PKB model terbaik tingkatkan pendapatan penduduk miskin
Najib Tun Razak melihat seorang suri rumah membuat beg yang dihasilkan daripada anyaman plastik di Pusat Komuniti Bersepadu, Bukit Kenau, Pulau Manis, Pekan, baru-baru ini.
PEKAN 24 Jan. - Pusat Komuniti Bersepadu (PKB) Bukit Kenau, Pulau Manis dekat sini mampu menjadi model terbaik bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Ibrahim berkata, PKB merupakan yang pertama dibangunkan di negeri ini bagi menaik taraf golongan berpendapatan rendah.
Katanya, sebanyak 80 unit rumah dibina dan diagihkan kepada golongan yang layak selepas mereka menjalani temuduga yang dikendalikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
"Sejak enam bulan PKB dibangunkan, seramai 60 keluarga terdiri daripada fakir miskin menduduki rumah berkenaan.
"MUIP masih dalam proses menemu duga mereka yang layak bagi mengisi baki 20 rumah lagi yang masih belum diduduki," katanya kepada pemberita sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di PKB, baru-baru ini.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira sejam melawat beberapa projek yang dijalankan bagi menambah pendapatan komuniti di PKB.
Antara projek yang dijalankan oleh peserta PKB termasuk perusahaan ikan keli salai, proses membuat baja tahi kambing, penanaman tembikai jenis rock melon dan kraf tangan berasaskan tali plastik.
Menurutnya, pihaknya difahamkan lawatan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ke PKB sebagai melihat persiapan sebelum semua menteri Kabinet dibawa melawat ke pusat berkenaan pada 9 Februari depan.
Katanya, menteri Kabinet dibawa melawat PKB supaya mereka melihat sendiri keberkesanan projek yang dilaksanakan bagi membantu golongan miskin keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Pusat itu akan dijadikan contoh kepada menteri terbabit supaya diwujudkan di kawasan masing-masing bagi membasmi kemiskinan," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Pulau Manis model terbaik
ReplyDelete