Tuesday, November 22, 2011

pasar online

Manfaatkan pemasaran secara online


Nurulhuda Ibrahim menyiapkan grafik logo kelab bola sepak Manchester United yang akan dicetak sebagai gambar gred makanan di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.


KUCHING 21 Nov . - Peluang dalam pemasaran online diibaratkan sebagai 'lautan tanpa tepian' dan ia sepatutnya dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang berhasrat menceburi dunia perniagaan.
Pemilik Cantik Cupcake, Nurulhuda Ibrahim, 29, berkata, walaupun kadar penembusan Internet di negeri ini masih rendah, namun liputannya di bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri adalah menyeluruh.
Justeru katanya, ia menawarkan peluang luas kepada suri rumah tangga sepertinya untuk memulakan perniagaan tanpa modal permulaan yang besar.
"Untuk semua produk saya, pemasarannya hanya dibuat secara online menggunakan laman sosial Facebook, platform laman web percuma dan pengiklanan percuma di Mudah.my.
"Hampir 100 peratus pelanggan saya adalah pengguna Internet dan saya lihat pembelian melalui online adalah trend yang berkembang pesat di negeri ini," katanya di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nurulhuda berkata, melalui laman blog www.cantikcupcake.blogspot.com, beliau menawarkan pelbagai produk berkaitan kek dan biskut, kit menghias kek dan kelas bimbingan pembuatan kek.
Katanya, apa yang penting ialah seseorang pengendali perniagaan secara online perlu kreatif dengan menawarkan perkhidmatan dan produk-produk baru.
Sebagai contoh katanya, Cantik Cupcake menyediakan perkhidmatan penghantaran di sekitar bandar raya ini.
"Kebanyakan tempahan untuk penghantaran diperoleh daripada pelanggan di Semenanjung yang meminta kami menghantar kek dan biskut kepada orang tersayang yang berada di sekitar Kuching.
"Saya puas apabila dapat melihat kegembiraan penerima yang rata-ratanya terkejut dan terharu dan inilah sumbangan kecil saya untuk merapatkan hubungan antara Semenanjung dan Sarawak," katanya.

No comments:

Post a Comment