Monday, November 29, 2010

Asam Jawa


Jus Asam Jawa Kelantan digemari di Perth


Patimah Abu Hassan menunjukkan jus asam jawa asli keluaran Syarikat Warisan Kerongsang Ibu di MAHA 2010 di Serdang, semalam.

SERDANG 28 Nov. - Penyertaan Syarikat Warisan Kerongsang Ibu Sdn. Bhd ke Perth sempena penganjuran 1Malaysia Best Carnival baru-baru ini, telah membuka pasaran baru bagi produk keluaran syarikat itu.

Pengurus Produknya, Patimah Abu Hassan berkata, produk jus asam jawa asli yang dibawa ke pameran itu mendapat sambutan menggalakkan dan habis dijual pada hari pertama karnival itu.

"Sebanyak 200 botol habis dijual dan saya turut mendapat tempahan daripada rakyat Malaysia yang menetap di sana.

"Oleh itu, pada Januari ini, kami akan mula menghantar jus asam jawa bersama produk-produk halal lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerai Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) yang dibuka sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Eksekutif Komita, Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohammed membawa pelbagai jenis produk makanan tempatan ke Australia sempena karnival itu.

Hasil kunjungan itu menurut Patimah, beliau bersama beberapa usahawan lain kini dalam proses menyiapkan dua kontena produk halal yang akan dihantar ke Australia pada Januari depan.

Menurut Patimah, jus asam jawa asli yang dihasilkan di Kota Bharu, Kelantan itu turut mempunyai khasiat termasuk menyembuhkan luka, bisul, membuang sisa-sisa toksik dan boleh mengurangkan ketagihan rokok.

Selain jus asam jawa asli, antara produk lain yang akan dihantar oleh syarikat itu ke Perth tahun depan adalah produk makanan kering seperti murtabak, karipap, kerepek ubi kayu, sos tiram, kicap dan juga sos lada hitam.

"Kunjungan ke Australia baru-baru ini telah membuka satu lembaran baru terhadap syarikat ini. Rupa-rupanya ramai rakyat Malaysia yang menetap di sana yang begitu menggemari dan rindu kepada produk Malaysia.

"Jadi, kita telah berjaya meneroka pasaran baru dengan bantuan kerajaan dan Komita. Pada masa sama, kami juga meningkatkan kapasiti pengeluaran jus asam Jawa asli untuk menampung permintaan pasaran tempatan," katanya.

No comments:

Post a Comment