Pengajaran gaji RM10 sehari
Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 16 Nov. - Muhaimin Salleh mengetahui segala ilmu dan teknik menanam nanas hasil pengalaman bekerja dengan pengusaha Cina di Simpang Renggam selama setahun setengah dengan gaji RM10 sehari.
Muhaimin, 48, berkata, kerana ingin menimba ilmu dan pengalaman, dia tidak menghiraukan jumlah gaji diterima itu.
Ini kerana katanya, matlamat utamanya adalah menjadi pengeluar dan usahawan nanas yang berjaya.
Bagaimanapun, hasratnya untuk mengembangkan penanaman nanas sekitar Muar tersekat kerana ketiadaan modal.
"Namun akhirnya nasib saya berubah pada 2002 dengan pertolongan daripada abang, Hassan Salleh, 51, yang turut yakin penanaman nanas dapat memberi hasil dan pulangan lumayan.
"Hassan bertindak sebagai rakan kongsi dan berjaya mendapatkan pinjaman modal sebanyak RM28,000 daripada Bank Pertanian di samping menguruskan pengambilan pekerja Indonesia.
''Gandingan kami kini di landasan betul dengan kejayaan mengusahakan ladang nanas seluas 45.6 hektar menggunakan tujuh pekerja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Muhaimin, ladang milik mereka di Batu 13 1/2 Air Hitam, Muar menghasilkan dua jenis nanas iaitu Morris dan Josapine pada kadar pengeluaran memuaskan berikutan bantuan dan khidmat nasihat daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Lebih membanggakan, katanya, usaha dia dan abangnya itu diperluas dengan penanaman nanas secara komersial selepas mereka berjaya mendapat persetujuan 26 orang pemilik untuk menyertai projek tersebut.
"Bukan mudah untuk menjalankan penanaman ladang besar-besaran kerana ia memerlukan modal yang tinggi untuk membayar sewa tanah, gaji pekerja, kos baja dan racun selain kelengkapan pertanian, " katanya.
Menurut Hassan, nanas jenis Josaphine adalah yang paling banyak ditanam berbanding Morris kerana ia mendapat sambutan baik di pasar-pasar segar.
Sehubungan itu dia memutuskan untuk menambah keluasan tanaman nanas jenis itu sehingga kadar pengeluaran meningkat 3,000 biji seminggu.
Katanya, pelbagai cabaran telah dilalui dia dan abangnya seperti lambakan nanas pada tahun 2004 membuatkan tanaman itu tidak laku.
Tambahnya, banjir besar pada awal 2007 menyebabkan pokok nanas mati dan kerugian besar.
"Cabaran dan ujian yang kami hadapi tidak melemahkan semangat, sebaliknya kami bangkit dan melakukan penambahbaikan termasuk memasang pagar elektrik bagi mengelakkan serangan babi hutan yang merosakkan tanaman nanas.
''Kami turut memperbaiki sistem pengairan ladang serta menurap jalan bagi memudahkan urusan pengangkutan," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment