakala 15 buah lagi akan terus disimpan termasuk dipamerkan kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.
Basikal tahun 1967 harga RM20 masih disimpan
Abdullah berkata, basikal keluaran 1967 yang dibeli dengan harga RM20 meninggalkan nostalgia tersendiri dan sukar dilupakan walaupun sudah berpuluh tahun disimpan.
Menurutnya, basikal berkenaan adalah basikal pertama yang menjadi koleksinya. Kebetulan pula ia merupakan hadiah daripada ibunya kerana melihat dia terlalu meminati basikal sejak tingkatan satu.
“Mungkin ramai yang tidak percaya kerana terlalu sayang pada basikal ini saya sanggup menukar cat pada basikal hampir setiap minggu dengan menggunakan teknik sapuan tangan. Memang puas melihat basikal sentiasa bertukar warna.
“Dalam tahun sama, saya turut mengikut abang berkonvoi dengan basikal mengelilingi Pulau Pinang sementara pada tahun 1969 dengan seorang lagi abang menjelajah Pulau Langkawi,” katanya.
Menurut suami kepada Sabariah Suid, 57, baginya hobi itu bukan sahaja dapat menghilangkan tekanan kerja tetapi dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Ketiga-tiga anak saya turut meminati hobi ini dan cucu saya berumur dua tahun gemar dibawa bersiar-siar menaiki basikal pada waktu petang atau hujung minggu,” katanya.
Koleksi basikal klasik keluaran England
Berbanding koleksi keluaran negara lain, ternyata dia lebih berminat untuk mengumpulkan koleksi basikal klasik keluaran England kerana dianggap unik dan kualiti lebih tahan lama.
“Antara koleksi basikal seperti Axe Cycle (1905) nilai pasaran RM12,000 diperbuat daripada tembaga, The Sevoreign Cycle (1938) buatan Birmingham England dengan nilai pasaran RM3,800, BSA (1957) nilai pasaran RM5,300.
“Sementara itu, model Raleigh (1959) nilai pasaran RM4,600, Hercules (1965) basikal menyerupai motosikal berkuasa tinggi dengan nilai pasaran semasa RM2,300,” katanya.
Basikal model BSA merupakan antara model kegemarannya untuk digunakan membuat kayuhan solo kerana disifatkan lebih serasi serta selesa dikendalikan.
Dia sebelum ini pernah membuat kayuhan solo selama empat hari pada 2009 sempena Kembara Merdeka mengelilingi Kedah. Sementara pada tahun lalu menggunakan basikal yang sama ke Putrajaya selama lima hari bagi kayuhan solo guru.
“Saya turut menyimpan cita-cita untuk mengelilingi dengan kayuhan solo di seluruh semenanjung Malaysia selepas bersara pada tahun hadapan,” katanya.
Dia yang juga ahli Kelab Basikal Klasik Kedah turut berhasrat untuk menjadi fasilitator kepada pelajar sekolah melalui kerjasama pelbagai pihak untuk menarik minat kepada mereka lebih meminati dunia basikal klasik.
“Saya percaya usaha ini akan membuahkan hasil kerana mengikut trend remaja semakin berminat dengan dunia basikal tetapi minat itu kita cuba ubah kepada basikal klasik,” katanya.
No comments:
Post a Comment