Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Thursday, November 25, 2010
Belut
Khasiat belut melalui produk Shirah
CHE Rashirah Yaacob menunjukkan produk keluaran Shirah B'lux di Ekspo SDSI, Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 24 Nov. - Semasa kecilnya, Che Rashirah Yaacob amat geli melihat dan memegang belut, hidupan air tawar yang mudah didapati di sekitar hutan paya bakau di pinggir kampungnya di Tasik Kubu Marang.
Ayahnya seorang petani, kerap membawa pulang dan menggunakan belut sebagai ramuan ubat-ubatan tradisional yang dihasilkan sekadar mengisi waktu luang berasaskan permintaan penduduk setempat.
Che Rashirah, 44, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan, beransur menyedari khasiat ikan itu dalam aspek penjagaan kesihatan dan kecantikan sebagai mana yang diperakui oleh masyarakat setempat.
Ini termasuklah dalam aspek penyembuhan luka pembedahan, merawat kulit, ketahanan tubuh, lelah, mencegah hepatitis dan membuatkan aliran darah kembali normal.
Berasaskan potensi yang ada tercetus hasratnya untuk memberi nilai yang lebih tinggi dengan produk yang lebih dikaitkan dengan premis perniagaan 'kaki lima' ke pasaran komersial.
Justeru dengan sokongan suami, Rahimi Ibrahim, 46, dan anggota keluarga lainnya, dia memberanikan diri untuk menjadi usahawan dengan meneroka bidang ini melalui penubuhan Syarikat Rangkaian Tani Enterprise pada Mei 2008.
Syarikat yang diasaskan oleh ibu lima anak ini merupakan syarikat bumiputra pertama yang menternak, memproses dan menjual produk berasaskan bahan itu di negeri ini.
Dia memulakan perusahaan dengan modal RM150,000 termasuk pinjaman daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Dengan jenama Shirah B'lux, ia muncul dengan tiga produk iaitu Kopi Shirah, Losyen Belut dan Jelly Belut yang telah berada di pasaran sejak sembilan bulan lalu dan hampir 7,000 unit telah dijual.
Sambutan awalnya itu meskipun promosi terbatas dengan pengedaran dibantu tiga stokis di Kuala Berang, Hulu Terengganu, Kota Bharu (Kelantan) dan Rawang (Selangor), di samping 'dari mulut ke mulut' ia memberi tanda yang mengukuhkan keyakinannya.
Sebelum itu, dia berdepan dengan cabaran dalam proses awal menimba kemahiran dan kerugian apabila dua kali kolam ternakannya ditenggelami banjir, namun tidak mematahkan harapannya.
"Setelah lebih dua tahun usaha keras untuk menjayakan cita-cita ini, barulah ia menampakkan hasil. Tahun pertama selalu rugi, banyak juga belut mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia semasa menyertai Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), dekat sini semalam yang merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan keluarannya kepada masyarakat negara ini.
Tambah Rashirah, di sebalik rupa dan bentuk haiwan yang menggelikan itu, tersimpan seribu satu rahsia yang potensinya sebagai produk kesihatan sangat cerah.
"Ketika saya memulakan perniagaan ini satu ketika dulu, masalah utama adalah untuk memperoleh bekalan belut.
"Saya terpaksa mengimport bekalan tersebut daripada Indonesia dan di kesempatan itu, saya beberapa kali berulang alik ke negara berkenaan untuk mempelajari teknik pembenihan dan penternakan belut di sana," jelasnya.
Hasil daripada usaha itu katanya, beliau mengambil langkah untuk menternak sendiri bekalan tersebut walaupun pada awalnya menemui kegagalan atas pelbagai faktor.
"Sebagai percubaan sebelum membuka lebih banyak lagi kolam ternakan, tiga buah kolam telah dibina dan mampu memuatkan sehingga 8,000 ekor benih belut dalam satu-satu masa," ujarnya.
Di samping itu, produk Shirah akan dipelbagaikan termasuk minuman kesihatan pelbagai perisa yang berasaskan belut yang dijangka dipasarkan awal tahun depan.
Bakal turut berada di pasaran dalam tempoh yang sama ialah kapsul dan minyak belut yang kini dalam proses permohonan daripada Kementerian Kesihatan.
Bercerita tentang pengalaman menguruskan perniagaan tersebut, beliau pernah diketawa sinis oleh beberapa kenalannya apabila bercakap untuk menjadi usahawan berjaya.
"Saya mahu buktikan kejayaan ini, walaupun bekerja sebagai kakitangan sokongan di Felcra dan pernah menjadi pembantu rumah serta tidak mempunyai pendidikan tinggi.
"Saya akan bersara awal pada Mac tahun depan bukan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membawa perniagaan ini ke peringkat yang lebih maju," ujarnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment