Wednesday, November 17, 2010

Cacat Bukan Penghalang


Tanpa sepasang kaki dan tangan kiri, Imi masih mampu cipta sejarah tersendiri


Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Nik Omar Abdul Rahman (kiri) bersama Timbalan Naib Canselor UTM, Datuk Mohd. Tajudin Ninggal dan Ruzimi Mohamed melihat motosikal elektrik untuk OKU di UTM Skudai, baru-baru ini.

“SETIAP manusia diberi hak sama untuk hidup, udara sama untuk dihirup, jumlah putaran masa sama untuk digunakan mahupun langit sama untuk dijunjung. Mengapa perlu kita bezakan yang kurang upaya dengan yang sempurna”.

Itu bicara pertama oleh personaliti pilihan ruangan Helo Kampus kali ini, Ruzimi Mohamed yang lebih mesra dipanggil Imi di kalangan rakan sekuliahnya.

Jejaka berusia 25 tahun itu tidak sesekali melihat kekurangan yang dimilikinya sejak kecil itu sebagai penghalang untuk mencipta sejarah tersendiri.

Dia yang hanya dikurniakan sebelah tangan iaitu tangan kanan tanpa sepasang kaki dan tangan kiri tetap bersyukur dengan kurniaan Allah kerana baginya kekurangan itu akan dibalas dengan kelebihan yang tidak ternilai.

Menurut penuntut tahun akhir pengajian sarjana itu, biarpun hanya memiliki sebelah tangan, dia bersyukur kerana dikurniakan banyak ‘tangan’ dan ‘kaki’ untuk membantunya dalam setiap segi termasuk pergerakan, pembelajaran dan aktiviti semasa.

Motivator sambilan kini boleh berbangga apabila mempunyai dua syarikat dengan sebuah diusahakan bersama seorang lagi rakannya.

“Syarikat Imi Creative Solution Sdn. Bhd. menyediakan perniagaan pembangunan laman web, kursus motivasi dan teknologi maklumat manakala Embroidry Teknologi menyediakan perkhidmatan jahitan dan sulaman.

“Alhamdulillah, perniagaan saya berjalan lancar. Kebanyakan pelanggan adalah di kalangan kakitangan dan penuntut UTM sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Ruzimi memberitahu, menjadi salah seorang daripada orang kurang upaya (OKU) bukanlah menjadi kesalahan, apatah lagi malu dengan kecacatan diri sendiri.

Malah, anak kelahiran Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan itu turut mencipta motosikal roda tiga berkuasa bateri yang dinamakan Imi Creative Car (ICC) bagi kegunaan OKU dan warga emas pada masa akan datang.

Projek yang menelan kos RM25,000 itu dilengkapi aplikasi teknologi hijau iaitu menggunakan bateri untuk menggerakkannya.

“Kenderaan yang boleh digunakan warga emas ini tidak mengeluarkan asap dan tidak menggunakan petrol sebagai sumber bahan api,” katanya.

Katanya, dia turut bekerjasama dengan Zull Design untuk tujuan modifikasi kenderaan berkenaan.

No comments:

Post a Comment