Pelepah sawit sumber rezeki
10 Februari 2012
Dengan sumber yang ada, Fatimah Abdullah, 63, mampu menghasilkan lidi penyapu yang ternyata jarang-jarang sekali dibuat, bagaimanapun sebenarnya mendapat permintaan tinggi daripada pembeli.
Menurut Fatimah, lidi penyapu dihasilkan bukan saja digunakan penduduk Jasin, malah terkenal dari penduduk luar daerah, sekali gus mengimbau kembali kepakaran masyarakat Melayu tradisional dalam penghasilan sesuatu produk.
“Sebenarnya lidi penyapu yang diperbuat dari pelepah kelapa sawit lebih tahan lama berbanding penyapu diperbuat dari batang padi atau jerami gandum. Sebab itu ia mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, Fatimah berkata, adakalanya dia berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pelepah sawit yang baik.
“Pelepah sawit yang digunakan mestilah daunnya baik serta sesuai untuk menghasilkan lidi penyapu yang tahan lama dan bermutu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.
Menurut Fatimah, dia menghasilkan lidi penyapu pada masa luang sambil ditemani cucunya.
“Penghasilan lidi penyapu hanya boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu, terutama ketika pemetik buah kelapa sawit memungut hasil sawit.
“Setiap hari saya mampu menghasilkan lebih kurang 30 ikat lidi penyapu dan seikat lidi penyapu dijual dengan harga RM2,” katanya.
Fatimah turut berharap kemahiran membuat lidi penyapu menerusi pelepah sawit tidak akan hilang untuk generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment