Monday, November 7, 2011

doktor jelita

Fatin Liyana bakal doktor jelita


Fatin Liyana


PAGI Aidiladha mengingatkan Nur Fatin Liyana Asri kepada kenangan menyambut hari kebesaran bagi umat Islam itu di perantauan.
“Tiga tahun menuntut di Bandung, sepanjang tempoh itu saya menyambut Aidiladha di sana. Sebenarnya kemeriahan sama sahaja.
“Kami bergotong-royong bersama pelajar-pelajar lain mengerjakan ibadah korban tanpa bantuan pihak universiti. Semuanya dilakukan sendiri daripada mendapatkan lembu, sembelih, melapah dan mengagihkan daging korban kepada fakir miskin. Bagi saya, itu semua pengalaman yang sukar dilupakan ketika di tempat orang,” kata gadis berusia 22 tahun ini.
Mesra disapa Fatin, dia kini sudah pulang ke tanah air, menyambung pengajian yang berbaki tiga tahun lagi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebagai pelajar jurusan perubatan kerjasama antara UKM dan Universitas Padjajaran, Bandung, gadis berasal dari Seremban itu juga melalui pelbagai kenangan yang sukar dilupakan. Antaranya ketika ditugaskan menjalani program khidmat masyarakat di kawasan pergunungan terpencil di daerah itu.
“Bayangkan keadaan mereka yang terlalu daif sehingga langsung tidak mempedulikan soal kesihatan. Apa yang lebih penting bagi mereka hanya survival demi sesuap nasi.
“Disebabkan tidak biasa mendapatkan rawatan, mereka sangat menghormati dengan memanggil kami doktor walaupun hakikatnya kami masih lagi pelajar dalam bidang perubatan,” kata beliau.
Di sebalik karier serius yang menanti beliau, Fatin sebenarnya sangat meminati dunia peragaan dan terlibat dalam bidang tersebut sejak dua tahun lalu.
Baginya, itu semua tidak mengganggu tugas hakiki kerana dia bijak membahagikan masa. Fatin hanya hadir ke sesi fotografi ketika bercuti. Malah ketika bertugas juga, anak kedua daripada empat adik beradik itu tetap selesa mengenakan pakaian ringkas dan berkaca mata seperti pelajar yang lain.

No comments:

Post a Comment