Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Saturday, November 6, 2010
Nira
Usaha komersial nira nipah terbatas
Oleh Siti Airunnisa Alaui
utusanterengganu@utusan.com.my
PETUGAS, Fatimah Mohd mengisi air nira nipah ke dalam botol sebelum dibungkus di pusat pengumpulan dan pemerosesan nira nipah di Marang, baru-baru ini.
MARANG 5 Nov. - Pusat pengumpulan dan pemprosesan nira nipah dibuka di sini lima tahun lalu dengan harapan yang cukup tinggi bagi mengkomersialkan sumber alam itu dan memberi ganjaran kepada penduduk sekitarnya.
Ia kemudiannya dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Mesin yang difahamkan bernilai RM500,000 beroperasi bagi merintis perusahaan itu di negara ini.
Ia dikendalikan Koperasi Pekebun Nipah Marang Berhad atas inisiatif kerajaan negeri berdasarkan potensi dari segi sambutan dan bahan mentah yang masih mudah didapati.
Digerakkan melalui pendekatan 1 produk 1 Daerah, ia turut membantu memberi nilai terhadap tumbuhan yang selama ini daunnya digunakan untuk membuat atap tradisional dan barangan kraf desa.
Malah, berpuluh keluarga yang bergantung kepada hasil jualan nira daripada pokok meliar di kawasan berpaya dan becak bakal memperoleh pendapatan lebih terjamin hasil kegiatan sampingan mereka.
Pihak yang diberi kepercayaan untuk memasarkannya mensasarkan pasaran bukan sahaja di seluruh negara, tetapi juga untuk dieksport ke Asia Barat dengan permulaan sebanyak 60,000 botol.
Kilang di Kampung Kelulut itu awalnya dikatakan berkeupayaan mengeluarkan kira-kira 10,000 botol air nira sebulan dan kira-kira 60 orang penduduk akan menjadi pengusaha dengan membekalkan bahan itu.
Nira nipah dibotolkan sebagai minuman segar sebagai minuman tenaga tambahan bagi kecergasan yang dikatakan turut mempunyai khasiat bagi merawat gout, darah tinggi dan kencing manis.
Namun, ia difahamkan tidak mencapai sasarannya dan operasi kilang itu hanya mampu bertahan selama selama setahun sebelum pengurusan diambil alih oleh syarikat Cakna Sdn. Bhd di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi memberi nafas baru.
Pengurusan ternyata berdepan dengan masalah mendapatkan bekalan 2,000 liter sebulan yang diperlukan kerana jumlah yang terkumpul begitu kecil dan menyukarkannya bergerak secara komersial.
Ia bukan sahaja kerana semakin mengecilnya kawasan berpaya ekoran dijadikan tapak projek pembangunan tetapi juga kerana hanya terdapat beberapa orang yang bersedia menjadi pembekal.
Malah, keadaan itu memaksa pihak pengurusan mendapatkan bekalan dari negeri- negeri lain dan sedang menimbang untuk mendapatkan dari Thailand.
Bagaimanapun, bagi mengatasi masalah itu dari jangka panjang, YPU telah memohon tanah daripada kerajaan negeri untuk menanam nipah namun, setakat ini, tiada kawasan yang bersesuaian.
"Justeru itu, buat masa ini kita hanya mencadangkan agar kawasan di sepanjang Sungai Marang sehingga ke Mercang diwartakan kerana kita bergantung sepenuhnya kepada bekalan di kawasan berkenaan," ujarnya.
Dibotol dan dibungkus dengan cantik serta kemas, produk minuman dengan jenama T- Nypa dipasarkan dengan harga RM2.50 manakala cuka pada harga RM9.90 sebotol.
Untuk membantu mempelbagaikan pengeluaran dan memenuhi pelbagai cita rasa, YPU telah melantik Chemical Engineering Pilot Plant (CEPP) dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor bagi menjalankan kajian dan pembangunan ke atas produk berasaskan nira nipah.
Ini termasuk dengan menambah perasa seperti nenas, limau nipis, mangga, kacip fatimah serta tongkat ali ke dalam nira.
Menurut Pengurus Cakna Sdn. Bhd, Wan Mokhtar Wan Ibrahim, syarikat masih berdepan masalah kekurangan bekalan yang semakin kritikal.
"Kita menerima banyak permintaan memandangkan produk ini dijual di seluruh negara dan ia semakin digemari masyarakat bandar tetapi pengeluaran begitu terbatas kini,'' katanya.
Selain faktor cuaca, ujarnya, masalah lain seperti nira diminum binatang liar serta kekurangan penyadat, nira nipah juga amat sukar diperoleh ekoran pokoknya yang terlalu sensitif.
"Nipah amat sensitif. Kalau sering diusik, dicantas dan diganggu pohon ini tidak akan mengeluarkan airnya. Dahannya perlu diurut, dibelai serta dimanja bagi membolehkan air nira yang dihasilkan banyak dan manis.
"Hasil airnya bergantung kepada pohonnya. Jika bernasib baik ia boleh mencecah dua liter untuk satu pohon jika tidak memang tidak ada langsung," jelasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment