Thursday, February 16, 2012

tukang rumah

Bangga jadi tukang rumah
Wartawan Sinar Harian
16 Februari 2012
zulkifli
MACHANG - Bermula sebagai pengutip sampah di tapak pembinaan dengan gaji RM12 sehari di Singapura, Zulkifli Mat Nor, 50 mampu berbangga apabila dia kini bergelar tukang rumah mahir.

Pendek kata, pelanggan hanya perlu memberitahu apa sahaja reka bentuk yang diingini, dia mampu menyiapkannya dengan baik berbekalkan pengalaman selama 18 tahun di Singapura membina pelbagai jenis rumah hingga bangunan setinggi 25 tingkat.

Namun katanya, kemahiran tersebut bukan diperoleh dengan mudah apabila pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhinya tambahan pula, dia tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi.

“Dulu susah nak cari kerja berdekatan dengan rumah tambahan pula saya masih muda ketika itu, 15 tahun jadi saya mengambil keputusan mengikut kawan bekerja di Singapura.

“Pada masa itu bekerja di Singapura adalah perkara biasa, dan ramai orang Kelantan ke sana bagi mencari rezeki memandangkan gaji yang ditawarkan lebih baik,’’ katanya.

Anak kelahiran Kampung Pangkal Durian, Bukit Baka itu berkata, selepas 18 tahun mencari rezeki di negara orang, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan membina keluarga.

Katanya, tempoh yang cukup panjang tersebut memberi ruang yang luas kepadanya menimba pengalaman dalam dunia pembinaan.

“Di sana, saya diajar pelbagai kemahiran yang meliputi bermacam bidang dan seterusnya bergelar pekerja mahir. Saya pernah terlibat dengan pembinaan setinggi 25 tingkat dan ia memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada saya.

“Dengan pengalaman tersebut, saya pulang ke kampung dan mengambil upah membina dan membaiki rumah penduduk kampung dan kawasan sekitar bagi mencari rezeki untuk keluarga,’’ kata ayah kepada lapan anak itu.

Lebih membanggakan apabila, Zulkifli turut membantu menyediakan ruang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampungnya dengan mengambil mereka sebagai pekerja.

Katanya, jumlah pekerja bergantung kepada keluasan rumah yang dibinanya dan tempoh masa pembinaan yang ditetapkan pemilik.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah mempunyai masalah dengan pemilik rumah dan mampu menyiapkan tugasan yang diberikan dengan baik.

“Berbanding ruang lain, bagi saya bahagian bumbung paling memakan masa dan memerlukan kemahiran yang tinggi untuk disiapkan,” katanya yang mula bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, walaupun pendapatannya lebih baik namun, dia tetap berjimat memandangkan enam anaknya masih bersekolah dan harga barangan juga semakin meningkat berbanding sebelum ini.

No comments:

Post a Comment