Artikel hanya 'copy n paste' dari akhbar atau lain-lain sumber. Untuk menghubungi syarikat atau individu terbabit usahakanlah oleh anda sendiri.
Saturday, January 22, 2011
Kedai Telekomunikasi
Ingin buka kedai telekomunikasi sendiri
Siti Hawa Akma Abdul Rahim
KUANTAN 21 Jan. - Minatnya dalam bidang telekomunikasi, telah mendorong seorang gadis kelahiran Melaka yang kini menetap di Pahang untuk menceburi perniagaan tersebut.
Siti Hawa Akma Abdul Rahim, 20, nekad membuka premis perniagaan telefon bimbit dan aksesori walaupun mendapat persaingan sengit serta majoritinya dimonopoli oleh golongan bukan bumiputera.
Gadis pemurah senyuman yang lebih mesra disapa Hawa kini berkhidmat lebih tiga tahun di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di sini sebelum mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan tersebut dalam waktu terdekat ini.
Menurutnya, bekerja di syarikat telekomunikasi memberinya banyak pengetahuan dan pengalaman khususnya di bahagian pemasaran yang secara tidak langsung berurusan dengan orang ramai.
"Kelebihan bekerja di bidang ini adalah kita menjadi antara orang terawal yang mengetahui perkembangan teknologi dalam komunikasi serta dapat memiliki jenama telefon bimbit terbaru di pasaran.
"Perniagaan telekomunikasi cukup mencabar kerana ramai berminat menceburi bidang ini kerana permintaan terhadap pengunaannya dalam urusan harian amat tinggi," katanya.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, perkembangan teknologi telekomunikasi pada masa kini yang semakin berkembang pesat turut melahirkan kebimbangan khususnya kepada generasi muda.
"Walaupun gajet menjadi keperluan pada masa kini, ibu bapa perlu memantau dan mengehadkan penggunaan gajet tersebut kepada anak-anak agar mereka tidak terdedah dengan gejala negatif seperti penyebaran gambar dan video lucah menerusi telefon bimbit.
"Justeru, ibu bapa sendiri perlu mempunyai pengetahuan tentang teknologi yang diberikan kepada anak-anak supaya mereka tidak begitu terleka dengan kecanggihan teknologi," katanya.
Bercerita tentang hobinya, Hawa berkata, dia lebih suka menghabiskan masa lapangnya bermain futsal bersama rakannya dan pernah beberapa kali menyertai kejohanan sukan tersebut.
"Bagi saya, walaupun sibuk dalam kehidupan seharian, kita patut amalkan gaya hidup sihat kerana tubuh sihat akan menjamin minda cerdas dan seterusnya memberi kita kualiti kehidupan sempurna," katanya.
Selain bersukan, Hawa juga gemar melancong khususnya di tempat peranginan di negara ini yang dapat menghilangkan tekanan, sekali gus dapat merehatkan diri bersama keluarga dan temannya.
Kata Hawa, dia turut menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran suatu hari nanti bagi memperluaskan pengetahuan khususnya dalam bidang yang diceburinya kini.
TAJUK-TAJUK BERITA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment