Thursday, November 3, 2011

fairuz delight

Fairuz Delight tawar pelbagai jenis kek, biskut
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 1, 2011
Fairuz Delight
Minat yang mendalam terhadap pembuatan kek mendorong Siti Nur Fairuz Shuid menubuhkan Fairuz Delight yang menawarkan pelbagai jenis kek, biskut dan tart.

Beliau berkata, Fairuz Delight hanya beroperasi melalui rumah yang terletak di Pulau Pinang menerusi tempahan yang dilakukan orang ramai.

Berikutan itu, Fairuz tidak menetapkan sasaran untuk membuka kedai jualan, namun menanam hasrat untuk menjadi tenaga pengajar suatu masa nanti.

Pada masa ini, katanya, Fairuz Delight menawarkan pelbagai kek, biskut dan tart seperti kek coklat, kek kukus, cheese tart dan tart nanas.

“Kesemua kek dan biskut ini hasil tangan saya sendiri, malah bagi tart nanas jemnya juga saya buat sendiri,” katanya.

Menurutnya, kek-kek dan biskut itu mendapat permintaan menggalakkan, terutama ketika musim cuti sekolah atau majlis-majlis keraian seperti perkahwinan dan hari jadi.

Fairuz pernah menghentikan sementara perniagaan ini selepas berkahwin dan mempunyai anak, namun disebabkan minat yang begitu kuat sejak di bangku sekolah lagi, dia menyambung semula bisnes berkenaan.

“Saya mula membuat kek sejak dari bangku sekolah lagi dan ibu menjadi tukang ajar kepada saya,” katanya.

Fairuz berkata, untuk mengaktifkan semula bisnes itu, dia bercadang menyertai mana-mana ekspo atau Karnival Usahawan Desa (KUD) untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan melebarkan sayap perniagaannya itu.

Beliau juga menyertai skim galakan usahawan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian dan Felcra Berhad (Felcra).

“Felcra banyak membantu saya dari segi khidmat nasihat dan kursus-kursus dianjurkan, manakala Jabatan Pertanian menolong dari segi penyediaan alat kemudahan seperti ketuhar pembakar,” katanya.

No comments:

Post a Comment