Tuesday, November 9, 2010

Lunpuh Tapi Cemerlang


Kontraktor lumpuh jadi usahawan cemerlang


ASMAH Bakar (kanan) dan Zamri Mansor (dua dari kanan) bersama penerima cenderahati lain di Sambutan Hari OKU Peringkat Negeri Kedah 2010 di Kulim, baru-baru ini.

KULIM 8 Nov. - Tulang pinggangnya patah dan kedua-dua kakinya lumpuh sejak berusia 16 tahun.

Namun, kecacatan fizikal tersebut bukan menjadi penghalang buat Zamri Mansor, 38, dari Kampung Pantai Halban, Jitra, untuk berdikari.

Zamri kini mula mencipta nama sebagai seorang kontraktor kelas F berjaya di negeri ini.

"Saya tidak mudah putus asa, malah meneruskan kehidupan seharian seperti orang biasa. Cuma sekarang sibuk sedikit kerana mengawasi 30 pekerja termasuk sebahagian besar OKU di bawah syarikat penyelenggaraan milik saya iaitu Hangaku Selenggara Enterprise," katanya pada majlis sambutan Hari OKU peringkat negeri di sini semalam.

Pada majlis itu, Zamri dinobatkan sebagai Usahawan OKU Cemerlang Negeri Kedah 2010.

Turut dinobatkan sebagai Usahawan OKU Wanita Cemerlang Negeri Kedah ialah tukang jahit, Asmah Bakar, 46, dari Taman Rasa Sayang, Bedong, dekat Sungai Petani.

Kedua-dua mereka menerima hadiah daripada Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Enau Edin Nom.

Mengimbas kembali pengalamannya, Zamri berkata, ketika belajar di tingkatan empat di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, 22 tahun lalu, beliau terlibat dalam satu kemalangan menyebabkan tulang pinggangnya patah dan kemudian kedua-dua kakinya lumpuh sehingga terpaksa berhenti sekolah.

Namun, beliau masih gigih untuk belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara bersendirian pada 2000.

Katanya, kejayaan tersebut kemudian membolehkannya menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam dan belajar selama setahun dalam bidang perundangan.

"Namun saya terpaksa menangguhkan pengajian atas sebab peribadi," katanya.

Selepas itu jelasnya, beliau pulang ke kampungnya di Jitra dan menjadi peraih udang dengan modal RM50.

Selama dua tahun jelasnya, beliau menjual udang segar yang dibeli terus daripada nelayan di Kuala Sanglang dan Kuala Kedah dengan berulang-alik setiap hari menunggang motosikal yang diubahsuai untuk golongan OKU.

Kata Zamri, beliau kemudian mendapat peluang menjalankan kerja membina laluan khas untuk OKU dan sebagainya di pejabat-pejabat kerajaan daerah Kubang Pasu selaku subkontraktor dari 2004 hingga 2007.

Berbekalkan pengalaman itu, jelasnya, beliau mendaftar sebagai kontraktor Kelas F dengan Pusat Khidmat Kontraktor menggunakan nama syarikat Hangaku Selenggara Enterprise pada 2008.

No comments:

Post a Comment