Wednesday, February 15, 2012

agropolitan

100 keluarga pindah ke Agropolitan Besut–Setiu


Ahmad Said (tengah) membuat tinjauan pembangunan Projek Agropolitan Besut-Setiu di Panchur Bederu, Setiu, kelmarin.


SETIU 14 Feb. – Projek Agropolitan Besut-Setiu (BSA) di Panchur Bederu dekat sini bakal memberi manfaat kepada 38 keluarga miskin apabila peringkat pertama fasa satu projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu beroperasi Mei ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek penternakan biri-biri Dorper seluas 104 hektar itu melibatkan pembangunan 38 unit rumah, 40 hektar tanaman rumput Napier, surau, kantin, dewan serbaguna dan tadika.
Menurutnya, sebanyak 2,080 kambing biri-biri baka Dorper dari Australia akan dibawa masuk untuk peringkat pertama dan ditempatkan di 20 kandang di situ.
“Peserta bakal menerima pendapatan RM1,000 sebulan daripada aktiviti premier iaitu ternakan biri-biri dan insentif tambahan apabila projek berkenaan meraih keuntungan kelak,” katanya selepas melawat projek itu semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha‘ari Idris; Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafie dan Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim.
Kata Ahmad, Majlis Pembangunan ECER dan kerajaan negeri akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian disiapkan mengikut perancangan.
Katanya, peringkat kedua Fasa I melibatkan pembinaan 62 unit rumah, 34 unit kandang biri-biri, 64 hektar tanaman rumput Napier, rumah kedai, rumah pegawai dan kerja-kerja landskap.
Menurutnya, 62 keluarga lagi akan berpindah September ini menjadikan jumlah keseluruhan 100 keluarga dengan tambahan 2,600 ekor biri-biri.
“Selain imbuhan bulanan, peserta berpeluang menambah pendapatan dengan aktiviti sekunder yang akan dilaksanakan seperti tanaman jangka pendek, memproses tinja untuk dijadikan baja organik serta ternakan burung walet.
“Pendapatan peserta dijangka meningkat kepada RM2,000 dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan boleh mencecah RM5,000 untuk tempoh 10 tahun dengan aktiviti seperti industri makanan ternakan, pengeluaran benih rumput dan rantaian nilai kedai daging,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment