Demi Madu
Tidak ramai wanita menceburi perniagaan berasaskan madu asli kerana proses mendapatkan bekalan bukannya mudah. Ini diakui Wan Azila Wan Ismail, 36, yang sering diperlekehkan setiap kali menyertai ekspo. Kebanyakan pengunjung beranggapan dia hanyalah orang tengah yang menerima madu setelah siap berbungkus menjadi produk.
Perkara ini bagaimanapun tidak menjadi kudis buat Azila. Menyertai syarikat TLH Product Industries diasaskan suami, Zulkurnain Yunus, 46, sejak tiga tahun lalu setelah menamatkan perkhidmatan di sebuah syarikat penerbangan tempatan, dia kini semakin masak dengan asam garam bidang diceburinya.
“Ini pun saya baru pulang dari Sumatera dua minggu lepas. Sebelum ini syarikat memperoleh bekalan madu daripada hutan kita tapi memandangkan pengeluarannya tidak konsisten kami terpaksa mengambil bekalan dari luar,” kata anak kelahiran Kuala Terengganu ini.
Bagi memastikan madu asli yang diambil sama kualiti dengan madu tempatan, Azila dan suami sudah melakukan kajian. Mereka mendapati hutan Kalimantan, Borneo, Sumatera dan Selatan India antara yang mengeluarkan madu serupa memandangkan kesemuanya berada pada garis khatulistiwa.
Istimewanya Madu Tualang keluaran TLH, mereka bukan sahaja tidak mengambil bekalan daripada pihak ketiga malah terlibat dengan proses awal termasuk menurunkan madu daripada pokok tualang yang biasanya menjadi pilihan lebah membuat sarang.
“Sebenarnya kualiti madu terletak pada cara ia dikeluarkan daripada sarang. Kami tidak menggunakan proses memerah tapi menghiris nipis-nipis sarang yang diletakkan di atas para buluh sebagai penapis. Cara ini mengurangkan perolehan madu tapi hasilnya lebih bersih dan tulen,” ujar Azila sambil menerangkan proses memerah akan membuatkan madu cepat rosak kerana hasilnya bercampur dengan anak lebah yang pecah perutnya di dalam sarang.
Madu Tualang diambil daripada sarang lebah liar spesies Apis Dorsata. Selain pokok tualang, pokok lain yang biasa menjadi tempat ia membuat sarang ialah keruing, pulai dan ara.
“Sarang lebah hanya dipotong bahagian atas sahaja. Jadi selepas 40 hari hingga dua bulan, anak-anak lebah di bahagian bawah sarang akan kembali menghasilkan madu baru yang boleh dituai,” jelas Azila yang biasanya melalui perjalanan berbelas jam bersama suami dan kumpulannya sebelum sampai ke lokasi sarang lebah.
Selain perjalanan meletihkan, cabaran lain yang turut ditempuh ialah meredah semak samun yang dikhuatiri menyimpan binatang berbisa dan digigit pacat. Selain itu mereka harus berwaspada memandangkan madu turut menjadi kegemaran beruang.
“Sebab itulah Madu Tualang mahal sedikit dibandingkan dengan madu dihasilkan lebah belaan. Proses memanjat pokok yang kadang-kadang dua kali lebih tinggi daripada pokok kelapa pun tak mudah. Sama ada menggunakan paku, tangga rotan atau tali; kesemuanya mempunyai risiko tersendiri,” tutur ibu kepada Muhammad Firdhaus, 13, dan Nur Fatihah, 8, ini.
Di Sumatera, Indonesia terdapat dua kumpulan pemanjat pokok untuk mendapatkan madu iaitu mereka yang melakukan pekerjaan pada waktu siang atau malam. Mereka digelar ‘paning siang’ dan ‘paning malam’.
“Cara paning malam agak unik dan konvensional sedikit. Mereka menepuk-nepuk pokok sambil menyanyi. Setelah mendapat ‘restu’ barulah mereka naik mengambil madu menggunakan tali yang sudah dilastik pada siang harinya,” cerita Azila sambil menambah, risiko disengat lebah lebih nipis pada malam hari memandangkan lebah tidak agresif ketika gelap.
Jawatan Kosong
No comments:
Post a Comment