Friday, February 10, 2012

reka motosikal

Mekanik cipta motosikal mini daripada bahan terbuang

10 Februari 2012
Mekanik cipta motosikal mini daripada bahan terbuang
KOTA BHARU - Bagi Rohazman Affendi Abdul Rahim, barangan terbuang seperti besi buruk, tin kosong dan botol plastik beserta enjin pemotong
rumput boleh direka bentuk menjadi motosikal mini.

Motosikal mini unik ciptaan Rohazman, 46, itu kini menarik perhatian sehingga ada yang sanggup menempah motosikal berkenaan yang berharga antara RM800 hingga RM1,000 sebuah.

Mekanik motosikal dengan pengalaman lebih 15 tahun itu mendapat ilham mencipta motosikal mini berkenaan lima tahun lalu "bermodalkan" basikal rosak dan mesin rumput yang tidak boleh dibaiki.

"Idea berkenaan tercetus selepas ada seorang penduduk datang membaiki mesin rumput yang rosak, bagaimanapun ia tidak dapat dibaiki kerana tiada alat ganti berikutan mesin berkenaan jenis yang lama dan dia memberinya kepada saya.

"Selepas itu, saya teringatkan basikal milik anak yang rosak dan mengambilnya dari stor sebelum meletakkan kedua-dua barangan berkenaan
sebelah-menyebelah dan berfikir apa yang boleh dibuat menggunakan bahan ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di bengkelnya di Binjai, Kubang Kerian di sini.

Katanya selepas beberapa lama berfikir dia mendapat idea untuk membuat motosikal mini dan mula mengubah suai basikal anaknya itu secara perlahan-lahan selepas menyiapkan kerja di bengkel.

"Saya mula membina 'tapak' pada basikal itu untuk diletakkan enjin mesin rumput berkenaan dan daripada itu mula diubah suai sedikit demi sedikit hingga akhirnya ia berjaya disiapkan selepas kira-kira sebulan mencuba," katanya.
Berikutan kejayaannya membina motosikal mini itu, ada penduduk yang membuat tempahan daripada beliau untuk merasai sendiri kelainan menunggang kenderaan dua roda yang dibuat khas, katanya.
"Malah mereka sendiri ada yang turut menyediakan bahan berkaitan seperti basikal dan enjin mesin rumput," katanya.

Rohazman berkata beliau memerlukan masa dua minggu untuk menyediakan motosikal mini itu jika menerima tempahan pelanggan.
Katanya beliau telah mendapat sembilan tempahan daripada penduduk yang menunggang kenderaan berkenaan di kawasan kampung.

"Bagaimanapun, saya hanya melakukannya pada waktu terluang dan minat mendalam mengenai barangan berkaitan mekanikal juga menjadi pendorong untuk membina motosikal ini," katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment