Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Sunday, January 2, 2011
Perkas bantu golongan memerlukan
NOR Leila Yusof (enam dari kiri) bersama ahli persatuan Perkas bergambar di Pejabat Perkas di Taman Seri Kuantan, Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN 31 Dis. - Persatuan Kebajikan Sukarelawan dan Sosial Kuantan (Perkas) akan menjalankan aktiviti kebajikan bagi membantu golongan sasaran yang memerlukan.
Pengerusinya, Nor Leila Yusof berkata, persatuan itu yang ditubuhkan 30 Ogos lalu merancang mengadakan pelbagai program bagi memberi manfaat kepada golongan terbabit.
"Kempen Bantuan Bencana Alam dan Kemiskinan yang akan berlangsung pada 30 Januari depan merupakan program pertama yang dijalankan oleh persatuan ini.
"Kita memilih kawasan Sungai Lembing kerana terdapat 672 orang penduduk miskin tegar selain tempat tersebut sering dilanda banjir setiap tahun," katanya ketika ditemui di Pejabat Perkas, di sini, baru-baru ini.
Nor Leila berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah merupakan penasihat persatuan yang banyak membantu dan menyokong usaha Perkas.
"Persatuan akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin untuk membantu dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat," jelasnya.
Menurutnya, aspek perubatan, kesihatan, ekonomi dan ibu tunggal, anak yatim serta orang kurang upaya (OKU) turut menjadi perhatian persatuan itu.
"Bagi melaksanakan semua misi itu kita memerlukan kerjasama dan sumbangan daripada semua pihak terutamanya organisasi korporat dan individu persendirian yang sudi menghulurkan bantuan.
"Kita juga tidak mengehadkan penglibatan kerana persatuan ini terbuka untuk semua kaum selaras dengan konsep 1Malaysia," katanya yang setakat ini terdapat 30 ahli berdaftar dengan persatuan itu.
Menurutnya, orang ramai yang berminat untuk menjadi ahli boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut di talian 09-5665566 atau datang sendiri ke pejabat persatuan itu di alamat A-7472 Lorong Seri Kuantan 37 di sini.
Katanya, Perkas akan mewujudkan laman sosial Facebook dalam tempoh terdekat bagi menarik minat dan mempromosikan aktiviti selain memudahkan orang ramai mengetahui maklumat berkaitan persatuan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment