Monday, November 29, 2010

Zulkifli Haron


Ikrar dua 'gadis besi'


Siti Nur Nabillah (kiri) dan adiknya, Siti Nur Afiifah bersama Zull Design Autoronic di MAHA 2010, Serdang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Peranan dua anak gadis pengasas syarikat kejuruteraan bumiputera Zull Design Autotronic, Zulkifli Haron iaitu Siti Nur Nabillah dan Siti Nur Afiifah dalam meningkatkan perniagaan bapa mereka membuktikan kedua-duanya layak digelar 'gadis besi'.

Siti Nur Nabillah, 19, dan Siti Nur Afiifah, 14, yang merupakan anak kedua dan keempat Zulkifli terlibat menguruskan syarikat yang membekalkan mesin-mesin rekaan untuk kegunaan industri kecil dan sederhana, teknologi perikanan serta menyediakan kursus dan latihan dalam bidang elektronik dan mekatronik kepada pelanggan.

Bagaimanapun menurut Siti Nur Nabillah, komitmennya sebagai penuntut Diploma Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, menyebabkan dia hanya berkesempatan membantu ayahnya ketika musim cuti semester.

"Kami tidak sanggup melihat kerja keras ayah membangunkan syarikat ini sejak lebih 20 tahun lalu terhenti begitu sahaja," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di gerai pameran mereka di Laman Jentera sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 di Serdang hari ini.

Menurut gadis itu, dia mula berjinak-jinak dengan urusan syarikat yang berpangkalan di Rawang, Selangor itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Mengenai inovasi terbaru yang ditawarkan syarikat itu, Siti Nur Nabillah berkata, mereka kini sedang memberi fokus kepada kaedah pemeliharaan ikan laut di dalam kolam fiber dengan menghasilkan keadaan semulajadi habitat laut menggunakan air paip.

Sementara itu, pereka mesin industri kecil sederhana (IKS) Zull Design Autotronic, Zamadauwiyah Wahab berkata, mesin itu menawarkan kaedah pemeliharaan ikan laut secara kolam fiber yang mampu bertahan sehingga 15 tahun.

Katanya, sistem itu berfungsi dengan menggunakan konsep pertukaran air paip menjadi air masin.

"Kita hanya menggunakan air paip dan garam tiruan yang telah dilarutkan dan mencapai nilai PH air sehingga 18. Bagi menghasilkan habitat ikan laut secara semula jadi," katanya.

Menurut beliau, idea menghasilkan sistem itu tercetus setelah melihat risiko penternakan ikan dalam sangkar dan kolam yang sering kerugian ketika musim hujan dan terdedah kepada parasit dan bakteria.

Katanya, sistem itu mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu yang memberikan khidmat nasihat, pandangan dan pengalaman tentang cara penternakan ikan yang tepat.

No comments:

Post a Comment