Baitul Husna tidak eksploitasi penghuni anak yatim
12 Februari 2012
Rumah Baitul Husna Bukit Sekilau adalah antara rumah anak yatim dan kanak-kanak miskin yang mampu menguruskan penghuninya dengan baik.
Pengurusannya juga tidak pernah menganjurkan derma jalanan seperti yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab berselindung di sebalik nama madrasah atau rumah anak yatim tertentu.
Timbalan Pengerusi Unit Carian Dana Baitul Husna, Hilmi Mohd Noor berkata, kanak-kanak di Baitul Husna tidak pernah diarahkan meminta derma daripada masyarakat malah pengurusannya sentiasa mengambil tanggungjawab itu dengan cara terancang.
“Baitul Husna yang menempatkan hanya penghuni perempuan ditubuhkan dua tahun lalu pernah dibiayai Yayasan Al-Khalifah selama enam bulan,” katanya.
Selepas itu, katanya, pengurusan Baitul Husna kemudian berusaha memperkenalkan rumah itu kepada masyarakat dengan pelbagai program bersama ahli korporat dan individu yang sudi menderma.
“Impaknya, Baitul Husna kini semakin dikenali malah ada dermawan yang menghulurkan derma tanpa menyebut nama mereka,” katanya yang turut berbangga dengan pemberian penderma secara tetap.
Mohd Hilmi berkata, pihaknya mewujudkan blog dan facebook semata-mata memperkenalkan rumah anak yatim dan penghuni miskin itu kepada orang ramai.
Menurutnya, walaupun tidak mewah dan lengkap sepenuhnya tetapi mereka masih boleh menikmati kemudahan yang sepatutnya dalam sebuah rumah untuk membina sahsiah dan moral penghuninya.
“Sehingga kini, kita tidak pernah melantik mana-mana individu untuk meminta derma bagi pihak Baitul Husna tetapi saya sentiasa berusaha mendapatkan sumber kewangan untuk perbelanjaan mereka selain derma ikhlas masyarakat,” katanya.
Baitul Husna kini mempunyai 14 penghuni berusia antara 9 hingga 14 tahun masih memerlukan derma orang ramai bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih sempurna.
Mereka yang ingin menghulurkan derma boleh menyumbangkan ke akaun Bank Islam 06082010001642 atau menghubungi Hilmi di talian 0162327061.
No comments:
Post a Comment