Tuesday, February 21, 2012

kaya jual cendol

Berniaga rojak ubah kehidupan Rafi


Mohd. Rafi Sultan, (tengah) ditemani bapanya, Muhammad Sultan (kanan) kini berbangga memiliki van sendiri berkat berniaga rojak dan cendol di hadapan Pasaraya Tunas Manja, Kuantan,


KUANTAN 20 Feb. - Mungkin sebahagian masyarakat lebih suka bekerja makan gaji daripada berniaga sendiri kerana tidak perlu mengeluarkan modal untuk memulakan perniagaan.
Malah, berniaga di tepi kaki lima seperti menjual cendol dan rojak kurang menjadi pilihan orang ramai terutamanya di kalangan masyarakat Melayu.
Akibatnya, sektor perniagaan ini dimonopoli kaum lain kerana mereka sedar bidang tersebut mempunyai potensi cerah selain memberi pulangan lumayan.
Namun bagi Mohamad Rafi Sultan, 24, dia mula berniaga sendiri sejak berumur 17 tahun menggunakan basikal roda tiga untuk menjual cendol dan rojak.
"Saya mula belajar berniaga daripada ayah. Masa itu keluarga saya amat susah. Ketika kecil saya akan teman ayah menjual ikan dari rumah ke rumah.
"Kadangkala saya akan ikut ayah berniaga cendol dengan menaiki basikal. Dari situ saya belajar berniaga," katanya yang kini menjual rojak, cendol dan mi goreng di Indera Mahkota di sini.
Katanya, dia bertekad mengubah nasib keluarga daripada belenggu kemiskinan dengan berniaga secara kecil-kecilan di sekitar Indera Mahkota.
"Pada mulanya saya hanya berniaga menggunakan basikal, lama-kelamaan perniagaan saya semakin baik dan akhirnya keluarga saya memperbesarkan perniagaan dengan menggunakan dua van dan tiga motosikal," katanya.
Bapa kepada dua anak itu kini boleh berbangga kerana berjaya mengubah nasib keluarga daripada belenggu kemiskinan.
"Kini, saya sudah mempunyai rumah sendiri berbanding dahulu kerana terpaksa menumpang di tanah orang dan hanya tinggal di rumah kayu yang buruk," katanya.
Dia menasihati anak-anak muda supaya menceburi bidang perniagaan kerana ia banyak memberi keuntungan daripada bekerja dengan orang lain.
"Banyak manfaatnya jika menceburi bidang itu kerana kita tidak perlu terikat dengan mana-mana pihak. Kita boleh bekerja sendiri tanpa orang lain memantau," katanya.

No comments:

Post a Comment