Miliki restoran selepas 12 tahun
12 Februari 2012
Tetapi kini semua itu hanya tinggal kenangan apabila hampir 12 tahun menggunakan periuk untuk menjual gulai daging sebagai sumber pendapatannya selepas bersara.
Ini kerana bapa kepada tiga anak itu boleh tersenyum lebar apabila gulai daging yang dijual sebelum ini tidak lagi dimasak di dalam periuk bahkan menggunakan kawah.
Dolasim berkata, sebelum ini dia hanya menjual di gerai yang dibina sendiri, tetapi selepas mendapat sambutan yang menggalakkan, kini dia sudah memiliki sebuah restoran yang dikenali sebagai Che Dol Gulai Kawah.
“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini, kerana pada awal penglibatan dalam perniagaan gulai, saya hanya berniaga untuk mendapatkan wang sampingan selepas bersara sebagai askar Melayu.
“Apabila melihat sambutan yang diterima daripada orang ramai, ahli keluarga dan pelanggan tetap memberikan cadangan kepada saya untuk membuka kedai makan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dengan hasil usaha tersebut sekarang ini, dia mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan apabila menggunakan hampir 10 pekerja setiap hari bagi menguruskan restoran yang dibuka dari jam 10.30 pagi hingga 5.30 petang itu.
Dolasim yang menetap di Kampung Wakaf Lanas berkata, setiap hari, lebih daripada 30 kilogram daging dimasak menggunakan dua kawah bagi menampung permintaan orang ramai yang terdiri daripada penduduk setempat dan orang luar dari daerah Pasir Puteh.
Katanya, bagi memudahkan urusan memasak, seorang pembantu khas iaitu Mek Mail, 62, daripada Kampung Nara membantu dia menyiapkan gulai daging kawah yang sedap menggunakan resipi tersendiri.
“Jika dahulu, orang ramai hanya boleh mendapatkan gulai, sahaja tetapi sekarang ini mereka mempunyai banyak pilihan kerana kami juga menyediakan beraneka jenis lauk pauk masakan kampung,” katanya.
Dolasim berkata, melihat kepada kejayaan yang dikecapinya sekarang ia tidak mustahil kerana dengan kerja keras serta semangat bersungguh-sungguh, apa sahaja yang diusahakan akan mencapai kejayaan.
No comments:
Post a Comment