Hamidah mampu jual 500 dadih sehari
JERANTUT 6 Feb. - Siapa sangka dengan hanya menjual dadih kelapa, seorang suri rumah tangga mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.
Selain enak untuk diminum, dadih kelapa mempunyai pelbagai khasiat kepada manusia dan dikatakan boleh menjadi penawar kepada racun.
Penjual dadih kelapa di Taman Negera Kuala Tahan, Hamidah Deris, 41, berkata, penjualan dadih kelapa pada musim cuaca panas itu meningkat dan mampu menjual sehingga 500 bekas dalam masa sehari.
"Dalam masa tiga hari jualan saya boleh mencecah 1,000 bekas dan musim cuaca panas ini boleh mendatangkan rezeki yang berganda kepada saya.
"Setiap hari memang tak menang tangan. Saya dan suami, Ahmad Husni Awang tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang membeli ke kedai kami," katanya, ketika ditemui di kedainya di Pusat Pertumbuhan Baru Kuala Tahan Seberang, Kuala Tahan dekat sini baru-baru ini.
Menurut Hamidah, pada mulanya, dia hanya menjual secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu setelah memperoleh kemahiran daripada rakannya membuat dadih kelapa di bandar ini.
"Saya lihat pelanggan tempatan dan pelancong suka minum air kelapa dan mengambil keputusan untuk membuat dadih biasa dan pandan kerana rasanya lebih enak serta baunya yang lebih wangi.
"Pada mulanya saya hanya jual sekitar 50 bekas dalam sehari dan langsung tak sangka kini saya boleh jual sehingga 500 bekas dalam tempoh itu," ujarnya.
Katanya, kebiasaannya dia memperoleh RM500 sehari dan pernah menjangkau RM1,000 apabila dadih kelapanya ditempah untuk majlis perkahwinan serta majlis keramaian di Taman Negara Kuala Tahan.
"Saya bercadang melebarkan perusahaan dadih ini dan memerlukan bantuan sebuah peti sejuk yang lebih besar pada masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment