Monday, January 10, 2011

Ternak Talapia


Ternak tilapia bantu golongan miskin

Rencana dan gambar AZMAN MD NOOR

IBRAHIM Ahmad (dua dari kiri) menunjukkan tilapia merah yang dibungkus untuk sejuk beku kepada Azmi Che Hussain di kolam Kampung Banggol Asam Jawa, Pulai, Baling, Kedah.

Sama ada dibakar, dicicah atau digoreng, tilapia merah atau si manis merah ini mempunyai kelainan tersendiri terhadap cita rasa penggemar ikan air tawar.

Tilapia merah ini salah satu spesies ikan air tawar organik yang mula mendapat perhatian penggemar ikan tempatan dan luar negara kerana khasiat tersendiri.

Di Amerika Syarikat (AS) penduduknya dikatakan lebih gemar memilih ikan ini yang dikatakan sesuai untuk kesihatan diri berbanding menikmati ayam.

Di kenali sebagai aquatik chicken oleh penduduk negara berkenaan, sudah sampai masanya ikan ini dijana pengeluarannya secara besar-besaran kerana potensi luasnya yang semakin diminati.

Kesesuaian air dapat membantu pengusaha tempatan menceburi ternakan tilapia merah ini secara serius.

Biasanya penggemar tempatan dalam negara kita akan merasai sedikit dahulu isi ikan ini kerana ada ketikanya ikan ini berbau tanah atau hanyir tentunya memberi kesan kepada peminatnya.

Lebih-lebih lagi ikan ini yang kebanyakan diternak di dalam kolam bekas lombong atau tanah sawah akan mempengaruhi fizikal semulajadinya.

Di Kampung Banggol Asam Jawa, Pulai, Baling Kedah, lapan penduduk di bawah program e-Kasih yang mengumpulkan penduduk miskin mengusahakan ternakan ikan air tawar dengan menjadikan spesies tilapia merah.

Projek tersebut dilihat sebagai pilihan tepat menerusi program sosioekonomi untuk menambah pendapatan.

Sehingga ini, sebanyak 26 buah kolam telah dibangunkan dengan bantuan seorang pengusaha berpengalaman bagi menjadikan industri akuakultur ini satu kejayaan selain memperkenalkan daerah berkenaan sebagai pengeluar tilapia merah.

Dengan keluasan lebih enam hektar dan usaha memperoleh lebih sekurang-kurangnya 100 hektar melalui tanah sawah terbiar sedang dilakukan termasuk menilai tahap air pada tahap pH yang sesuai.

Jika dibandingkan dengan jumlah tanah sawah terbiar di daerah ini projek ternakan tilapia merah itu boleh menjadi projek perintis kepada usaha memajukan tanah terbiar dengan ternakan tilapia secara komersial.

Bukan itu sahaja, sekurang-kurangnya lebih 300 kolam lagi akan diwujudkan dalam menjana semula ekonomi penduduk miskin.

Projek di Kampung Banggol Asam Jawa ini yang diketuai oleh pengusaha berpengalaman selama 23 tahun, Ibrahim Ahmad, 44,telah mula menampakkan tanda positif apabila lebih 10 tan tilapia dapat dikeluarkan dalam seminggu.

"Kita yakin dapat mengeluarkan sebanyak 10 tan tilapia merah seminggu dan akan bertambah pada pengeluaran peringkat kedua," katanya kepada MEGA ketika ditemui baru-baru ini.

Walaupun diusahakan secara berkelompok peserta projek akan bekerja di projek tersebut dan akan mendapat hasil setelah ditolak kesemua perbelanjaan.

Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya hanya mampu membekalkan tilapia merah ke pasaran tempatan termasuk Lembah Kelang.

Namun begitu pemegang ijazah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu sudah semakin teruja apabila ada penawaran dari syarikat antarabangsa yang mahukan produk keluaran tempatan ini dipasarkan secara lebih luas.

Ibrahim mengakui, beliau telah mendapat tempahan apabila Denmark dan AS namun jumlah yang diminta cukup besar.

"Antara 15 hingga 20 kontena sebulan diperlukan oleh negara terbabit memberikan keyakinan kepada kami untuk berusaha,'' katanya.

Lebih menarik, Ibrahim dengan pasukannya telah membuat banyak kajian termasuk dalam menghasilkan baka menarik tilapia merah.

Beliau menambah, tilapia merah yang dibungkus akan disejuk beku sebelum dihantar kepada pasaran tempatan.

"Kita yakin jumlah pengeluaran boleh ditingkatkan kerana kesesuaian pembesaran ikan dan pemakanan secara sistematik," ujarnya.

Katanya, tilapia menggunakan induk tempatan yang dibiak dan dibesarkan didalam kolam menyebabkan pengeluaran benih dapat ditingkatkan dalam tempoh masa yang singkat.

Menurut Ibrahim, kejayaan mengeluarkan hasil tilapia merah ini bukan sahaja menjana pendapatan penduduk malah akan mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan yang dialami mereka sebelum ini.

Katanya, sebanyak 600 kilogram pelet makanan ikan terpaksa digunakan sehari bagi makanan ikan tersebut.

Tambahnya, ikan tersebut mengambil masa antara enam hingga lapan bulan sebelum hasilnya dapat diambil.

Projek tilapia merah ini turut menjana kepada industri baru berasaskan tilapia apabila sisik ikan ini boleh dibuat kolagen manakala lendirnya boleh dibuat kosmetik untuk dikomersialkan.

Terbaru pihaknya menghasilkan kopi kalogen dari sisik tersebut.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan negeri Kawasan Bayu, Azmi Che Hussin yang berbangga dengan kejayaan peserta, berharap lebih ramai lagi peserta program e-kasih boleh terlibat berikutan banyak kawasan tanah sawah yang tidak diusahakan.

"Kita berharap projek ini menjadi projek perintis dalam membawa pendapatan terus kepada penduduk miskin,'' katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk ternakan itu melalui program e-kasih ini.

Katanya, jaminan pasaran dan teknikal akan menjadikan projek ini berjaya sekali gus mampu menjadikan daerah ini pengeluar terbesar ikan tilapia merah.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment