Tuesday, November 9, 2010

ICT

Misi mencari usahawan ICT bumiputera

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

Gabungan idea kreatif bersama teknologi bakal menghasilkan aplikasi dan kandungan ICT terbaik.

PACUAN dunia komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) yang semakin rancak kini telah membawa banyak kemajuan dalam pelbagai bidang. Perkembangannya bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara malah turut memberi impak yang besar dalam kehidupan rakyat.

Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, ICT sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa sub sektor yang merujuk kepada matlamat memenuhi keperluan komuniti, perkhidmatan, industri dan sebagainya.

Ia mempunyai kaitan yang sangat rapat dalam aktiviti penggabungan idea kreatif bersama teknologi bagi menghasilkan aplikasi dan kandungan ICT terbaik.

Sebagai usaha menggalak, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif pembanguan industri ICT menerusi pemupukan budaya kreatif dan inovatif.

Ia termasuk peningkatan dan penambahbaikan prasarana serta peralatan berkaitannya secara menyeluruh.

Di negara ini, kesedaran mengenai penglibatan serius dalam dunia ICT sememangnya telah berada di peringkat yang memberansangkan.

Ramai usahawan tekno hari ini semakin berani tampil memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka yang cemerlang serta boleh dibanggakan.

Menyokong semangat itu, Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bersama saluran berita televisyen, Astro Awani telah memperkenalkan Anugerah ICT NEF-AWANI 2010.

Dijalankan untuk tahun pertama, penganjuran anugerah itu mempunyai objektif menyokong dan mengiktiraf usahawan ICT yang berpotensi untuk dimajukan terutama daripada kalangan bumiputera.

Menurut Presiden NEF, Ashran Ghazi, terdapat banyak syarikat ICT bumiputera yang mempunyai kemampuan besar namun tidak diperkembangkan kepada saluran yang betul .

''Menerusi platform anugerah ini, kita mahu mengubah stigma negatif terhadap keupayaan syarikat bumiputera.

''Ini kerana, sebenarnya, terdapat banyak syarikat ICT bumiputera yang bagus dan boleh dibawa ke peringkat pasaran global.

''Selain itu, pertandingan ini juga diharap dapat merancakkan lagi ekosistem ICT di Malaysia memandangkan kini semakin ramai pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita mengenai konsep penganugerahan itu, ia mengetengahkan format berbeza daripada anugerah-anugerah ICT yang pernah diadakan sebelum ini.

Apa yang unik, para peserta terpilih akan diberi peluang menonjolkan produk dan perkhidmatan mereka menerusi saluran media.

Ia merangkumi platform media menerusi siaran televisyen (Astro Awani), rangkaian radio (AMP), akhbar (Utusan Malaysia) dan juga majalah keluaran NEF (The Network).

''Pendedahan melalui media ini merupakan peluang promosi yang sangat bernilai jika dibandingkan dengan pemberian hadiah dalam bentuk wang tunai.

''Ini kerana, ia secara tidak langsung dapat memberi impak promosi produk dan syarikat yang sangat besar terutama dari segi imej, aktiviti pembiayaan, akses pasaran, kreativiti dan pembangunan.

''Sebagai persediaan sebelum di bawa untuk sesi temu bual bersama media, para peserta ini akan turut diberi latihan kemahiran berkomunikasi menerusi bengkel yang bakal diadakan,'' jelasnya.

Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 dibahagikan kepada dua komponen iaitu kategori Bumiputera dan Pilihan Rakyat.

Untuk bumiputera, ia dipecahkan lagi kepada lapan kategori utama melibatkan penilaian oleh panel hakim profesional.

Antara kriteria penilaian yang diambil kira adalah seperti keunikan produk, kreativiti, inovasi, penerimaan pasaran, kualiti serta impak kepada industri dan komuniti.

Sementara bagi Pilihan Rakyat pula, ia mempertandingkan sebanyak lima kategori di mana pemenangnya akan ditentukan oleh rakyat Malaysia secara dalam talian menerusi laman web sosial Facebook.

Tiga pencalonan paling tinggi untuk setiap kategori akan dipertandingkan sekali lagi sebelum calon yang menerima undian terbanyak akan diumumkan sebagai pemenang.

Setakat ini, NEF telah menerima lebih daripada 50 penyertaan merangkumi produk dan juga perkhidmatan ICT.

''Selain kreativiti dalam penghasilan produk dan perkhidmatan, tumpuan penilaian juga akan diberikan kepada model perniagaan sesebuah syarikat,'' katanya.

Untuk tujuan penilaian dan khidmat nasihat, NEF turut bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) selain beberapa syarikat yang bernaung di bawah NEF.

Pada masa akan datang, NEF bercadang untuk bekerjasama dengan lebih syarikat ICT tempatan dalam usaha menjadikan penganjuran lebih unik di samping menarik lebih banyak penyertaan.

Para pemenang akan diumumkan pada 25 November ini. Mereka bakal menerima hadiah berbentuk trofi dan juga sijil penyertaan.

Maklumat lanjut mengenai anugerah ini boleh diperoleh melalui laman web www.nef.org.my.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment