Usahawan wanita berjaya perlu jadi mentor ibu tunggal
MELAKA 3 Nov. - Usahawan wanita yang telah berjaya disaran menjadi mentor kepada ibu-ibu tunggal yang berminat menceburi bidang keusahawanan sebagai membantu usaha kerajaan melahirkan usahawan wanita yang berdaya saing.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Che Azizah Che Rashid berkata, penglibatan usahawan wanita dalam membantu ibu tunggal dilihat sebagai kaedah berkesan dalam membantu golongan terbabit.
"Saya berharap usahawan wanita sama-sama berkongsi kebolehan dan pengalaman serta tidak seharusnya ada sikap dengki di antara satu sama lain demi memperkasakan golongan wanita dalam sektor ekonomi," katanya.
Beliau berucap pada majlis penutupan Program Dialog Memperkasakan Ibu Tunggal 2011 di Ayer Keroh di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Datuk Norpipah Abdul.
Che Azizah berkata, ibu tunggal tidak boleh bergantung kepada bantuan kebajikan semata-mata tetapi perlu memperkasakan keupayaan masing-masing dengan menceburi bidang keusahawanan sebagai salah satu sumber pendapatan.
Justeru itu katanya, golongan berkenaan haruslah merebut peluang untuk memperkayakan ilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan melalui pelbagai program yang dianjurkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pembangunan Wanita.
"Pelbagai program dianjurkan jabatan, antaranya penerangan mengenai skim bantuan kebajikan, program keusahawanan dan kemahiran perniagaan yang patut disertai oleh golongan ibu tunggal yang berminat menceburi bidang perniagaan," katanya.
Menurutnya, usaha menggalakkan penyertaan ibu tunggal dalam bidang keusahawanan ini juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan 4,000 usahawan wanita menjelang tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment