Berniaga sekadar berkongsi rasa
PERNIAGAAN bukanlah satu bidang yang bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata. Malah hari ini senarionya berbeza apabila rata-rata yang menceburi bidang ini adalah bertujuan untuk memenuhi masa lapang ataupun sekadar suka-suka.
Inilah yang berlaku kepada sekumpulan empat rakan karib Rozita Ahmad Tajuddin, 32, Nur Haliza Hassan, 32, Noor Fitriah Bakri, 32, dan Syarifah Zurina Syed Salim, 32.
Penglibatan mereka dalam bidang ini bukanlah bertujuan untuk menjadi kaya atau mengumpul harta tetapi mereka sekadar ingin berkongsi apa yang mereka ada.
Ternyata penglibatan keempat-empat wanita ini dalam bidang perniagaan tiada sebarang perancangan malah mereka melakukannya secara spontan.
Menurut Rozita, mereka berempat membuat keputusan untuk bergabung tenaga selepas pulang bercuti dari Vietnam.
Sepanjang di sana, selain melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik, mereka turut melawat tempat-tempat membuat baju termasuklah baju kurung.
Setelah meneliti kesemua baju kurung yang dihasilkan berkualiti serta menarik jahitan maniknya, tanpa membuang masa mereka terus bersetuju untuk memasarkan produk tersebut di Malaysia.
"Sekembalinya ke Malaysia, kami terus membuat keputusan untuk memasarkan baju-baju tersebut di Malaysia.
"Ini kerana, selain dibuat daripada kain yang berkualiti, jahitan manik yang dijahit juga kemas dan menarik.
"Dari situlah kami terfikir untuk menjual baju-baju tersebut di sini memandangkan orang kita banyak mengenakan baju kurung apabila ke pejabat," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ternyata percaturan mereka membuahkan hasil walaupun ia baru dipasarkan melalui Internet awal tahun ini.
Hari ini, selain memasarkan produk mereka melalui Internet dan kawan-kawan, mereka juga merupakan pembekal kepada peniaga-peniaga yang terdapat di sekitar Lembah Klang.
Dengan menggunakan jenama Drama Queen, mereka turut memasarkan baju kurung untuk kanak-kanak.
Dalam pada itu, menurut Nur Haliza pula, baju kurung yang mereka jual diperbuat daripada pelbagai jenis kain kapas seperti kain kapas Inggeris, Korea, sutera dan juga linen.
Apa yang menarik apabila membicarakan mengenai latar belakang masing-masing, ternyata tiada seorang pun yang mempunyai asas mahupun pengalaman dalam bidang perniagaan.
Tetapi disebabkan minat selain ingin membuktikan kebolehan masing-masing, mereka tidak kisah untuk belajar dari bawah dan hingga kini mereka berempat masih lagi menimba pengalaman.
"Kami sememangnya tidak mempunyai asas di dalam bidang perniagaan tetapi Alhamdulillah apa yang kami lakukan hari ini seolah-olah terbuka jalannya.
"Kami juga mempunyai kemahiran masing-masing dan setiap seorang akan bertanggungjawab dengan tugas yang diberikan seperti bahagian pemasaran, pengiklanan dan sebagainya.
"Boleh dikatakan masing-masing ada peranan sendiri dan disebabkan itu kami mampu meneruskan perniagaan ini," katanya lagi.
Begitupun, menurut Rozita, hari ini hanya dirinya dan Nur Haliza sahaja yang bermastautin di Kuala Lumpur manakala Syarifah Zurina tinggal di Pulau Pinang dan Noor Fitriah kini bertugas di luar negara.
Walaupun begitu, ia tidak sedikit pun mengganggu perjalanan perniagaan mereka. Kesemua baju kurung siap bagi dewasa dan kanak-kanak boleh dilihat melalui www.dramaqueenscloset.blogspot.com ataupun di facebook.
Bukan itu sahaja malah kesemua produk yang dipasarkan adalah mampu milik kerana harganya berpatutan.
Jangan ketinggalan dapatkan koleksi terbaru mereka setiap tiga bulan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment