Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Thursday, November 4, 2010
Hobi Dapat Wang
Produk hasil hobi beri pendapatan lumayan
SAEIZAH Mian menunjukkan pancuran air terjun hasil kerjanya yang sesuai untuk diletakkan di sudut laman rumah. - utusan/Norzainura Abdul Majid
BATU PAHAT 3 Nov. - Siapa sangka dengan hanya sekadar hobi pada masa lapang menghasilkan pelbagai produk perhiasan taman berasaskan simenfero, kini memberi pendapatan lumayan.
Malah, kecenderungan masyarakat kini yang gemar menghias halaman rumah untuk menjadi tempat beristirehat yang cantik dan nyaman, membawa tuah kepada pengusaha produk perhiasan taman seperti Saiezah Mian, 43, dan suaminya, Kamal Jawahir, 53.
Lebih beruntung, ilmu menghasil produk berkenaan dipelajari daripada anak mereka, Mohd. Azhar yang pernah mengikuti kursus berkenaan.
"Anak saya pergi kursus tetapi dia tak minat, dia lebih minat jadi mekanik. Jadi, kami pelajari cara-cara membuat produk ini daripada dia dan menjadikannya sebagai hobi serta menghias laman rumah sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Saiezah yang juga bertugas sebagai guru Kemas memberitahu, usahanya bermula dengan modal RM450 untuk membeli bahan-bahan seperti simen, pasir, dawai mata punai untuk menghasilkan produk menarik seperti pasu bunga, tiang lampu, meja landskap untuk taman dan air terjun buatan.
Waktu lapang terutamanya pada waktu petang, hujung minggu serta cuti umum dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuat pelbagai produk dan menghias halaman rumah sekali gus menimbulkan minat kepada penduduk setempat untuk menempah produk yang diinginkan.
Menurutnya, produk yang dihasilkan mereka dijual dengan harga serendah RM18 hingga RM450 bergantung pada jenis produk bermotifkan kayu yang nampak klasik dan ringan serta mudah diguna dan dibersihkan.
Sama ada ia untuk dijadikan hiasan taman di rumah kampung atau laman di rumah bandar, semuanya menarik dan menjadi pemangkin semangat bagi suami isteri ini meneruskan hobi itu sejak lima tahun lalu.
Lebih membanggakan, halaman rumah mereka yang dihiasi dengan landskap menarik turut terpilih untuk memenangi pertandingan dalam kategori Rumah Tradisional dan dijadikan rumah contoh seterusnya rumah cantik pada tahun lalu.
Malah, kampung mereka, Kampung Sungai Nibong pula dianugerahkan Desa Cemerlang peringkat daerah.
Menurutnya, sebelum ini rumah mereka menyertai pertandingan pada 2001 tetapi hanya mendapat sagu hati dan apabila diumumkan sebagai juara tahun lalu, mereka sekeluarga amat teruja.
"Kemenangan ini merupakan sumbangan kami sekeluarga terhadap kampung. Walaupun tak menyumbangkan wang, kita membantu dari segi keceriaan dan keindahan kampung," katanya.
Saeizah berkata, dia sentiasa membantu suaminya menyiapkan pelbagai produk yang dihasilkan termasuk memberi idea menghasilkan produk baru.
Katanya, sebuah pasu boleh disiapkan dalam masa tiga hari manakala meja empat kerusi mampu dihasilkan dalam masa seminggu.
Menurutnya, apa sahaja yang diusahakan sekiranya diiringi dengan usaha dan minat akan mendatangkan manfaat serta mampu menambah pendapatan keluarga walaupun ia dilakukan secara sambilan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment