Pengguna turut rasai kesan kekurangan bekalan kelapa
KUANTAN 31 Dis. - Situasi kesukaran mendapatkan bekalan santan dan kelapa yang dilihat semakin meruncing kini amat membimbangkan pengguna lebih-lebih lagi kepada peniaga makanan.
Kegunaan santan dan kelapa parut dalam penyediaan makanan atau kuih muih sangat diperlukan.
Justeru dengan kesukaran mendapatkan bekalan bahan tersebut dan kenaikan harga santan membuatkan peniaga makanan berasa tertekan.
Sebilangan mereka mengakui terpaksa menaikkan harga makanan dan kuih muih kerana kos santan terlalu tinggi.
Seorang peniaga kuih, Sidek Ali, 65, berkata, kesukaran mendapatkan santan dan kelapa parut sangat dirasai.
Tambahnya, jika ada pun harganya mahal sedangkan keperluan untuk menyediakan sesuatu kuih atau masakan itu sama sahaja.
"Sebagai peniaga, tentulah kita fikirkan soal keuntungan. Namun dalam masa yang sama tetap memikirkan kepentingan pelanggan.
"Berkemungkinan harga kuih terpaksa dinaikkan dari empat biji RM1 kepada tiga," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagi seorang lagi peniaga, Fatihah Zulkifli, 18, dia yang membantu datuknya berniaga kuih muih juga berkata, jika keadaan itu berlarutan pasti sukar peniaga sepertinya meneruskan sumber perniagaan.
"Saya mohon kepada pihak yang bertanggungjawab memantau harga kelapa supaya pembekal tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya atau tetapkan harga siling kelapa supaya perniagaan kami tidak terjejas," katanya.
Sementara itu, seorang kakitangan awam, Latib Hashim, 49, berkata, pengguna sepertinya turut terasa dengan kenaikan harga santan dan kelapa parut.
"Santan yang biasanya dijual RM4 sekilogram kini menjadi RM6. Begitu juga dengan kelapa parut serta kerisik. Mungkin harga bahan itu akan naik lagi dalam waktu terdekat," katanya.
Kata Latib, pihak yang berkaitan harus memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
"Pokok-pokok kelapa juga sukar dilihat ditanam di sini, ladang-ladang kelapa juga sudah ditukar menjadi ladang kelapa sawit. Mungkin beberapa tahun akan datang anak-anak kita tidak kenal pokok kelapa lagi.
"Buah kelapa yang ada sekarang ini semuanya diimport. Sektor pertanian juga lebih mengutamakan tanaman getah, kelapa sawit dan padi. Mungkin tanaman kelapa tidak berapa menguntungkan berbanding getah," katanya.
Katanya, kerajaan wajar berbuat sesuatu sebelum masalah tersebut semakin kritikal dan berharap bekalan bahan itu kembali seperti biasa di pasaran.
TAJUK-TAJUK BERITA
No comments:
Post a Comment