Tuesday, November 16, 2010

Siswi Berniaga


Eiva Beauty Cafe kian popular di Kota Bharu


kEBANGGaAN seorang graduan, Fatihah Ab. Rahman menujukkan kedainya di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 15 Nov. - Lazimnya kebanyakan mahasiswa di institut pengajian tinggi awam atau swasta telah menanam cita-cita sejak awal lagi untuk mempunyai kerjaya yang 'hebat' di agensi kerajaan atau swasta.

Bagi mereka, ia merupakan jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan dengan hanya mencurahkan ilmu yang dimiliki dan berbakti tanpa berbelah bagi kepada agensi atau firma dipilih itu.

Malah tidak keterlaluan lagi ada di antara golongan tersebut telah mula meletakkan azam untuk berkhidmat di syarikat konglomerat tertentu seperti Petronas.

Pun begitu amat sedikit di kalangan mahasiswa yang mahu menggunakan ilmu yang dimiliki dalam bidang perniagaan sedangkan ia memberikan peluang dan pulangan yang lebih lumayan sekiranya berjaya.

Atas alasan tersebut, seorang gadis yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Fatihah Ab. Rahman, 29, memasang tekad memulakan perniagaan biarpun terpaksa menghabiskan wang simpanannya sendiri.

Beliau yang kini memperkenalkan jenama sendiri untuk diet tambahan terpaksa menempuh pelbagai cabaran biar pun usaha tersebut masih belum menunjukkan kejayaan yang cemerlang.

"Sebelum ini, saya bekerja di beberapa buah syarikat untuk mengumpul wang bagi memulakan perniagaan dan hasrat tersebut tercapai tiga tahun lalu tetapi banyak cabaran yang terpaksa saya lalui.

"Pada mulanya saya membuka butik pakaian tetapi ia tidak mendapat sambutan kemudian saya menukar strategi dengan menjual pakaian tersebut di Pasar Borong Wakaf Che Yeh sebelum beralih ke spa dan pusat kecantikan," kata anak kelahiran Pasir Mas itu.

Kini, beliau boleh berbangga kerana telah mengeluarkan produk sendiri iaitu kopi pracampuran 'Eiva Beauty Cafe' sebelum beberapa lagi produk yang akan menyusul tidak lama lagi.

Katanya, produk tersebut telah mula dipasarkan pada awal bulan lepas di negeri ini dalam proses untuk dikembangkan ke seluruh negara dalam masa terdekat.

"Saya terpaksa menggunakan simpanan sendiri untuk mengeluarkan produk ini tanpa sebarang bantuan atau pinjaman daripada mana-mana pihak.

"Sebenarnya saya tidak berani untuk meminjam kerana saya masih mempunyai 'hutang' belajar dengan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi (PTPN), saya tidak mahu dibebankan dengan masalah lagi biarlah terpaksa mengikat perut," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, pusat kecantikannya yang terletak di tingkat bawah, Flat Jalan Bayam masih beroperasi biasa walaupun pada masa yang sama terpaksa keluar untuk memasarkan produk terbarunya itu.

Katanya, sekarang merupakan saat yang getir dalam hidupnya untuk menentukan masa depan kerana kesemua wang simpanannya telah disumbangkan pada produk berkenaan.

"Saya perlu bekerja keras kerana produk ini akan menentukan segalanya, saya pernah merasa bagaimana gagal dalam perniagaan dan ia menjadi pengajaran yang amat berguna untuk saya bangun," katanya.

Mengulas mengenai idea untuk mengeluarkan produk tersebut, beliau berkata, ia merupakan diet tambahan untuk orang ramai yang sibuk bekerja pada setiap hari.

"Memang betul banyak produk seperti ini di pasaran tetapi saya yakin ada pelanggan sendiri kerana ia berbeza dengan produk-produk lain dengan ramuan tersendiri.

"Sebelum memasuki pasaran, saya telah mencubanya sendiri kerana saya mahu memastikan kualitinya benar-benar terjamin dan pelanggan berpuas hati," katanya.

Kopi tersebut mengandungi Collagen, vitamin C, kacip fatimah, mas cotek, seenna leaves, serapat, rempah ratus dan diadun dengan biji kopi terpilih.

"Kopi ini didapati dapat meningkatkan kecergasan, mencantikkan kulit dan menceriakan wajah, melambatkan proses penuaan, membuang lemak dan kolestrol yang berlebihan dan mengempiskan perut," katanya.

"Buat masa sekarang saya masih mencari pengedar untuk produk ini dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di talian 017-9564259 atau di laman sosial Facebook, fatihah eva," katanya.

No comments:

Post a Comment