Thursday, January 20, 2011

Mee Kuning Jerantut


Dua ibu tunggal usahakan mi kuning di balai raya

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

SITI Najad Daud (tengah) dan Zaini Abd. Latiff (kanan) bersama pembantunya memproses mi kuning di Balai Raya Taman Perumahan Awam Kos Rendah Mat Kilau, Jerantut, baru-baru ini. – utusan/Haris Fadilah Ahmad

JERANTUT 19 Jan. – Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itu prinsip dua ibu tunggal di sini yang gigih mengusahakan perusahaan mi kuning sehingga berjaya mengubah kehidupan mereka.

Kegigihan kedua-dua pengusaha terbabit, Zaini Abd. Latiff, 54, dan Siti Najad Daud, 54, yang merupakan peserta di bawah Skim Geran Pelancaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut menyebabkan mi kuning keluaran mereka berjaya menembusi tiga daerah iaitu Jerantut, Temerloh dan Jengka.

Walaupun terpaksa menumpang di Balai Raya Taman Perumahan Awam Kos Rendah (TPAKR) Mat Kilau di sini sejak tiga tahun lalu kerana tiada kilang sendiri, kedua-dua ibu tunggal itu tetap bersemangat mengusahakan projek berkenaan.

Dengan menggunakan jenama Mee Kuning Ibu Tunggal (MKIT), perusahaan mereka semakin maju walaupun tanpa sebarang kemahiran dan pengalaman memproses mi sebelum ini.

Zaini berkata, mereka memulakan perusahaan itu dengan bantuan dana JKM bernilai RM10,000 untuk membeli peralatan memproses mi kuning manakala selebihnya dijadikan modal pusingan.

‘‘Memang sukar memulakan bidang ini tanpa pengalaman dan kemahiran. Jika tiada kesabaran, sudah tentu perniagaan ini berhenti di separuh jalan.

‘‘Ketika mula membuat mi kuning, banyak dugaan ditempuh seperti adunan tidak menjadi, kadangkala keras, terlalu lembut selain kerenah tertentu pelanggan tetapi lama kelamaan kami mendapat petua terbaik daripada seorang rakan serta membaiki kelemahan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Zaini yang juga Pengurus MKIT memberitahu, setelah dua tahun beroperasi dengan pemantauan JKM, pasaran produknya mula berkembang dan mendapat galakan daripada penduduk setempat serta pelanggan di daerah ini.

Siti Najad pula berkata, mereka kini semakin memahami teknik dan piawaian membuat mi kuning yang menepati cita rasa pelanggan dan usaha itu dapat membantu meningkatkan pengeluaran serta pemasaran.

‘‘Mula-mula pelanggan kami di kalangan penduduk di sini tetapi ia terus mendapat permintaan di pasar bandar Jerantut, Pasar Tani Kekal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), restoran dan peniaga kecil,” katanya.

Menurutnya, perusahaan itu mampu mengeluarkan kira-kira 350 bungkus mi kuning seminggu bagi pasaran daerah terbabit.

Siti Najad berkata, permintaan meningkat pada musim perayaan sehingga 700 bungkus seminggu dan ia memerlukan pekerja tambahan di kalangan jiran berdekatan.

Dia berharap kerajaan negeri membina sebuah bangunan baru untuk keselesaan mereka memproses mi kuning selain dapat menjamin kualiti pengeluaran dan keselamatan peralatan yang digunakan.

No comments:

Post a Comment