Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Tuesday, November 16, 2010
Anita
Menyelami dunia Anita
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my
Mazni Aznita atau nama penanya Anita Aruszi bersama koleksi-koleksi novel tulisannya di Kuala Terengganu, semalam. - utusan/ Fauzi Baharudin
KUALA TERENGGANU 15 Nov. - Anita Aruszi. Nama itu mudah terserempak oleh mereka yang sering melilau untuk mendapatkan bahan bacaan bagi mengisi waktu luang di rak-rak novel Melayu popular semasa di toko-toko buku.
Novelis wanita prolifik ini menarik untuk diperhatikan perkembangan masa depan yang menjanjikan ketika dia semakin menempatkan dirinya di kalangan penggemar novel dan khalayak sastera tanah air.
Sejak karya pertamanya Dedalu Di Hati muncul pada 2007, kreativitinya terus mencurah dan dalam tempoh tiga tahun dia muncul dengan sembilan novel dalam pelbagai genre, dua daripadanya menggunakan nama sebenarnya Mazni Aznita.
Dilahirkan di Kuala Terengganu, anak sulung lima beradik ini yang memegang ijazah dari Universiti Malaya berkhidmat sebagai guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini.
"Saya mula berkecimpung dalam bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Semuanya bermula dari pengaruh yang diterapkan oleh ayah saya.
"Keluarga kami bukanlah golongan yang senang, maka saya jarang dapat berbelanja mewah. Dengan gaji yang sedikit, ayah saya akan membawa saya dan adik beradik keluar sebulan sekali ke bandar.
"Namun kami jarang dapat membeli barang-barang yang kami ingini. Tapi ayah saya tidak lokek untuk membeli buku-buku bacaan untuk kami adik beradik," ujarnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Peluang menjadi pengawas perpustakaan di sekolah suatu yang amat menggembirakan yang lebih mendekatkan Mazni Aznita dengan buku dan di situ dia berupaya menghabiskan antara lima hingga 10 buah buku sehari.
"Namun seiring dengan pertambahan usia, saya mula pandai mengkritik buku-buku yang saya baca. Saya sering tidak berpuas hati jika terdapat buku yang mempunyai penamatan kisah tidak saya suka.
''Lalu alangkah baiknya jika saya boleh menulis sendiri kisah-kisah kehidupan mengikut perspektif saya dan dari situ saya cuba menulis cerpen dan puisi yang kemudiannya menjadi bahan bacaan kepada rakan-rakan di sekolah," ujarnya.
Sebaik menginjakkan kaki ke universiti, katanya penulisan menjadi semakin serius apabila ia menjadikan medium untuk melapangkan fikiran dan merehatkan minda.
"Tahun akhir di kampus, muncul karya pertama saya dengan genre cinta disusuli kekeluargaan, thriller, komedi, fiksyen sains dan juga fantasi," ujarnya.
Kata Mazni Aznita lagi, untuk menjadi seorang penulis novel yang akhirnya boleh diterima penerbit dan pasaran tidak mudah dengan nama yang belum dikenali.
''Tapi jika sekali kita melangkah masuk, pintu di dunia penulisan akan terus terbuka luas untuk kita.
''Saya gigih berusaha untuk menghasilkan novel-novel yang boleh diterima oleh kebanyakan pembaca dan berharap mereka menyukai idea yang saya garapkan di dalamnya," tambahnya.
Bagi mendekati pembaca, dia menghasilkan sebuah blog khas untuk memuatkan karya-karyanya dalam bentuk e-novel dengan pelbagai kisah masyarakat.
"Saya bukanlah seperti beberapa orang penulis novel yang bergurukan novelis-novelis terkenal ataupun sasterawan negara. Guru saya hanyalah buku-buku yang saya baca," katanya.
Imaginasinya berasaskan dari dunia di sekitar yang dilihat, didengar dan ditatap, menjadikannya sebuah karya kreatif yang telah dinaratifkan.
''Sepanjang bergelumang dalam dunia penulisan, saya menghadapi pelbagai cabaran yang adakala membuatkan diri jadi penat dan lemah semangat namun dorongan keluarga mengukuhkan tekad.
Dia antara lain megimbas tentang karya awalnya yang dihantar telah ditolak oleh syarikat penerbitan dan sikap pihak penerbit melambat-lambatkan bayaran royalti serta sukarnya mengetahui sambutan sebenar.
Baginya, biar pun terikat dengan tanggungjawab sebagai pendidik, menulis bukannya suatu bebanan apabila ia menjadi kegemaran dan menjadi rutin hariannya terpaku di depan komputer dari pukul 10 malam hingga 2 pagi.
"Sementara untuk hujung minggu pula, saya akan memperuntukkan hampir 8-10 jam untuk menulis dan inilah masanya saya berkurung di dalam bilik menyudahkan manuskrip.
"Hari cuti persekolahan adalah hari yang paling ditunggu-tunggu kerana inilah masanya saya terperuk dengan manuskrip 24 jam sehari,'' jelasnya.
Karya terbaru Mazni Aznita akan menjengah pembaca pada tahun depan dengan sebuah novel misteri, sebuah karya bercorak komedi dan sebuah kisah cinta kekeluargaan.
"Saya harapkan untuk menghasilkan lebih kurang tiga novel setahun dan ingin mengekalkan elemen-elemen thriller dalam setiap naskah yang saya hasilkan sebagai suatu daya tarikan,'' ujarnya.
Impian wanita ini ialah suatu ketika akan muncul sebuah novel karya besar tanah air bagi melancarkan namanya dalam arus perdana dunia sastera dan berada sebaris dengan novelis ternama.
''Segalanya masih jauh. Masih ada banyak perkara yang harus saya lakukan untuk mencapai tahap itu," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment