Monday, January 10, 2011

Ikan Sangkar Paya Pasir


Projek ikan sangkar Kg. Paya Pasir terbaik


Mohd. Sidek Hassan (tengah) memberi makanan ikan ketika melawat projek ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Paya Pasir, Maran, baru-baru ini.

MARAN 9 Jan. - Projek ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Paya Pasir di sini menjadi model terbaik dalam meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, projek yang dijalankan di bawah konsep 'Projek Juara' itu merupakan strategi kerajaan meningkatkan pendapatan keluarga miskin tegar.

Katanya, ia selaras program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Pelaksanaan sesuatu projek ekonomi membabitkan keluarga miskin tegar ini dibimbing oleh mentor berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang.

"Misalnya, projek ternakan ikan patin sangkar dan tilapia di Kampung Paya Pasir yang membabitkan 12 peserta ini dipilih daripada senarai e-Kasih dengan dibimbing dua mentor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke projek ternakan ikan tersebut di Kampung Paya Pasir, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohamad Safian Ismail; dan Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan dividen berjumlah RM20,712 kepada peserta projek ternakan terbabit.

Sejak dilaksanakan November 2009, kata Mohd. Sidek, projek itu berjaya mengeluarkan hasil RM26,262.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa penjawat awam berperanan lebih cekap, berkesan, responsif dan berani membuat perubahan bagi melaksanakan penambahbaikan melalui pendekatan inovatif.

"Kalau kita tidak berubah mengikut perubahan profil dan kehendak pelanggan, organisasi kita tidak lagi relevan dan akan terus ketinggalan," katanya

Menurut Mohd. Sidek, rakyat kini tidak boleh menerima jika agensi kerajaan mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk memproses sesuatu permohonan.

Tambah beliau, rakyat juga tidak boleh lagi menerima sekiranya urusan dengan kerajaan hanya dilakukan dalam waktu pejabat.

"Bagi perkhidmatan yang boleh dilaksanakan secara atas talian perlu dijalankan sedemikian supaya perkhidmatan kepada rakyat tidak tertakluk dalam waktu pejabat sahaja," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment