Friday, January 14, 2011

Nak Jadi Jutawan?


Sasar 10 jutawan baru bumiputera

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

SAIFUDDIN Abdullah (empat dari kanan) dan Abu Hanipah Majid (empat dari kiri) bergambar dengan sebahagian peserta yang menghadiri kursus ternakan burung walet di Pertubuhan Peladang Kawasan Temerloh, semalam.

TEMERLOH 13 Jan. - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) mensasarkan dapat melahirkan 10 jutawan baru bumiputera yang terlibat dalam perusahaan sarang burung walet di daerah ini.

Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Temerloh, Abu Hanipah Majid memberitahu, pada masa ini seramai 30 peserta yang terdiri daripada ahli PPK Temerloh mengikuti kursus ternakan sarang burung tersebut di sini.

Menurut beliau, kursus itu mendapat bimbingan daripada bekas Pengarah Veterinar Terengganu, Dr. Azizul Mohd. Shahrul.

"Daripada jumlah peserta itu, PPK menjangkakan dapat melahirkan 10 jutawan baru melalui perniagaan sarang burung walet tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian kursus ternakan sarang burung walet di PPK Temerloh baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Abu Hanipah memberitahu, kursus itu mendapat kerjasama Agro Bank yang mempunyai dana bagi pembiayaan modal untuk mengusahakan projek tersebut.

Bagi menjayakan perusahaan tersebut jelasnya, peserta dan PPK mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Veterinar bagi menjayakan projek yang berimpak tinggi itu.

Sebagai permulaan kata beliau, pihaknya akan membina sebuah bangunan sarang burung walet berhampiran pejabat PPK Temerloh.

"Projek itu akan dijadikan perintis kepada perusahaan sarang burung walet di daerah ini yang membabitkan golongan bumiputera.

"Saya yakin perusahaan sarang burung walet mampu memberi pulangan lumayan kepada peserta kerana ia hanya memerlukan modal yang rendah dan tidak perlu kos penyelenggaraan lain," katanya.

Dengan hanya bermodalkan RM30,000, jelas Abu Hanipah, ternakan sarang burung walet itu boleh diusahakan.

Katanya, ramai orang Melayu berminat untuk menceburi perusahaan tersebut tetapi hasrat itu tidak tercapai kerana menganggap kononnya ia memerlukan kos yang besar.

"Pemahaman itu perlu dikikis kerana telah terbukti dengan modal minimum RM30,000, perusahaan itu mampu melahirkan jutawan jika diusahakan secara tekun.

"Kejayaan itu telah terbukti apabila terdapat beberapa pengusaha yang menceburi bidang ini dengan modal sebanyak itu berjaya meraih pendapatan lumayan sehingga menjadi jutawan," katanya.

No comments:

Post a Comment