Tuesday, November 30, 2010

AHB


PM lancar skim AHB RM1b


Najib Tun Razak menerima sijil Amanah Hartanah Bumiputera daripada Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar selepas melancarkan skim tersebut di Kuala Lumpur, semalam. Turut memerhati, Muhyiddin Yassin. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) hari ini melancarkan skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dengan saiz RM1 bilion yang dibuka jualannya kepada para pelabur bumiputera berusia mulai tiga bulan ke atas.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, unit amanah itu memberi peluang kepada bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak memiliki pegangan dalam sektor hartanah komersial bernilai tinggi dengan pelaburan minimum RM500 sehingga RM200,000.

''Dengan pelaburan ini, para pelabur bumiputera mampu mempunyai pegangan hartanah yang sukar mereka miliki secara langsung,'' katanya yang juga Pengerusi Yayasan AHB pada majlis pelancaran AHB hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir dalam majlis itu.

PHB yang ditubuhkan pada Mei 2006 bertujuan mengekalkan pertumbuhan jangka pendek menerusi pengurusan, pelaburan dan peluasan perniagaan syarikat dalam sektor pelaburan hartanah komersial utama.

Najib berkata, unit-unit AHB ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit juga bersandarkan prinsip patuh syariah, sekali gus membantu Malaysia mengembangkan lagi instrumen perbankan dan kewangan Islam.

''Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa,'' ujarnya.

Unit amanah itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tetapi sekali sebulan

Perdana Menteri juga menyarankan unit amanah itu dipertimbangkan supaya dijadikan hadiah kepada pesara-pesara kerana agihan pendapatannya dijangka lebih lumayan berbanding deposit tetap.

''AHB ini akan memberikan pulangan yang lebih besar dan lumayan, dan lebih baik daripada deposit tetap,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Kamalul Arifin Othman dalam sidang akhbar berasingan berkata, skim amanah itu dijangka mampu memberi pulangan tidak kurang daripada enam peratus berdasarkan pasaran semasa hartanah.

Pembayaran dividen akan dibuat dua kali setahun iaitu setiap enam bulan.

Menurutnya, AHB itu mempunyai lima hartanah yang bernilai RM1 bilion iaitu CP Tower di Damansara, Wisma Consplant di Subang Jaya, bangunan Tesco di Setia Alam, Kompleks Industri di Shah Alam dan Menara SPRM dekat Putrajaya.

Dua lagi hartanahnya, bangunan Bumiputera-Commerce di Jalan Raja Laut dan ibu pejabatnya di Saujana Resort tidak dapat dimasukkan dalam unit itu memandangkan ia tidak mematuhi syariah.

PHB akan menambah lebih banyak hartanah miliknya pada masa depan untuk memaksimumkan pulangan kepada pelabur.

PHB menjangka menambah nilai hartanahnya sebanyak RM500 juta melalui beberapa cadangan pembelian hartanah di sekitar Lembah Klang pada tahun depan, tambah beliau.

Ditanya mengenai langganan minimum sebanyak RM500, Kamalul Arifin berkata, kadar itu adalah munasabah kerana ia membabitkan pelaburan hartanah dan sasarannya adalah kepada pelabur yang serius.

Beliau menetapkan sasaran selama setahun untuk menjual AHB.

Semua langganan AHB boleh dibuat di 400 cawangan Mayban seluruh negara.

Monday, November 29, 2010

Buat Karipap

Karipap rangup


Karipap kentang

DI Malaysia begitu banyak kuih muih yang boleh kita nikmati antaranya, karipap. Keenakannya menjadikan ia kuih yang sesuai dihidangkan di meja makan ketika minum pagi atau petang.

Bagaimanapun kualiti karipap bergantung kepada resipi dan cara membuat inti dan mengadun kulitnya.

Kali ini saya akan mengajar anda teknik membuat karipap kerana ramai yang bertanya kepada saya bagaimana hendak membuat kulit karipap yang rangup dan sedap.

Bahan-bahan asas membuat karipap sangat ringkas iaitu tepung, minyak dan air. Untuk intinya pula kentang, rempah kari dan bawang digunakan.

Teknik mengadun kulit karipap dianggap penting. Anda perlu mencampurkan minyak dahulu bersama tepung dan pastikan ia diadun dengan sebati.

Anda boleh menggunakan marjerin atau mentega cair bagi menggantikan minyak yang dapat menambah rasa lemak pada kulit karipap.

Minyak digaulkan dengan tepung dahulu supaya kulit karipap menjadi rangup apabila digoreng. Ketika proses ini minyak akan membentuk lapisan di antara tepung yang membuatkan kulit karipap rangup.

Selepas digaul bersama minyak barulah masukkan air sedikit demi sedikit dan diuli dengan sebati sehingga membentuk doh yang lembut. Gunakan air biasa sahaja apabila menguli doh.

Doh perlu diuli sekata agar segala bahan bercampur dengan sebati. Pastikan doh tidak terlalu keras atau terlalu lembik. Doh yang diuli perlu direhatkan agar mudah untuk mencanainya nanti.

Untuk inti karipap pula anda boleh menggunakan ubi kentang, ubi keledek atau campuran di antara kentang dan keledek. Jika inginkan inti yang lebih enak boleh campurkan daging lembu atau ayam. Jika tidak, memadai dengan menggunakan udang kering sahaja.

Membuat intinya memang mudah kerana anda hanya perlu menumis bahan-bahan seperti kari dan bahan-bahan tumis lain dan selepas harum masukkan kentang dan masak sehingga kentang empuk.

Pastikan kentang tidak terlalu empuk sehingga menjadi hancur. Ini akan mengurangkan rasa enak pada inti karipap. Proses seterusnya doh dibulatkan dan dicanai setebal 3-4 sentimeter.

Letakkan inti di tengah-tengah dan lipat atau kelim rapat-rapat kulit karipap dengan jari agar inti tidak terkeluar semasa menggoreng. Membuat karipap memerlukan kemahiran terutamanya ketika proses mengelim tetapi kepada mereka yang tidak mempunyai kemahiran ini anda tidak perlu risau! Sekarang sudah ada alat yang dicipta untuk mengelim tepi karipap.

Cendol


Keenakan Cendol Wahab

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Selain cendol biasa, boleh juga dicampurkan dengan bahan-bahan lain seperti ais krim, kacang merah dan jagung.

SIAPA yang tidak kenal dengan Cendol Wahab. Rasa-rasanya kebanyakan orang Kuala Lumpur tahu di mana hendak mendapatkan Cendol Wahab.

Cendol ini sudah wujud sejak tahun 1986 lagi. Ketika itu, pemilik asalnya, Abdul Wahab Mohd. Ismail hanya berniaga menggunakan beca di tepi-tepi jalan.

Kemudian dia bertukar kepada motor roda tiga. Melihat kepada cendol yang tidak pernah mencukupi setiap hari, Abdul Wahab membeli sebuah van dan berniaga di kaki-kaki lima kedai.

Bagaimanapun, itu pun masih belum mencukupi kerana setiap hari pelanggan semakin ramai membuatkan dia tidak menang tangan.

Oleh itu dua tahun lalu, Abdul Wahab mencari sebuah tapak tetap, iaitu sebuah restoran di Rampai Business Park, Taman Seri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur, untuk perniagaan cendolnya.

Jadi tidak perlulah lagi dia berpindah-randah ke sana ke mari. Dengan adanya restoran tersebut, pelanggan boleh menikmati cendol dengan selesa pada setiap masa.

Kini pengurusannya diambil alih oleh anaknya, Mohd. Reza sementara Abdul Wahab sebagai penasihat perniagaan.

''Sebenarnya telah tujuh tahun saya membantu ayah berniaga cendol memandangkan ayah pun sudah tua dan tidak larat lagi,'' kata Mohd. Reza yang ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, sejak adanya restoran itu, perniagaan cendol semakin laris dan restoran sentiasa penuh dengan pelanggan sejak mula dibuka pada pukul 10 pagi sehingga restoran ditutup pukul 1 pagi.

Tambahnya, cendol sekarang bukan hanya dimakan ketika cuaca panas malah waktu malam pun masih ramai yang mahu menikmatinya. Biasanya mereka yang balik daripada bermain futsal, badminton atau pulang kerja lewat akan singgah untuk menikmati cendol sebelum pulang ke rumah.

Menceritakan mengenai keenakan Cendol Wahab, kata Mohd. Reza, resipi asal cendol ini diperoleh daripada kawan bapanya yang juga berniaga cendol.

Kemudian bapanya mengubah sedikit resipi supaya menjadi lebih sedap.

Dia menjelaskan, untuk mendapatkan rasa cendol yang sedap, gula dan santan mestilah pekat.

Dia menggunakan gula Melaka sementara santan yang lemak manis diperoleh daripada kelapa muda.

Walaupun kelapa muda hanya mengeluarkan sedikit santan, rasanya lebih lemak apa lagi ditambah dengan manis gula Melaka. Apa yang penting, santan mesti segar dan tidak dicampur bahan lain.

Selain cendol asli yang cuma dicampur santan dan gula Melaka, terdapat juga pelbagai jenis cendol yang ditambah dengan bahan-bahan lain bagi melazatkan lagi rasanya.

Antaranya pulut, jagung manis, kacang merah, tapai, cincau, bandung, sagu, barli dan ais krim. Pun demikian, cendol asli yang berharga RM2.20 semangkuk masih tetap popular dan menjadi kegemaran ramai.

Kata Mohd. Reza, pada hari-hari biasa restorannya menggunakan sehingga 30 kilogram santan dan bertambah dua kali ganda pada hujung minggu atau jika cuaca panas.

Populariti Cendol Wahab bukan hanya di kalangan penggemar tetapnya, malah sering mendapat tempahan untuk majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, rumah terbuka dan sebagainya.

Selain cendol, Restoran Wahab turut mempelbagaikan jenis makanan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Sambil menghirup cendol yang lemak manis itu, pelanggan juga boleh merasai makanan seperti rojak, mi goreng mamak, mi rebus, nasi goreng dan nasi ayam.

Keistimewaan sajian di restoran itu ialah sambal cili merupakan resipi keluarga yang dibuat sendiri oleh ibunya yang berketurunan Pakistan.

Mengenai perancangan masa depan Cendol Wahab, kata Mohd. Reza, dia kini dalam perancangan untuk membeli beberapa buah lori pick-up untuk berniaga di luar serta menambah cawangan Restoran Wahab.

Asam Jawa


Jus Asam Jawa Kelantan digemari di Perth


Patimah Abu Hassan menunjukkan jus asam jawa asli keluaran Syarikat Warisan Kerongsang Ibu di MAHA 2010 di Serdang, semalam.

SERDANG 28 Nov. - Penyertaan Syarikat Warisan Kerongsang Ibu Sdn. Bhd ke Perth sempena penganjuran 1Malaysia Best Carnival baru-baru ini, telah membuka pasaran baru bagi produk keluaran syarikat itu.

Pengurus Produknya, Patimah Abu Hassan berkata, produk jus asam jawa asli yang dibawa ke pameran itu mendapat sambutan menggalakkan dan habis dijual pada hari pertama karnival itu.

"Sebanyak 200 botol habis dijual dan saya turut mendapat tempahan daripada rakyat Malaysia yang menetap di sana.

"Oleh itu, pada Januari ini, kami akan mula menghantar jus asam jawa bersama produk-produk halal lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerai Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) yang dibuka sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Eksekutif Komita, Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohammed membawa pelbagai jenis produk makanan tempatan ke Australia sempena karnival itu.

Hasil kunjungan itu menurut Patimah, beliau bersama beberapa usahawan lain kini dalam proses menyiapkan dua kontena produk halal yang akan dihantar ke Australia pada Januari depan.

Menurut Patimah, jus asam jawa asli yang dihasilkan di Kota Bharu, Kelantan itu turut mempunyai khasiat termasuk menyembuhkan luka, bisul, membuang sisa-sisa toksik dan boleh mengurangkan ketagihan rokok.

Selain jus asam jawa asli, antara produk lain yang akan dihantar oleh syarikat itu ke Perth tahun depan adalah produk makanan kering seperti murtabak, karipap, kerepek ubi kayu, sos tiram, kicap dan juga sos lada hitam.

"Kunjungan ke Australia baru-baru ini telah membuka satu lembaran baru terhadap syarikat ini. Rupa-rupanya ramai rakyat Malaysia yang menetap di sana yang begitu menggemari dan rindu kepada produk Malaysia.

"Jadi, kita telah berjaya meneroka pasaran baru dengan bantuan kerajaan dan Komita. Pada masa sama, kami juga meningkatkan kapasiti pengeluaran jus asam Jawa asli untuk menampung permintaan pasaran tempatan," katanya.

Zulkifli Haron


Ikrar dua 'gadis besi'


Siti Nur Nabillah (kiri) dan adiknya, Siti Nur Afiifah bersama Zull Design Autoronic di MAHA 2010, Serdang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Peranan dua anak gadis pengasas syarikat kejuruteraan bumiputera Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron iaitu Siti Nur Nabillah dan Siti Nur Afiifah dalam meningkatkan perniagaan bapa mereka membuktikan kedua-duanya layak digelar 'gadis besi'.

Siti Nur Nabillah, 19, dan Siti Nur Afiifah, 14, yang merupakan anak kedua dan keempat Zulkifli terlibat menguruskan syarikat yang membekalkan mesin-mesin rekaan untuk kegunaan industri kecil dan sederhana, teknologi perikanan serta menyediakan kursus dan latihan dalam bidang elektronik dan mekatronik kepada pelanggan.

Bagaimanapun menurut Siti Nur Nabillah, komitmennya sebagai penuntut Diploma Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, menyebabkan dia hanya berkesempatan membantu ayahnya ketika musim cuti semester.

"Kami tidak sanggup melihat kerja keras ayah membangunkan syarikat ini sejak lebih 20 tahun lalu terhenti begitu sahaja," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di gerai pameran mereka di Laman Jentera sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 di Serdang hari ini.

Menurut gadis itu, dia mula berjinak-jinak dengan urusan syarikat yang berpangkalan di Rawang, Selangor itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Mengenai inovasi terbaru yang ditawarkan syarikat itu, Siti Nur Nabillah berkata, mereka kini sedang memberi fokus kepada kaedah pemeliharaan ikan laut di dalam kolam fiber dengan menghasilkan keadaan semulajadi habitat laut menggunakan air paip.

Sementara itu, pereka mesin industri kecil sederhana (IKS) Zull Design Autotronic, Zamadauwiyah Wahab berkata, mesin itu menawarkan kaedah pemeliharaan ikan laut secara kolam fiber yang mampu bertahan sehingga 15 tahun.

Katanya, sistem itu berfungsi dengan menggunakan konsep pertukaran air paip menjadi air masin.

"Kita hanya menggunakan air paip dan garam tiruan yang telah dilarutkan dan mencapai nilai PH air sehingga 18. Bagi menghasilkan habitat ikan laut secara semula jadi," katanya.

Menurut beliau, idea menghasilkan sistem itu tercetus setelah melihat risiko penternakan ikan dalam sangkar dan kolam yang sering kerugian ketika musim hujan dan terdedah kepada parasit dan bakteria.

Katanya, sistem itu mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu yang memberikan khidmat nasihat, pandangan dan pengalaman tentang cara penternakan ikan yang tepat.

Restoran Rebung Madu


Restoran bantu promosi rebung madu


RESTORAN Rebung Madu milik Ahmad Tajudin yang terletak di Kuala Nerang, Kedah.

LOKASINYA terletak di tingkat bawah Kompleks Pekan Selasa di Kuala Nerang, Kedah, Restoran Rebung Madu menyediakan pelbagai jenis masakan berasaskan rebung madu.

Menurut Ahmad Tajudin, restoran tersebut diusahakan sejak setahun lalu bersama isteri dan juga anak-anaknya.

''Selain bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan makanan daripada rebung madu, penubuhan restoran ini juga berperanan untuk mempromosikan sayur ini secara tidak langsung.

''Ini kerana, tidak ramai lagi ahli masyarakat yang mengetahui tentang khasiat dan keenakan rasanya,'' katanya.

Untuk menu-menu di restorannya, dia telah mencipta sendiri beberapa pilihan masakan seperti rebung masak cili api, gulai rebung bersama tulang dan sebagainya.

Dari segi sambutan, restorannya menerima kunjungan ramai pelanggan terutama ketika waktu makan tengahari.

Orang ramai yang berminat juga boleh mendapatkan bekalan rebung mentah secara terus daripada restorannya.

Rebung Madu



Industri baru rebung madu

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

ANEKA menu berasaskan rebung pasti akan membuka selera sesiapa sahaja.

KETIBAAN rombongan kakitangan Agrobank bersama media untuk membuat liputan projek-projek pembiayaan organisasi kewangan itu di sekitar negeri Kedah di sambut dengan hidangan makan tengahari yang berbeza daripada biasa.

Kesemua menu yang dihidang mengandungi rebung madu sebagai bahan asas. Cuma ia disediakan dalam pelbagai masakan.

Hidangan seperti gulai daging bersama rebung madu, acar rebung madu dan masak lemak rebung madu kelihatan cukup menyelerakan.

''Rebung madu mempunyai rasa yang sangat berlemak dan manis berbeza daripada rebung biasa,'' jelas pemilik restoran, Ahmad Tajudin Hamid ketika ditemui di Kuala Nerang, Kedah baru-baru ini.

Sambil menikmati hidangan, Ahmad Tajudin sempat bercerita mengenai industri rebung madu yang semakin semakin berkembang pesat serta mendapat permintaan tinggi.

Katanya, selain masakan, tumbuhan dalam kategori sayur itu juga boleh dihasilkan dalam bentuk tepung, kerepek, jeruk dan juga rebung beku.

Dia yang turut terlibat dalam industri penanaman rebung madu kemudian membawa rombongan melawat ke ladangnya yang terletak di kawasan berhampiran.

''Saya mula berjinak-jinak dengan perusahaan penanaman rebung madu ini sekitar tahun 2008.

''Ketika itu, ada kawan menyuruh saya cuba merasai rebung ini. Tertarik dengan rasanya yang sangat sedap, terlintas di fikiran untuk menanamnya.

''Kebetulan juga pada masa itu saya memang tengah mencari idea untuk menjalankan projek tanaman yang mudah dan cepat mengeluarkan,'' jelas bapa kepada lima orang anak itu.

Hanya bermodalkan RM1,800 bagi tujuan membersihkan kawasan hutan dan membeli biji benih, Ahmad Tajudin memulakan projek tanaman rebung madu di kawasan tanah seluar empat ekar yang disewanya.


Ahmad Tajudin menunjukkan cara yang betul menebang pokok rebung madu matang.

Di peringkat awal, dia hanya menanam 400 anak pokok rebung madu dengan jarak tiga meter setiap pokok untuk memudahkan pertumbuhan.

''Setiap biji benih ini kemudiannya akan bercambah membentuk serumpun pokok yang mengandungi antara lapan hingga 10 batang rebung.

''Sebahagian pokok-pokok ini kemudiannya akan ditebang untuk dijadikan sebagai benih pula,'' jelasnya.

Bercerita mengenai penjagaan pokok rebung madu, Ahmad Tajudin memberitahu, prosesnya sangat mudah dan tidak membebankan.

Untuk tujuan membaja, ia hanya perlu dijalankan setiap enam bulan sekali.

Bagi aktiviti penyemburan racun serangga pula, ia dibuat setiap dua bulan untuk mengelakkan gangguan serangga seperti anai-anai dan kerising.

''Biasanya, kita akan menggunakan baja daripada najis lembu yang telah diproses selain menerima bantuan baja daripada pihak Jabatan Pertanian,'' katanya.

Sesuatu yang unik mengenai rebung madu, ia tidak mempunyai sifat miang seperti rebung biasa.

Lebih memudahkan, sistem pembiakannya juga tidak memerlukan jumlah air yang banyak serta senang dijaga.

Rebung madu mempunyai tempoh matang selama lapan bulan dan selepas tempoh itu, hasilnya boleh dituai.

Melihat proses pengendalian yang mudah dan permintaannya yang tinggi, Ahmad Tajudin telah membuat pinjaman modal daripada pihak Agrobank untuk memperluaskan perusahaannya.

Kini, ladangnya telah mempunyai lebih daripada 800 pokok.

Pada masa akan datang, dia bercadang untuk mencari kawasan tanah yang lebih besar bagi membolehkannya menanam lebih banyak pokok.

Friday, November 26, 2010

Santan Kelapa Sawit

Syarikat milik bumiputera hasilkan santan daripada kelapa sawit

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Masalah kekurangan santan kelapa di pasaran kini boleh diatasi dengan penggunaan santan kelapa sawit sebagai alternatif baru dalam masakan.

Ia berikutan kejayaan sebuah syarikat milik bumiputera, Premium Food Corporation Sdn. Bhd. menghasilkan santan daripada kelapa sawit selepas menjalankan penyelidikan sendiri bagi menilai dan mengenal pasti keupayaan komoditi itu untuk diproses menjadi santan.

Menurut Pengarah Urusannya, Jasri Mohd. Rashid, idea untuk mengusahakan santan kelapa sawit tercetus selepas beliau mendapat maklumat mengenai perkara itu daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Pengalaman 10 tahun bersama syarikat pengeluar makanan bertaraf antarabangsa, Nestle dan beberapa tahun dalam bidang perhotelan sedikit sebanyak membantu saya dalam menghasilkan produk ini.

"Syarikat saya yang mula beroperasi sejak hujung Ogos lalu kini dalam proses untuk memasar dan mengembangkan produk ini ke seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Jasri, buat masa ini, produk keluaran syarikatnya sudah berjaya menembusi beberapa pasar raya di negara ini.

"Produk ini yang berjenama 'Khalis' boleh didapati di 15 buah cawangan pasar raya besar Giant, lima cawangan pasar raya Bintang serta tiga cawangan pasar raya Mydin sekitar Lembah Kelang.

"Kami juga kini mempunyai rangkaian pengedar di beberapa negeri termasuk Johor, Melaka, Perak dan Pahang," ujar beliau.

Jelas Jasri, minyak daripada kelapa sawit dicampurkan dengan bahan tertentu untuk diproses menjadi santan yang warnanya sama seperti santan kelapa.

Menurutnya, santan kelapa sawit sebenarnya lebih sedap dan menyihatkan, mengandungi nutrien yang tinggi, rendah lemak serta tiada kolestrol.

"Santan ini juga tidak mudah rosak dan sesuai digunakan untuk semua jenis masakan termasuk bubur dan minuman cendol serta air bandung. Sekiranya ia disimpan di bawah suhu lima darjah celsius, jangka hayat santan ini boleh mencapai tiga bulan," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai santan kelapa sawit boleh mengunjungi gerai bernombor B187-B204 pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) yang bermula esok sehingga 5 Disember depan di Serdang dekat sini.

Selain itu, mereka juga boleh melayari laman web www.khalissantan.com atau menghubungi talian 03-89428360 untuk tujuan sama.

Thursday, November 25, 2010

Belut


Khasiat belut melalui produk Shirah


CHE Rashirah Yaacob menunjukkan produk keluaran Shirah B'lux di Ekspo SDSI, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 24 Nov. - Semasa kecilnya, Che Rashirah Yaacob amat geli melihat dan memegang belut, hidupan air tawar yang mudah didapati di sekitar hutan paya bakau di pinggir kampungnya di Tasik Kubu Marang.

Ayahnya seorang petani, kerap membawa pulang dan menggunakan belut sebagai ramuan ubat-ubatan tradisional yang dihasilkan sekadar mengisi waktu luang berasaskan permintaan penduduk setempat.

Che Rashirah, 44, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan, beransur menyedari khasiat ikan itu dalam aspek penjagaan kesihatan dan kecantikan sebagai mana yang diperakui oleh masyarakat setempat.

Ini termasuklah dalam aspek penyembuhan luka pembedahan, merawat kulit, ketahanan tubuh, lelah, mencegah hepatitis dan membuatkan aliran darah kembali normal.

Berasaskan potensi yang ada tercetus hasratnya untuk memberi nilai yang lebih tinggi dengan produk yang lebih dikaitkan dengan premis perniagaan 'kaki lima' ke pasaran komersial.

Justeru dengan sokongan suami, Rahimi Ibrahim, 46, dan anggota keluarga lainnya, dia memberanikan diri untuk menjadi usahawan dengan meneroka bidang ini melalui penubuhan Syarikat Rangkaian Tani Enterprise pada Mei 2008.

Syarikat yang diasaskan oleh ibu lima anak ini merupakan syarikat bumiputra pertama yang menternak, memproses dan menjual produk berasaskan bahan itu di negeri ini.

Dia memulakan perusahaan dengan modal RM150,000 termasuk pinjaman daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

Dengan jenama Shirah B'lux, ia muncul dengan tiga produk iaitu Kopi Shirah, Losyen Belut dan Jelly Belut yang telah berada di pasaran sejak sembilan bulan lalu dan hampir 7,000 unit telah dijual.

Sambutan awalnya itu meskipun promosi terbatas dengan pengedaran dibantu tiga stokis di Kuala Berang, Hulu Terengganu, Kota Bharu (Kelantan) dan Rawang (Selangor), di samping 'dari mulut ke mulut' ia memberi tanda yang mengukuhkan keyakinannya.

Sebelum itu, dia berdepan dengan cabaran dalam proses awal menimba kemahiran dan kerugian apabila dua kali kolam ternakannya ditenggelami banjir, namun tidak mematahkan harapannya.

"Setelah lebih dua tahun usaha keras untuk menjayakan cita-cita ini, barulah ia menampakkan hasil. Tahun pertama selalu rugi, banyak juga belut mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia semasa menyertai Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), dekat sini semalam yang merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan keluarannya kepada masyarakat negara ini.

Tambah Rashirah, di sebalik rupa dan bentuk haiwan yang menggelikan itu, tersimpan seribu satu rahsia yang potensinya sebagai produk kesihatan sangat cerah.

"Ketika saya memulakan perniagaan ini satu ketika dulu, masalah utama adalah untuk memperoleh bekalan belut.

"Saya terpaksa mengimport bekalan tersebut daripada Indonesia dan di kesempatan itu, saya beberapa kali berulang alik ke negara berkenaan untuk mempelajari teknik pembenihan dan penternakan belut di sana," jelasnya.

Hasil daripada usaha itu katanya, beliau mengambil langkah untuk menternak sendiri bekalan tersebut walaupun pada awalnya menemui kegagalan atas pelbagai faktor.

"Sebagai percubaan sebelum membuka lebih banyak lagi kolam ternakan, tiga buah kolam telah dibina dan mampu memuatkan sehingga 8,000 ekor benih belut dalam satu-satu masa," ujarnya.

Di samping itu, produk Shirah akan dipelbagaikan termasuk minuman kesihatan pelbagai perisa yang berasaskan belut yang dijangka dipasarkan awal tahun depan.

Bakal turut berada di pasaran dalam tempoh yang sama ialah kapsul dan minyak belut yang kini dalam proses permohonan daripada Kementerian Kesihatan.

Bercerita tentang pengalaman menguruskan perniagaan tersebut, beliau pernah diketawa sinis oleh beberapa kenalannya apabila bercakap untuk menjadi usahawan berjaya.

"Saya mahu buktikan kejayaan ini, walaupun bekerja sebagai kakitangan sokongan di Felcra dan pernah menjadi pembantu rumah serta tidak mempunyai pendidikan tinggi.

"Saya akan bersara awal pada Mac tahun depan bukan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membawa perniagaan ini ke peringkat yang lebih maju," ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, November 17, 2010

Guru Usahawan


Guru buka kedai kek, roti


Norhasimah Abdul Karim bersama Azizan Shaari menunjukkan produk roti dan kek keluaran syarikatnya di Ulu Kinta, semalam.

IPOH 16 Nov. - Bermula dengan perniagaan membuat kek secara kecil-kecilan di rumah, seorang guru, Norhasimah Abdul Karim membuka kedai Norzan Bakeri dan Kek di kawasan Industri Mara di Tambun, Ulu Kinta dekat sini sejak Disember 2005.

Norhasimah, 50, berkata, dia mula berkecimpung dalam pembuatan kek dan biskut di rumah sejak 1989.

Katanya, dia bermula dengan membuat kek dan biskut yang ditempah oleh rakan kerana minatnya mendalam dalam perusahaan itu secara kecil-kecil.

"Minat itu bertambah apabila saya mengikuti kursus membuat roti selama dua bulan di sebuah kilang roti di Batu Caves, Selangor pada 2003," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas tamat mengikuti kursus tersebut, dia membuka kedai di Bandar Baru di sini dengan membuat roti dan kek pada Jun 2003 dengan dibantu tiga pekerja.

"Saya melaburkan RM50,000 sebagai modal awal untuk membeli sebuah mesin pembancuh tepung untuk membuat kek," katanya yang dibantu oleh suaminya, Azizan Shaari, 51.

Ibu kepada empat anak berusia 14 hingga 23 tahun berkata, apabila perniagaan makin berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan, dia berpindah ke Tambun dengan membeli beberapa buah lagi mesin.

Bermula dari situ, katanya, dia teruskan dan tingkatkan usaha untuk menjadi usahawan berjaya satu hari nanti dan usaha gigihnya itu amat berbaloi.

Katanya, bermula dengan membuat piza di sini, dia melebarkan perusahaan itu dengan mengeluarkan pelbagai produk seperti roti arab, roti mini arab, roti rangup, roti john, roti kelapa, roti kacang merah, roti sandwich, roti kaya, roti sosej, donut, roti bun dan pelbagai jenis kek.

Norhasimah berkata, roti berkenaan dijual dengan harga di antara 50 sen hingga RM4.50 setiap satu.

Sementara itu, pelbagai jenis kek pula dijual antara 80 sen hingga RM8 setiap satu.

Selain itu, dia juga menghasilkan kek perkahwinan dengan menawarkan pakej kek span dua tingkat berharga RM116 bagi berat tiga kilogram dan RM170 bagi berat 4.5 kilogram.

"Kek tiga tingkat pula dijual dengan harga RM160 bagi berat 4.5 kilogram dan RM190 bagi berat 5.5 kilogram," katanya.

Menurut beliau, beberapa jenis lagi kek turut dihasilkan bagi memenuhi permintaan orang ramai.

"Perniagaannya itu mula terkenal setelah ia mendapat sambutan di kebanyakan pasar tani di negeri ini setelah menyertai promosi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang banyak membantu," katanya.

Norhasimah berkata, permintaan terhadap roti arab yang dihasilkan paling tinggi dengan purata jualan mencecah RM50,000 sebulan.

"Produk yang dihasilkan di sini terjamin kerana ia adalah halal," katanya yang menggaji 13 orang pekerja.

Beliau berkata, produk keluaran syarikatnya itu kini sudah dipasarkan di Johor Baharu dan Melaka, selain di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan.

Katanya, syarikat kini membuka empat cawangan di Medan Gopeng, Terminal Makanan Negara (Teman), Chemor dan Klebang Jaya di sini.

Dia sedang memohon untuk memasarkan produknya di beberapa pasar raya besar di sini dalam usaha meningkatkan pemasaran kepada orang ramai.

Selain itu, pihaknya juga mengadakan kursus membuat kek dan mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 019-4476906/ 012-5035023 atau pejabat di talian 05-5332116.

Cacat Bukan Penghalang


Tanpa sepasang kaki dan tangan kiri, Imi masih mampu cipta sejarah tersendiri


Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Nik Omar Abdul Rahman (kiri) bersama Timbalan Naib Canselor UTM, Datuk Mohd. Tajudin Ninggal dan Ruzimi Mohamed melihat motosikal elektrik untuk OKU di UTM Skudai, baru-baru ini.

“SETIAP manusia diberi hak sama untuk hidup, udara sama untuk dihirup, jumlah putaran masa sama untuk digunakan mahupun langit sama untuk dijunjung. Mengapa perlu kita bezakan yang kurang upaya dengan yang sempurna”.

Itu bicara pertama oleh personaliti pilihan ruangan Helo Kampus kali ini, Ruzimi Mohamed yang lebih mesra dipanggil Imi di kalangan rakan sekuliahnya.

Jejaka berusia 25 tahun itu tidak sesekali melihat kekurangan yang dimilikinya sejak kecil itu sebagai penghalang untuk mencipta sejarah tersendiri.

Dia yang hanya dikurniakan sebelah tangan iaitu tangan kanan tanpa sepasang kaki dan tangan kiri tetap bersyukur dengan kurniaan Allah kerana baginya kekurangan itu akan dibalas dengan kelebihan yang tidak ternilai.

Menurut penuntut tahun akhir pengajian sarjana itu, biarpun hanya memiliki sebelah tangan, dia bersyukur kerana dikurniakan banyak ‘tangan’ dan ‘kaki’ untuk membantunya dalam setiap segi termasuk pergerakan, pembelajaran dan aktiviti semasa.

Motivator sambilan kini boleh berbangga apabila mempunyai dua syarikat dengan sebuah diusahakan bersama seorang lagi rakannya.

“Syarikat Imi Creative Solution Sdn. Bhd. menyediakan perniagaan pembangunan laman web, kursus motivasi dan teknologi maklumat manakala Embroidry Teknologi menyediakan perkhidmatan jahitan dan sulaman.

“Alhamdulillah, perniagaan saya berjalan lancar. Kebanyakan pelanggan adalah di kalangan kakitangan dan penuntut UTM sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Ruzimi memberitahu, menjadi salah seorang daripada orang kurang upaya (OKU) bukanlah menjadi kesalahan, apatah lagi malu dengan kecacatan diri sendiri.

Malah, anak kelahiran Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan itu turut mencipta motosikal roda tiga berkuasa bateri yang dinamakan Imi Creative Car (ICC) bagi kegunaan OKU dan warga emas pada masa akan datang.

Projek yang menelan kos RM25,000 itu dilengkapi aplikasi teknologi hijau iaitu menggunakan bateri untuk menggerakkannya.

“Kenderaan yang boleh digunakan warga emas ini tidak mengeluarkan asap dan tidak menggunakan petrol sebagai sumber bahan api,” katanya.

Katanya, dia turut bekerjasama dengan Zull Design untuk tujuan modifikasi kenderaan berkenaan.

Tuesday, November 16, 2010

Jeruk Pak Ali


'Jeruk Madu Penang Mali' tembusi pasaran luar


JERUK siap dibungkus di kilang Jeruk Madu di Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL 8 April - Mempelam, kelubi, cermai, pala, rokam dan buah salak tidak berharga di kampung-kampung tetapi buah-buahan tempatan itu jika dikomersialkan dan dijadikan jeruk mampu menjana ekonomi penduduk setempat.

Bagi anak kampung bernama Ali Omar, 67, kekurangan yang ada pada dirinya kerana buta huruf tidak menjadi halangan baginya bergelar usahawan Melayu yang berjaya membekalkan dan mengeksport jeruk bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi sehingga ke Afrika Selatan, England dan Arab Saudi.

Mengimbau kenangan silam, Pak Ali berkata, perusahaan jeruk yang diusahakannya sudah mencapai usia suku abad, bermula dengan modal RM15,000, hari ini, perusahaan jeruk madunya itu mempunyai modal pusingan lebih RM300,000.

Pak Ali berkata, perusahaan menghasilkan jeruk madu itu dilakukan di bawah label syarikatnya, Kunci Kreatif, sesuai dengan ciri-ciri kreativiti yang ada dalam diri anak jati Sungai Ara, Pulau Pinang itu.

''Memang benar saya buta huruf tetapi saya boleh menguasai bahasa Inggeris, Jepun, Tamil dan dialek Hokkien secara lisan disebabkan pergaulan dan persekitaran," katanya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di kawasan IKS Tasek, Simpang Ampat di sini, baru-baru ini.

Pak Ali berkata, idea untuk menghasilkan jeruk madu bermula secara kecil-kecilan iaitu di halaman belakang rumah.

Kemudian, katanya, setelah bertemu dengan pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang menggalakkannya mengkomersialkan perniagaan kampung itu, kini jeruk madu yang dihasilkan berjaya menembusi pasaran luar.

Beliau berkata, setelah melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan, jeruk yang dihasilkan memerlukan buah-buahan mentah yang dipajak terus dari ladang-ladang khususnya ladang mempelam sala di Perlis.

Pak Ali berkata, jumlah keluasan ladang pajakan untuk membekalkan buah-buah bagi dijadikan jeruk adalah seluas 20 hektar.

Katanya, perusahaan jeruk madunya itu turut membantu 30 ibu tunggal yang tinggal di Kampung Cempedak sekitar Tasek Gelugor, menambah pendapatan mereka.

Beliau berkata, setiap individu yang mengupas kulit buah mempelam, akan menerima upah RM30 sehari kerana setiap hari beliau memerlukan kira-kira 10 kilogram (kg) buah mempelam yang telah dikupas kulitnya.

''Sebenarnya menghasilkan jeruk ini perlu mementingkan kesihatan pemakannya kerana jika kita memasukkan sodium bonzaid secara berlebihan, itu akan menimbulkan masalah.

''Ia boleh menyebabkan penyakit kanser dan buasir. Justeru, adalah amat penting kita menggunakan sukatan yang tepat iaitu untuk 10 liter air, hanya 30 gram sodium bonzaid yang boleh dicampurkan," katanya.

Pak Ali berkata, beliau berani memberi jaminan sesiapa yang makan Jeruk Madu Penang Mali yang dihasilkannya tidak akan batuk kerana jeruk yang rendah kualitinya akan menyebabkan seseorang itu batuk apabila memakannya.

Ketika ditanya sampai bila beliau akan menghasilkan jeruk, Pak Ali berkata, "sudah semestinya perusahaan dan kilang ini akan saya serahkan sepenuhnya kepada anak sulung saya, Alias, 36, sebagai pengganti saya".

Rasa sedap, harga berpatutan

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

PARA pekerja memproses salah satu produk jeruk madu yang diusahakan di kawasan perindustrian Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL 18 Nov. - Orang selalu kata, menjadi satu kerugian jika pergi ke Pulau Pinang tetapi terlepas menikmati jeruk buah, makanan yang sudah menjadi antara identiti negeri Pulau Mutiara itu sejak dulu lagi.

Tidak hairanlah, makanan itu sering dicari pelawat untuk dijadikan oleh-oleh untuk dibawa pulang setiap kali mengunjungi negeri ini.

Daripada jeruk buah pala, kelubi, cermai, pala, rokam, mangga sehinggalah kedondong dan ceri, jeruk Pulau Pinang sangat diminati bukan sahaja kerana kelazatannya tetapi juga harga yang berpatutan.

Tetapi ramai tidak menyedari bahawa hampir 100 peratus peniaga yang menghasilkan produk makanan ini adalah dari kaum lain walaupun majoriti yang meminatinya merupakan orang Melayu.

Menyedari hakikat itu, seorang anak kampung, Ali Omar, 67, membuka perniagaan menghasilkan jeruk madu sejak lebih 15 tahun lalu yang ketika itu dijalankan di halaman rumahnya secara kecil-kecilan.

Terkenal dengan nama jolokan Pak Ali, anak jati Kampung Sungai Ara, Pulau Pinang itu kemudiannya mengkomersilkan perniagaan dengan bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Malah, tiada siapa menyangka, Pak Ali yang buta huruf mampu mencipta nama dalam industri tersebut dengan mengeksport jeruk keluarannya ke luar negara termasuk Afrika Selatan, England dan Arab Saudi.

''Memang benar saya buta huruf tetapi saya boleh menguasai bahasa Inggeris, Jepun, Tamil dan dialek Hokkien secara lisan disebabkan pergaulan dan persekitaran.

''Saya gunakan kelebihan membatasi kekurangan diri kerana saya selalu berpegang kepada prinsip bahawa kita boleh pergi jauh jika betul-betul mahu berjaya," katanya ketika ditemui di kilang perusahaan jeruk miliknya di Simpang Ampat di sini baru-baru ini.

Bercerita mengenai 'Jeruk Madu Penang Mali' yang diusahakannya, Pak Ali berkata, semua jeruk yang dihasilkan merupakan buah-buahan mentah yang dipajak terus dari ladang khususnya ladang mempelam sala di Perlis.

Pak Ali berkata, jumlah keluasan ladang pajakan untuk membekalkan buah-buah segar untuk dijadikan jeruk adalah seluas kira-kira 20 hektar.

Ditanya mengenai keistimewaan produk makanan yang diusahakannya itu, Pak Ali memberitahu, jeruk keluarannya tidak menyebabkan seseorang batuk seperti jeruk lain yang terdapat di pasaran.

''Sebenarnya penghasilan jeruk perlu menitikberatkan soal kesihatan juga kerana jika kita memasukkan sodium bonzaid secara berlebihan, ia boleh mendatangkan mudarat.

''Selain boleh menyebabkan penyakit kanser, penggunaan bahan tersebut secara berlebihan juga boleh mengundang penyakit lain seperti buasir. Jadi, sukatan yang betul amat penting," tambah Pak Ali.

Katanya, perusahaan jeruk madunya itu turut membantu 30 ibu tunggal yang tinggal di Kampung Cempedak sekitar Tasek Gelugor, dekat sini bagi menambah pendapatan mereka.

Beliau memberitahu, setiap individu yang mengupas kulit buah mempelam, akan menerima upah RM30 sehari kerana setiap hari beliau memerlukan kira-kira 10 kilogram (kg) buah mempelam yang telah dikupas kulitnya.

'Jeruk Madu Penang Mali' tembusi pasaran luar


JERUK siap dibungkus di kilang Jeruk Madu di Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL 8 April - Mempelam, kelubi, cermai, pala, rokam dan buah salak tidak berharga di kampung-kampung tetapi buah-buahan tempatan itu jika dikomersialkan dan dijadikan jeruk mampu menjana ekonomi penduduk setempat.

Bagi anak kampung bernama Ali Omar, 67, kekurangan yang ada pada dirinya kerana buta huruf tidak menjadi halangan baginya bergelar usahawan Melayu yang berjaya membekalkan dan mengeksport jeruk bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi sehingga ke Afrika Selatan, England dan Arab Saudi.

Mengimbau kenangan silam, Pak Ali berkata, perusahaan jeruk yang diusahakannya sudah mencapai usia suku abad, bermula dengan modal RM15,000, hari ini, perusahaan jeruk madunya itu mempunyai modal pusingan lebih RM300,000.

Pak Ali berkata, perusahaan menghasilkan jeruk madu itu dilakukan di bawah label syarikatnya, Kunci Kreatif, sesuai dengan ciri-ciri kreativiti yang ada dalam diri anak jati Sungai Ara, Pulau Pinang itu.

''Memang benar saya buta huruf tetapi saya boleh menguasai bahasa Inggeris, Jepun, Tamil dan dialek Hokkien secara lisan disebabkan pergaulan dan persekitaran," katanya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di kawasan IKS Tasek, Simpang Ampat di sini, baru-baru ini.

Pak Ali berkata, idea untuk menghasilkan jeruk madu bermula secara kecil-kecilan iaitu di halaman belakang rumah.

Kemudian, katanya, setelah bertemu dengan pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang menggalakkannya mengkomersialkan perniagaan kampung itu, kini jeruk madu yang dihasilkan berjaya menembusi pasaran luar.

Beliau berkata, setelah melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan, jeruk yang dihasilkan memerlukan buah-buahan mentah yang dipajak terus dari ladang-ladang khususnya ladang mempelam sala di Perlis.

Pak Ali berkata, jumlah keluasan ladang pajakan untuk membekalkan buah-buah bagi dijadikan jeruk adalah seluas 20 hektar.

Katanya, perusahaan jeruk madunya itu turut membantu 30 ibu tunggal yang tinggal di Kampung Cempedak sekitar Tasek Gelugor, menambah pendapatan mereka.

Beliau berkata, setiap individu yang mengupas kulit buah mempelam, akan menerima upah RM30 sehari kerana setiap hari beliau memerlukan kira-kira 10 kilogram (kg) buah mempelam yang telah dikupas kulitnya.

''Sebenarnya menghasilkan jeruk ini perlu mementingkan kesihatan pemakannya kerana jika kita memasukkan sodium bonzaid secara berlebihan, itu akan menimbulkan masalah.

''Ia boleh menyebabkan penyakit kanser dan buasir. Justeru, adalah amat penting kita menggunakan sukatan yang tepat iaitu untuk 10 liter air, hanya 30 gram sodium bonzaid yang boleh dicampurkan," katanya.

Pak Ali berkata, beliau berani memberi jaminan sesiapa yang makan Jeruk Madu Penang Mali yang dihasilkannya tidak akan batuk kerana jeruk yang rendah kualitinya akan menyebabkan seseorang itu batuk apabila memakannya.

Ketika ditanya sampai bila beliau akan menghasilkan jeruk, Pak Ali berkata, "sudah semestinya perusahaan dan kilang ini akan saya serahkan sepenuhnya kepada anak sulung saya, Alias, 36, sebagai pengganti saya".

Basic Information
Location
B172,BAGUNAN PUSAT KEGIATAN HILIRAN,PERTUBUAN PELADANG KAWASAN TASEK 14120 SIMPANG AMPAT,SEBERANG PERAI SELATAN,PULAU PINANG, 14120 Prai, Malaysia
Phone
194770047

fb jeruk pak ali

Anita


Menyelami dunia Anita

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

Mazni Aznita atau nama penanya Anita Aruszi bersama koleksi-koleksi novel tulisannya di Kuala Terengganu, semalam. - utusan/ Fauzi Baharudin

KUALA TERENGGANU 15 Nov. - Anita Aruszi. Nama itu mudah terserempak oleh mereka yang sering melilau untuk mendapatkan bahan bacaan bagi mengisi waktu luang di rak-rak novel Melayu popular semasa di toko-toko buku.

Novelis wanita prolifik ini menarik untuk diperhatikan perkembangan masa depan yang menjanjikan ketika dia semakin menempatkan dirinya di kalangan penggemar novel dan khalayak sastera tanah air.

Sejak karya pertamanya Dedalu Di Hati muncul pada 2007, kreativitinya terus mencurah dan dalam tempoh tiga tahun dia muncul dengan sembilan novel dalam pelbagai genre, dua daripadanya menggunakan nama sebenarnya Mazni Aznita.

Dilahirkan di Kuala Terengganu, anak sulung lima beradik ini yang memegang ijazah dari Universiti Malaya berkhidmat sebagai guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini.

"Saya mula berkecimpung dalam bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Semuanya bermula dari pengaruh yang diterapkan oleh ayah saya.

"Keluarga kami bukanlah golongan yang senang, maka saya jarang dapat berbelanja mewah. Dengan gaji yang sedikit, ayah saya akan membawa saya dan adik beradik keluar sebulan sekali ke bandar.

"Namun kami jarang dapat membeli barang-barang yang kami ingini. Tapi ayah saya tidak lokek untuk membeli buku-buku bacaan untuk kami adik beradik," ujarnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Peluang menjadi pengawas perpustakaan di sekolah suatu yang amat menggembirakan yang lebih mendekatkan Mazni Aznita dengan buku dan di situ dia berupaya menghabiskan antara lima hingga 10 buah buku sehari.

"Namun seiring dengan pertambahan usia, saya mula pandai mengkritik buku-buku yang saya baca. Saya sering tidak berpuas hati jika terdapat buku yang mempunyai penamatan kisah tidak saya suka.

''Lalu alangkah baiknya jika saya boleh menulis sendiri kisah-kisah kehidupan mengikut perspektif saya dan dari situ saya cuba menulis cerpen dan puisi yang kemudiannya menjadi bahan bacaan kepada rakan-rakan di sekolah," ujarnya.

Sebaik menginjakkan kaki ke universiti, katanya penulisan menjadi semakin serius apabila ia menjadikan medium untuk melapangkan fikiran dan merehatkan minda.

"Tahun akhir di kampus, muncul karya pertama saya dengan genre cinta disusuli kekeluargaan, thriller, komedi, fiksyen sains dan juga fantasi," ujarnya.

Kata Mazni Aznita lagi, untuk menjadi seorang penulis novel yang akhirnya boleh diterima penerbit dan pasaran tidak mudah dengan nama yang belum dikenali.

''Tapi jika sekali kita melangkah masuk, pintu di dunia penulisan akan terus terbuka luas untuk kita.

''Saya gigih berusaha untuk menghasilkan novel-novel yang boleh diterima oleh kebanyakan pembaca dan berharap mereka menyukai idea yang saya garapkan di dalamnya," tambahnya.

Bagi mendekati pembaca, dia menghasilkan sebuah blog khas untuk memuatkan karya-karyanya dalam bentuk e-novel dengan pelbagai kisah masyarakat.

"Saya bukanlah seperti beberapa orang penulis novel yang bergurukan novelis-novelis terkenal ataupun sasterawan negara. Guru saya hanyalah buku-buku yang saya baca," katanya.

Imaginasinya berasaskan dari dunia di sekitar yang dilihat, didengar dan ditatap, menjadikannya sebuah karya kreatif yang telah dinaratifkan.

''Sepanjang bergelumang dalam dunia penulisan, saya menghadapi pelbagai cabaran yang adakala membuatkan diri jadi penat dan lemah semangat namun dorongan keluarga mengukuhkan tekad.

Dia antara lain megimbas tentang karya awalnya yang dihantar telah ditolak oleh syarikat penerbitan dan sikap pihak penerbit melambat-lambatkan bayaran royalti serta sukarnya mengetahui sambutan sebenar.

Baginya, biar pun terikat dengan tanggungjawab sebagai pendidik, menulis bukannya suatu bebanan apabila ia menjadi kegemaran dan menjadi rutin hariannya terpaku di depan komputer dari pukul 10 malam hingga 2 pagi.

"Sementara untuk hujung minggu pula, saya akan memperuntukkan hampir 8-10 jam untuk menulis dan inilah masanya saya berkurung di dalam bilik menyudahkan manuskrip.

"Hari cuti persekolahan adalah hari yang paling ditunggu-tunggu kerana inilah masanya saya terperuk dengan manuskrip 24 jam sehari,'' jelasnya.

Karya terbaru Mazni Aznita akan menjengah pembaca pada tahun depan dengan sebuah novel misteri, sebuah karya bercorak komedi dan sebuah kisah cinta kekeluargaan.

"Saya harapkan untuk menghasilkan lebih kurang tiga novel setahun dan ingin mengekalkan elemen-elemen thriller dalam setiap naskah yang saya hasilkan sebagai suatu daya tarikan,'' ujarnya.

Impian wanita ini ialah suatu ketika akan muncul sebuah novel karya besar tanah air bagi melancarkan namanya dalam arus perdana dunia sastera dan berada sebaris dengan novelis ternama.

''Segalanya masih jauh. Masih ada banyak perkara yang harus saya lakukan untuk mencapai tahap itu," ujarnya.

Siswi Berniaga


Eiva Beauty Cafe kian popular di Kota Bharu


kEBANGGaAN seorang graduan, Fatihah Ab. Rahman menujukkan kedainya di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 15 Nov. - Lazimnya kebanyakan mahasiswa di institut pengajian tinggi awam atau swasta telah menanam cita-cita sejak awal lagi untuk mempunyai kerjaya yang 'hebat' di agensi kerajaan atau swasta.

Bagi mereka, ia merupakan jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan dengan hanya mencurahkan ilmu yang dimiliki dan berbakti tanpa berbelah bagi kepada agensi atau firma dipilih itu.

Malah tidak keterlaluan lagi ada di antara golongan tersebut telah mula meletakkan azam untuk berkhidmat di syarikat konglomerat tertentu seperti Petronas.

Pun begitu amat sedikit di kalangan mahasiswa yang mahu menggunakan ilmu yang dimiliki dalam bidang perniagaan sedangkan ia memberikan peluang dan pulangan yang lebih lumayan sekiranya berjaya.

Atas alasan tersebut, seorang gadis yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Fatihah Ab. Rahman, 29, memasang tekad memulakan perniagaan biarpun terpaksa menghabiskan wang simpanannya sendiri.

Beliau yang kini memperkenalkan jenama sendiri untuk diet tambahan terpaksa menempuh pelbagai cabaran biar pun usaha tersebut masih belum menunjukkan kejayaan yang cemerlang.

"Sebelum ini, saya bekerja di beberapa buah syarikat untuk mengumpul wang bagi memulakan perniagaan dan hasrat tersebut tercapai tiga tahun lalu tetapi banyak cabaran yang terpaksa saya lalui.

"Pada mulanya saya membuka butik pakaian tetapi ia tidak mendapat sambutan kemudian saya menukar strategi dengan menjual pakaian tersebut di Pasar Borong Wakaf Che Yeh sebelum beralih ke spa dan pusat kecantikan," kata anak kelahiran Pasir Mas itu.

Kini, beliau boleh berbangga kerana telah mengeluarkan produk sendiri iaitu kopi pracampuran 'Eiva Beauty Cafe' sebelum beberapa lagi produk yang akan menyusul tidak lama lagi.

Katanya, produk tersebut telah mula dipasarkan pada awal bulan lepas di negeri ini dalam proses untuk dikembangkan ke seluruh negara dalam masa terdekat.

"Saya terpaksa menggunakan simpanan sendiri untuk mengeluarkan produk ini tanpa sebarang bantuan atau pinjaman daripada mana-mana pihak.

"Sebenarnya saya tidak berani untuk meminjam kerana saya masih mempunyai 'hutang' belajar dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi (PTPN), saya tidak mahu dibebankan dengan masalah lagi biarlah terpaksa mengikat perut," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, pusat kecantikannya yang terletak di tingkat bawah, Flat Jalan Bayam masih beroperasi biasa walaupun pada masa yang sama terpaksa keluar untuk memasarkan produk terbarunya itu.

Katanya, sekarang merupakan saat yang getir dalam hidupnya untuk menentukan masa depan kerana kesemua wang simpanannya telah disumbangkan pada produk berkenaan.

"Saya perlu bekerja keras kerana produk ini akan menentukan segalanya, saya pernah merasa bagaimana gagal dalam perniagaan dan ia menjadi pengajaran yang amat berguna untuk saya bangun," katanya.

Mengulas mengenai idea untuk mengeluarkan produk tersebut, beliau berkata, ia merupakan diet tambahan untuk orang ramai yang sibuk bekerja pada setiap hari.

"Memang betul banyak produk seperti ini di pasaran tetapi saya yakin ada pelanggan sendiri kerana ia berbeza dengan produk-produk lain dengan ramuan tersendiri.

"Sebelum memasuki pasaran, saya telah mencubanya sendiri kerana saya mahu memastikan kualitinya benar-benar terjamin dan pelanggan berpuas hati," katanya.

Kopi tersebut mengandungi Collagen, vitamin C, kacip fatimah, mas cotek, seenna leaves, serapat, rempah ratus dan diadun dengan biji kopi terpilih.

"Kopi ini didapati dapat meningkatkan kecergasan, mencantikkan kulit dan menceriakan wajah, melambatkan proses penuaan, membuang lemak dan kolestrol yang berlebihan dan mengempiskan perut," katanya.

"Buat masa sekarang saya masih mencari pengedar untuk produk ini dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di talian 017-9564259 atau di laman sosial Facebook, fatihah eva," katanya.

Tuesday, November 9, 2010

ICT

Misi mencari usahawan ICT bumiputera

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

Gabungan idea kreatif bersama teknologi bakal menghasilkan aplikasi dan kandungan ICT terbaik.

PACUAN dunia komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) yang semakin rancak kini telah membawa banyak kemajuan dalam pelbagai bidang. Perkembangannya bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara malah turut memberi impak yang besar dalam kehidupan rakyat.

Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, ICT sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa sub sektor yang merujuk kepada matlamat memenuhi keperluan komuniti, perkhidmatan, industri dan sebagainya.

Ia mempunyai kaitan yang sangat rapat dalam aktiviti penggabungan idea kreatif bersama teknologi bagi menghasilkan aplikasi dan kandungan ICT terbaik.

Sebagai usaha menggalak, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif pembanguan industri ICT menerusi pemupukan budaya kreatif dan inovatif.

Ia termasuk peningkatan dan penambahbaikan prasarana serta peralatan berkaitannya secara menyeluruh.

Di negara ini, kesedaran mengenai penglibatan serius dalam dunia ICT sememangnya telah berada di peringkat yang memberansangkan.

Ramai usahawan tekno hari ini semakin berani tampil memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka yang cemerlang serta boleh dibanggakan.

Menyokong semangat itu, Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bersama saluran berita televisyen, Astro Awani telah memperkenalkan Anugerah ICT NEF-AWANI 2010.

Dijalankan untuk tahun pertama, penganjuran anugerah itu mempunyai objektif menyokong dan mengiktiraf usahawan ICT yang berpotensi untuk dimajukan terutama daripada kalangan bumiputera.

Menurut Presiden NEF, Ashran Ghazi, terdapat banyak syarikat ICT bumiputera yang mempunyai kemampuan besar namun tidak diperkembangkan kepada saluran yang betul .

''Menerusi platform anugerah ini, kita mahu mengubah stigma negatif terhadap keupayaan syarikat bumiputera.

''Ini kerana, sebenarnya, terdapat banyak syarikat ICT bumiputera yang bagus dan boleh dibawa ke peringkat pasaran global.

''Selain itu, pertandingan ini juga diharap dapat merancakkan lagi ekosistem ICT di Malaysia memandangkan kini semakin ramai pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita mengenai konsep penganugerahan itu, ia mengetengahkan format berbeza daripada anugerah-anugerah ICT yang pernah diadakan sebelum ini.

Apa yang unik, para peserta terpilih akan diberi peluang menonjolkan produk dan perkhidmatan mereka menerusi saluran media.

Ia merangkumi platform media menerusi siaran televisyen (Astro Awani), rangkaian radio (AMP), akhbar (Utusan Malaysia) dan juga majalah keluaran NEF (The Network).

''Pendedahan melalui media ini merupakan peluang promosi yang sangat bernilai jika dibandingkan dengan pemberian hadiah dalam bentuk wang tunai.

''Ini kerana, ia secara tidak langsung dapat memberi impak promosi produk dan syarikat yang sangat besar terutama dari segi imej, aktiviti pembiayaan, akses pasaran, kreativiti dan pembangunan.

''Sebagai persediaan sebelum di bawa untuk sesi temu bual bersama media, para peserta ini akan turut diberi latihan kemahiran berkomunikasi menerusi bengkel yang bakal diadakan,'' jelasnya.

Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 dibahagikan kepada dua komponen iaitu kategori Bumiputera dan Pilihan Rakyat.

Untuk bumiputera, ia dipecahkan lagi kepada lapan kategori utama melibatkan penilaian oleh panel hakim profesional.

Antara kriteria penilaian yang diambil kira adalah seperti keunikan produk, kreativiti, inovasi, penerimaan pasaran, kualiti serta impak kepada industri dan komuniti.

Sementara bagi Pilihan Rakyat pula, ia mempertandingkan sebanyak lima kategori di mana pemenangnya akan ditentukan oleh rakyat Malaysia secara dalam talian menerusi laman web sosial Facebook.

Tiga pencalonan paling tinggi untuk setiap kategori akan dipertandingkan sekali lagi sebelum calon yang menerima undian terbanyak akan diumumkan sebagai pemenang.

Setakat ini, NEF telah menerima lebih daripada 50 penyertaan merangkumi produk dan juga perkhidmatan ICT.

''Selain kreativiti dalam penghasilan produk dan perkhidmatan, tumpuan penilaian juga akan diberikan kepada model perniagaan sesebuah syarikat,'' katanya.

Untuk tujuan penilaian dan khidmat nasihat, NEF turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) selain beberapa syarikat yang bernaung di bawah NEF.

Pada masa akan datang, NEF bercadang untuk bekerjasama dengan lebih syarikat ICT tempatan dalam usaha menjadikan penganjuran lebih unik di samping menarik lebih banyak penyertaan.

Para pemenang akan diumumkan pada 25 November ini. Mereka bakal menerima hadiah berbentuk trofi dan juga sijil penyertaan.

Maklumat lanjut mengenai anugerah ini boleh diperoleh melalui laman web www.nef.org.my.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Lunpuh Tapi Cemerlang


Kontraktor lumpuh jadi usahawan cemerlang


ASMAH Bakar (kanan) dan Zamri Mansor (dua dari kanan) bersama penerima cenderahati lain di Sambutan Hari OKU Peringkat Negeri Kedah 2010 di Kulim, baru-baru ini.

KULIM 8 Nov. - Tulang pinggangnya patah dan kedua-dua kakinya lumpuh sejak berusia 16 tahun.

Namun, kecacatan fizikal tersebut bukan menjadi penghalang buat Zamri Mansor, 38, dari Kampung Pantai Halban, Jitra, untuk berdikari.

Zamri kini mula mencipta nama sebagai seorang kontraktor kelas F berjaya di negeri ini.

"Saya tidak mudah putus asa, malah meneruskan kehidupan seharian seperti orang biasa. Cuma sekarang sibuk sedikit kerana mengawasi 30 pekerja termasuk sebahagian besar OKU di bawah syarikat penyelenggaraan milik saya iaitu Hangaku Selenggara Enterprise," katanya pada majlis sambutan Hari OKU peringkat negeri di sini semalam.

Pada majlis itu, Zamri dinobatkan sebagai Usahawan OKU Cemerlang Negeri Kedah 2010.

Turut dinobatkan sebagai Usahawan OKU Wanita Cemerlang Negeri Kedah ialah tukang jahit, Asmah Bakar, 46, dari Taman Rasa Sayang, Bedong, dekat Sungai Petani.

Kedua-dua mereka menerima hadiah daripada Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Enau Edin Nom.

Mengimbas kembali pengalamannya, Zamri berkata, ketika belajar di tingkatan empat di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, 22 tahun lalu, beliau terlibat dalam satu kemalangan menyebabkan tulang pinggangnya patah dan kemudian kedua-dua kakinya lumpuh sehingga terpaksa berhenti sekolah.

Namun, beliau masih gigih untuk belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara bersendirian pada 2000.

Katanya, kejayaan tersebut kemudian membolehkannya menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam dan belajar selama setahun dalam bidang perundangan.

"Namun saya terpaksa menangguhkan pengajian atas sebab peribadi," katanya.

Selepas itu jelasnya, beliau pulang ke kampungnya di Jitra dan menjadi peraih udang dengan modal RM50.

Selama dua tahun jelasnya, beliau menjual udang segar yang dibeli terus daripada nelayan di Kuala Sanglang dan Kuala Kedah dengan berulang-alik setiap hari menunggang motosikal yang diubahsuai untuk golongan OKU.

Kata Zamri, beliau kemudian mendapat peluang menjalankan kerja membina laluan khas untuk OKU dan sebagainya di pejabat-pejabat kerajaan daerah Kubang Pasu selaku subkontraktor dari 2004 hingga 2007.

Berbekalkan pengalaman itu, jelasnya, beliau mendaftar sebagai kontraktor Kelas F dengan Pusat Khidmat Kontraktor menggunakan nama syarikat Hangaku Selenggara Enterprise pada 2008.

Saturday, November 6, 2010

Nira


Usaha komersial nira nipah terbatas

Oleh Siti Airunnisa Alaui
utusanterengganu@utusan.com.my

PETUGAS, Fatimah Mohd mengisi air nira nipah ke dalam botol sebelum dibungkus di pusat pengumpulan dan pemerosesan nira nipah di Marang, baru-baru ini.

MARANG 5 Nov. - Pusat pengumpulan dan pemprosesan nira nipah dibuka di sini lima tahun lalu dengan harapan yang cukup tinggi bagi mengkomersialkan sumber alam itu dan memberi ganjaran kepada penduduk sekitarnya.

Ia kemudiannya dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mesin yang difahamkan bernilai RM500,000 beroperasi bagi merintis perusahaan itu di negara ini.

Ia dikendalikan Koperasi Pekebun Nipah Marang Berhad atas inisiatif kerajaan negeri berdasarkan potensi dari segi sambutan dan bahan mentah yang masih mudah didapati.

Digerakkan melalui pendekatan 1 produk 1 Daerah, ia turut membantu memberi nilai terhadap tumbuhan yang selama ini daunnya digunakan untuk membuat atap tradisional dan barangan kraf desa.

Malah, berpuluh keluarga yang bergantung kepada hasil jualan nira daripada pokok meliar di kawasan berpaya dan becak bakal memperoleh pendapatan lebih terjamin hasil kegiatan sampingan mereka.

Pihak yang diberi kepercayaan untuk memasarkannya mensasarkan pasaran bukan sahaja di seluruh negara, tetapi juga untuk dieksport ke Asia Barat dengan permulaan sebanyak 60,000 botol.

Kilang di Kampung Kelulut itu awalnya dikatakan berkeupayaan mengeluarkan kira-kira 10,000 botol air nira sebulan dan kira-kira 60 orang penduduk akan menjadi pengusaha dengan membekalkan bahan itu.

Nira nipah dibotolkan sebagai minuman segar sebagai minuman tenaga tambahan bagi kecergasan yang dikatakan turut mempunyai khasiat bagi merawat gout, darah tinggi dan kencing manis.

Namun, ia difahamkan tidak mencapai sasarannya dan operasi kilang itu hanya mampu bertahan selama selama setahun sebelum pengurusan diambil alih oleh syarikat Cakna Sdn. Bhd di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi memberi nafas baru.

Pengurusan ternyata berdepan dengan masalah mendapatkan bekalan 2,000 liter sebulan yang diperlukan kerana jumlah yang terkumpul begitu kecil dan menyukarkannya bergerak secara komersial.

Ia bukan sahaja kerana semakin mengecilnya kawasan berpaya ekoran dijadikan tapak projek pembangunan tetapi juga kerana hanya terdapat beberapa orang yang bersedia menjadi pembekal.

Malah, keadaan itu memaksa pihak pengurusan mendapatkan bekalan dari negeri- negeri lain dan sedang menimbang untuk mendapatkan dari Thailand.

Bagaimanapun, bagi mengatasi masalah itu dari jangka panjang, YPU telah memohon tanah daripada kerajaan negeri untuk menanam nipah namun, setakat ini, tiada kawasan yang bersesuaian.

"Justeru itu, buat masa ini kita hanya mencadangkan agar kawasan di sepanjang Sungai Marang sehingga ke Mercang diwartakan kerana kita bergantung sepenuhnya kepada bekalan di kawasan berkenaan," ujarnya.

Dibotol dan dibungkus dengan cantik serta kemas, produk minuman dengan jenama T- Nypa dipasarkan dengan harga RM2.50 manakala cuka pada harga RM9.90 sebotol.

Untuk membantu mempelbagaikan pengeluaran dan memenuhi pelbagai cita rasa, YPU telah melantik Chemical Engineering Pilot Plant (CEPP) dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor bagi menjalankan kajian dan pembangunan ke atas produk berasaskan nira nipah.

Ini termasuk dengan menambah perasa seperti nenas, limau nipis, mangga, kacip fatimah serta tongkat ali ke dalam nira.

Menurut Pengurus Cakna Sdn. Bhd, Wan Mokhtar Wan Ibrahim, syarikat masih berdepan masalah kekurangan bekalan yang semakin kritikal.

"Kita menerima banyak permintaan memandangkan produk ini dijual di seluruh negara dan ia semakin digemari masyarakat bandar tetapi pengeluaran begitu terbatas kini,'' katanya.

Selain faktor cuaca, ujarnya, masalah lain seperti nira diminum binatang liar serta kekurangan penyadat, nira nipah juga amat sukar diperoleh ekoran pokoknya yang terlalu sensitif.

"Nipah amat sensitif. Kalau sering diusik, dicantas dan diganggu pohon ini tidak akan mengeluarkan airnya. Dahannya perlu diurut, dibelai serta dimanja bagi membolehkan air nira yang dihasilkan banyak dan manis.

"Hasil airnya bergantung kepada pohonnya. Jika bernasib baik ia boleh mencecah dua liter untuk satu pohon jika tidak memang tidak ada langsung," jelasnya.

Thursday, November 4, 2010

Hobi Dapat Wang


Produk hasil hobi beri pendapatan lumayan


SAEIZAH Mian menunjukkan pancuran air terjun hasil kerjanya yang sesuai untuk diletakkan di sudut laman rumah. - utusan/Norzainura Abdul Majid

BATU PAHAT 3 Nov. - Siapa sangka dengan hanya sekadar hobi pada masa lapang menghasilkan pelbagai produk perhiasan taman berasaskan simenfero, kini memberi pendapatan lumayan.

Malah, kecenderungan masyarakat kini yang gemar menghias halaman rumah untuk menjadi tempat beristirehat yang cantik dan nyaman, membawa tuah kepada pengusaha produk perhiasan taman seperti Saiezah Mian, 43, dan suaminya, Kamal Jawahir, 53.

Lebih beruntung, ilmu menghasil produk berkenaan dipelajari daripada anak mereka, Mohd. Azhar yang pernah mengikuti kursus berkenaan.

"Anak saya pergi kursus tetapi dia tak minat, dia lebih minat jadi mekanik. Jadi, kami pelajari cara-cara membuat produk ini daripada dia dan menjadikannya sebagai hobi serta menghias laman rumah sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Saiezah yang juga bertugas sebagai guru Kemas memberitahu, usahanya bermula dengan modal RM450 untuk membeli bahan-bahan seperti simen, pasir, dawai mata punai untuk menghasilkan produk menarik seperti pasu bunga, tiang lampu, meja landskap untuk taman dan air terjun buatan.

Waktu lapang terutamanya pada waktu petang, hujung minggu serta cuti umum dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuat pelbagai produk dan menghias halaman rumah sekali gus menimbulkan minat kepada penduduk setempat untuk menempah produk yang diinginkan.

Menurutnya, produk yang dihasilkan mereka dijual dengan harga serendah RM18 hingga RM450 bergantung pada jenis produk bermotifkan kayu yang nampak klasik dan ringan serta mudah diguna dan dibersihkan.

Sama ada ia untuk dijadikan hiasan taman di rumah kampung atau laman di rumah bandar, semuanya menarik dan menjadi pemangkin semangat bagi suami isteri ini meneruskan hobi itu sejak lima tahun lalu.

Lebih membanggakan, halaman rumah mereka yang dihiasi dengan landskap menarik turut terpilih untuk memenangi pertandingan dalam kategori Rumah Tradisional dan dijadikan rumah contoh seterusnya rumah cantik pada tahun lalu.

Malah, kampung mereka, Kampung Sungai Nibong pula dianugerahkan Desa Cemerlang peringkat daerah.

Menurutnya, sebelum ini rumah mereka menyertai pertandingan pada 2001 tetapi hanya mendapat sagu hati dan apabila diumumkan sebagai juara tahun lalu, mereka sekeluarga amat teruja.

"Kemenangan ini merupakan sumbangan kami sekeluarga terhadap kampung. Walaupun tak menyumbangkan wang, kita membantu dari segi keceriaan dan keindahan kampung," katanya.

Saeizah berkata, dia sentiasa membantu suaminya menyiapkan pelbagai produk yang dihasilkan termasuk memberi idea menghasilkan produk baru.

Katanya, sebuah pasu boleh disiapkan dalam masa tiga hari manakala meja empat kerusi mampu dihasilkan dalam masa seminggu.

Menurutnya, apa sahaja yang diusahakan sekiranya diiringi dengan usaha dan minat akan mendatangkan manfaat serta mampu menambah pendapatan keluarga walaupun ia dilakukan secara sambilan.

Tuesday, November 2, 2010

Madu Asli


Madu lebah asli ‘diburu’

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my

Pencari madu lebah sedang membuat tinjauan di sebatang pokok yang terdapat sarang lebah di dalam hutan di Kampung Paya Pulai, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

TEMERLOH 1 Nov. – Tempoh antara April hingga ke hujung tahun sememangnya dinanti-nantikan oleh sekumpulan anak muda di sini kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan dengan memburu madu lebah asli.

Sekumpulan tujuh anak muda dari Kampung Paya Pulai di sini yang diketuai Azman Mansor, 32, dibantu enam rakan lain iaitu Mohd. Redza Abdul Ghani, 44, Mohd. Khairudin Mat Zaini, 40, atau ‘Mat’, Yuszaime Abu Samah, 31, Azahari Omar, 34, dan Ahmad Bakhtiar Ishak, 30, juga tidak ketinggalan dalam aktiviti itu.

Turut sama ialah Ishak Abu Bakar, orang lama yang selesa dengan panggilan Pak Teh Li. Kumpulan itu terdiri daripada mereka yang pakar dalam selok-belok hutan dan berpengalaman lebih 20 tahun dalam aktiviti mencari madu lebah.

Persediaan untuk mengambil madu perlu dilakukan dengan teliti kerana proses mencari sarang lebah bermula dengan mengikut jejak lebah yang keluar mencari makanan.

Azman ketika ditemui mendedahkan, teknik pencarian sarang lebah yang sempurna adalah antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi kerana waktu itu adalah paling mudah untuk melihat kawanan lebah keluar mencari makan.

Menurutnya, kawanan lebah akan mula mendapatkan makanan daripada ribuan jenis bunga termasuklah bunga kelapa sawit, bunga durian, rambutan dan bunga pokok-pokok hutan yang biasa terdapat di kampung.

“Lebah ini akan dijejak dari satu bunga ke satu bunga hingga akhirnya membawa saya ke sarang. Proses ini memerlukan kesabaran kerana kami perlu mengikut ke mana sahaja ia pergi.

“Pernah saya berjalan mengikut jejak lebah ini sehingga satu kilometer jauhnya dan berpusing-pusing dalam hutan,” katanya.

Tambah Azman, apabila dapat menjejak sarang, barulah kumpulannya menyediakan peralatan asas seperti baldi, tali, lampu picit, pisau untuk mengambil madu.

Menurutnya, untuk menghalau lebah, dia menggunakan kulit pokok kenanga sebagai alat utama bagi mengasap lebah dan alat yang dipanggil ‘karuk’ atau ‘suluh’ itu tidak dijual sebaliknya memerlukan kemahiran membuatnya sendiri.

Kulit kayu Kenanga dipilih kerana baranya tidak mudah padam dan sentiasa mengeluarkan asap. Apabila sarang lebah ditemui, peralatan cukup disediakan, maka tiba masa mengambil madu lebah.

Penulis turut dipelawa mengikuti proses mengambil madu lebah diketuai Azman dan rakan-rakannya dan lokasi mengambil madu lebah kali ini agak jauh ke dalam hutan.

Kebetulan pada hari yang sama dua sarang lebah dikenalpasti dan akan diambil secara serentak.

Selepas berkumpul kira-kira setengah jam di rumah Azman di Kampung Paya Pulai kira-kira jam 9.30 malam, kumpulan itu bergerak menaiki motosikal ke hujung kampung.

Sebaik sampai, kerja dilakukan dengan pantas dan Azman memberi isyarat untuk mula memanjat pokok dengan berpaut pada lilitan akar di sekeliling pangkal batang pulai bersaiz kira-kira tiga pemeluk itu.

Mereka mendakwa, kawanan lebah itu tidak akan menyerang tetapi dengan syarat, jangan pasang lampu suluh terlalu lama dan jika dihinggapi, jangan ditampar atau dikuis sebaliknya biarkan sahaja.

Tak sampai lima minit, Azman sudah sampai di atas pokok lebih tinggi dari kedudukan sarang lebah itu yang jaraknya kira-kira tiga meter dari tanah. Tidak lama selepas itu karuk dinyalakan, diasapkan ke sarang dan diketuk-ketuk pada sarang.

Bara api yang jatuh dikejar ribuan lebah, saat itu paling mencemaskan apabila mendengar deruan lebah memenuhi sekeliling kumpulan tersebut yang berada dalam lingkungan kira-kira 3 meter dari sarang.

Kurang dari lima minit, Azman mengambil pisau dan menoreh madu lebah itu perlahan-lahan dan dimasukkan ke dalam baldi.

Proses menapis madu dilakukan semalaman sebelum dimasukkan ke dalama dibotolkan.

Azman seterusnya berkata, madu lebah asli menjadi buruan kerana harganya kini mencecah RM70 bagi 600 gram di pasaran Temerloh. Harganya akan meningkat sehingga RM100 apabila tiba di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Tambahnya, tahun ini sahaja, dia telah mengumpul lebih 4.8 kilogram madu lebah asli daripada 38 sarang lebah yang diambilnya.

Menurutnya, dia tidak pernah menjual di luar, sebaliknya pelanggan yang datang ke rumah kerana sudah mengenalinya sebagai pencari madu lebah asli.

“Sebenarnya kerja mengambil madu lebah asli ini kadang-kala boleh menjadi bahaya jika tidak diikuti beberapa petua dan pantang larang,” jelasnya.

Katanya, musim madu lebah asli akan berakhir penghujung tahun dan ketika itulah madu lebah asli pokok tualang akan muncul dengan banyak.

“Mencari madu lebah asli tualang bagi saya lebih mudah berbanding mengambil madu lebah biasa. Walaupun terpaksa memanjat hingga ke puncak pokok tualang, kerja yang dilakukan sangat berbaloi.

“Biasanya kalau pokok tualang yang mempunyai 20 sarang ke atas barulah kami panjat, kalau tidak, kerja kami tidak berbaloi,” katanya.

Bagi mereka yang inginkan madu lebah asli boleh datang terus ke rumah Azman di Kampung Paya Pulai atau menghubunginya 019-9332471.