Wednesday, February 29, 2012

usahawan dinamik

28 peniaga di Bera sertai UK Dinamik


Ishak Muhamad (tiga kiri) menyerahkan cek pembiayaan UK Dinamik kepada salah seorang selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa 2012 Peringkat Daerah Bera, kelmarin.


BERA 28 Feb. - Seramai 28 peniaga kecil daerah Bera dipilih menyertai program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) yang bakal dibimbing oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi meningkatkan keupayaan mereka agar menjadi usahawan berjaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan peniaga kecil.
"Pada peringkat permulaan, sebanyak RM568,000 diperuntukkan kepada 80 usahawan di bawah program UK Dinamik ini di seluruh negeri Pahang.
"Usahawan diberi kemudahan pembiayaan tanpa faedah dengan matlamat meningkatkan pendapatan mereka dalam usaha membina asas bagi pembangunan usahawan bumiputera," kata Ishak semasa berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa 2012 Peringkat Daerah Bera di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Mara, Rosdi Mohamad; Pengarah Mara negeri, Salemi Yusoff; Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan UMNO Bahagian Bera, Norol Azali Sulaiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd Fadil Osman.
Menurut beliau, selain penyaluran dana itu, Mara yang diberi tanggungjawab melaksanakan model program pembangunan usahawan bumiputera diyakini mampu melahirkan peniaga kecil yang berwibawa.

Thursday, February 23, 2012

wang seluruh dunia

Kumpul wang seluruh dunia
Wartawan Sinar Harian
22 Februari 2012
koleksi-duit-lama
MACHANG - Bermula secara suka-suka, hobi Pak Him mengumpul pelbagai jenis mata wang dari seluruh dunia terus berkembang sehingga usia emasnya.

Ibrahim Che Hassan, 67, berkata, pada awalnya, usaha mengumpul dilakukan hanya sekadar suka-suka, namun ia makin menarik dan mencabar apabila banyak wang berjaya dikumpulkan.

“Duit syiling dan duit kertas ini adalah dari simpanan sendiri, ayah dan ada juga yang dibeli daripada rakan-rakan dan pengumpul wang yang lain.

“Selain pelbagai jenis mata wang, syiling atau wang kertas, saya juga mengumpulkan peralatan lama dan ubat-ubatan herba yang digunakan orang dulu-dulu.

“Khazanah ini harus dipelihara untuk generasi akan datang supaya mereka lebih mengenali serta menghargai barangan lama yang wujud sebelum adanya barangan ciptaan moden hari ini,” katanya yang lebih mesra disapa Pak Him.

Antara koleksi simpanan peribadi Pak Him yang paling berharga adalah ‘parang jenguk’ yang diperbuat daripada besi berusia lebih 100 tahun.

Tidak ketinggalan, pisau daun padi yang digunakan golongan wanita dahulu bagi mempertahankan diri dengan membawanya ke mana-mana, termasuk di dalam sanggul rambut atau diselitkan di pinggang ketika keluar dari rumah.

Pak Him berkata, koleksi wang, peralatan lama tersebut mempunyai nilai yang tersendiri dan hanya orang tertentu sahaja mampu menghargainya sesuai dengan nilainya.

Katanya, wang lama yang dikumpulnya mempunyai pelbagai nilai termasuklah wang kertas satu sen yang pastinya akan menarik perhatian generasi muda.

“Sekarang, satu sen tidak mempunyai nilai dan orang tidak menghargainya lagi berbanding zaman dahulu, wang kertas tersebut membuktikan satu sen mempunyai nilai yang tinggi suatu ketika dahulu.

“Rumah saya sentiasa terbuka kepada peminat-peminat wang lama malah saya juga mengadakan pameran jika ada yang mengundang,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemunchup, di sini, semalam.

peragut dibaling epal

Balingan epal tumpas peragut

Oleh Jamilul Anbia Md Denin dan Wan Asrudi Wan Hasan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERSELAMAT...Lim menceritakan kejadian terbabit kepada wartawan Harian Metro.
TERSELAMAT...Lim menceritakan kejadian terbabit kepada wartawan Harian Metro.
SUNGAI SIPUT: Sepasang suami isteri yang baru empat bulan berkahwin, tetapi aktif melakukan jenayah ragut tumpas dek balingan buah epal oleh mangsa mereka di Pasar Sungai Siput, di sini, semalam.
Kejadian berlaku jam 11.50 pagi dan lebih mengejutkan apabila suspek perempuan yang berusia 22 tahun memberitahu dia hamil anak sulung dengan usia kandungan empat bulan.
Selepas ditahan, suspek lelaki yang berusia 32 tahun memberi alasan mereka melakukan jenayah ragut untuk mencari wang bagi membiayai kos rawatan perubatan isterinya.

Mangsa yang juga peniaga buah-buahan di pasar itu, Lim Shui Yang, 53, berkata sebelum kejadian pasangan terbabit menunggang motosikal dan berpusing beberapa kali di kawasan pasar.


“Saya ketika itu sibuk melayan pelanggan tanpa menyedari si suami menyasarkan bakul berisi wang RM30 hasil perniagaan yang diletak di atas meja jualan.

Wednesday, February 22, 2012

pembangunan kg baru dilancar

PPKB dilancarkan Mei ini


Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (berdiri, kiri) sambil diiringi Johari Abdul Ghani melawat makmal komputer selepas merasmikan Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Feb. - Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) akan dilancarkan secara rasmi pada Mei ini setelah selesai proses pelantikan anggota perbadanan tersebut dan majlis penasihatnya.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan penubuhan pasukan interim dan pelantikan pegawai-pegawai akan berkuat kuasa pada 1 Mac ini.
Katanya, terdapat beberapa sesi jelajah khususnya kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru berkaitan perancangan pembangunan di situ yang akan dilaksanakan selepas keputusan mengenai pelan panduan pembangunan diputuskan oleh pihak kementerian dan PPKB.
"Buat masa ini, projek-projek kecil yang melibatkan penambahbaikan infrastruktur sudah pun mula dijalankan di Kampung Baru.
"Apabila selesai urusan untuk perbadanan ini, ia akan dilancarkan. Mengenai pelantikan Pengerusi (PPKB), ia akan dipilih oleh Perdana Menteri sendiri manakala anggota perbadanan pula adalah daripada kementerian dengan persetujuan menteri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran pusat kemudahan pembelajaran kendiri, Terminal Sejahtera Kampung Baru di Kampung Baru di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Kehormat Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS), Shamsuri Suradi.
Sementara itu, mengenai permintaan penduduk untuk mendapatkan sebuah dewan orang ramai di tapak Terminal Sejahtera, Raja Nong Chik memberitahu, tapak terbabit belum dikenal pasti pemiliknya.
"Kita tidak pasti pemilik tapak ini sama ada milik kerajaan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau pihak lain.
"Untuk mendapatkan peruntukan, status tanah haruslah diketahui terlebih dahulu.
"Bagaimanapun kementerian akan mengkaji dan akan usahakan untuk mendapatkan peruntukan bagi tujuan ini," ujarnya.

urusniaga dalam talian

Urus niaga secara dalam talian


Wang yang diterima dan tersimpan di dalam akaun PayPal boleh digunakan untuk apa-apa transaksi lain pula ataupun dipindahkan keluar ke akaun bank atau ke kad Visa.


SEMAKIN hari semakin ramai rakyat Malaysia yang membiasakan diri dengan aplikasi perbankan Internet seperti Maybank2u, CIMBClicks dan yang lain-lain. Membuat dan menerima bayaran, serta pemindahan wang boleh dikatakan tidak lagi menjadi kerisauan kepada pengguna apabila melakukan transaksi melalui dalam talian.
Bagaimanapun ini mungkin masih terbatas kepada urusniaga yang berlaku di dalam negara. Bagi urusniaga runcit yang melibatkan transaksi antarabangsa, ramai yang masih tidak yakin atau tidak pasti bagaimanakah cara yang senang dan selamat.
Salah satu kaedah yang paling lazim digunakan untuk membuat bayaran bagi pembelian sesuatu produk dari penjual di luar negara menerusi Internet ialah kad kredit dan kad debit.
Kebanyakan kad kredit yang dikeluarkan oleh bank-bank di negara ini memang boleh terus digunakan untuk membuat pembelian secara dalam talian, manakala selebihnya ada yang memerlukan anda mengaktifkannya terlebih dahulu.
Ada juga bank yang akan menelefon anda sesudah anda membuat apa-apa transaksi kad di Internet, bagi memastikan bahawa memang anda yang benar-benar melakukannya dan bukan orang lain.
Bank juga biasanya bersedia untuk membantu anda menyelesaikan apa-apa isu sekiranya anda dapati terdapat transaksi yang tidak sepatutnya berlaku.
Apa yang penting anda menjaga maklumat kad kredit atau debit anda dengan baik dan tidak menggunakannya di laman web yang tidak diyakini serta meragukan, ini termasuklah laman web perjudian, pornografi, skim pelaburan haram dan lain-lain yang sejenisnya.
Bagi peniaga pula yang ingin menjual barangan dan mahu memberi pilihan kepada pelanggan mereka untuk membuat bayaran menggunakan kad kredit atau debit, perlulah ada akaun pedagang (merchant account) sama ada terus dengan pihak bank atau pembekal perkhidmatan yang dilantik. Mereka juga perlukan sistem laluan pembayaran (payment gateway).
Penyelesaian yang lebih mudah ialah dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak-pihak yang diiktiraf. Contohnya di Malaysia, ramai usahawan menggunakan khidmat iPay88. Anda juga boleh menggunakan khidmat antarabangsa seperti 2Checkout, WorldPay dan banyak lagi.
Kebanyakannya mengenakan caj bulanan atau tahunan tertentu, serta juga caj bagi setiap transaksi sekitar dua hingga lima peratus.
Satu lagi kaedah yang popular bagi transaksi dalam talian ialah dengan menggunakan PayPal. Ia merupakan satu aplikasi dompet elektronik yang boleh anda gunakan untuk berurusniaga di Internet.
Sesiapapun boleh mendapatkan akaun PayPal secara percuma dan mudah. Berbanding dengan kad kredit yang hanya boleh digunakan untuk membuat pembelian, akaun PayPal boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan, sama ada pembayaran atau penerimaan wang.
Menggunakan PayPal, anda boleh melakukan transaksi dengan lebih selamat kerana anda tidak perlu lagi mendedahkan maklumat kad kredit atau akaun bank. Sebaliknya anda hanya perlu hubungkan kad kredit, kad debit atau akaun bank anda terus ke akaun PayPal untuk tujuan pembiayaan sewaktu transaksi.
Apabila anda membuat pembelian melalui Internet menggunakan PayPal, pertama sekali PayPal akan lihat baki wang di dalam dompet elektronik (akaun) anda. Sekiranya baki yang ada adalah mencukupi maka bayaran tersebut akan ditolak daripada baki yang ada, manakala jika baki itu tidak memadai, maka PayPal akan mengecaj kad kredit anda bagi jumlah selebihnya yang diperlukan.
Satu kelebihan PayPal ialah anda boleh gunakannya untuk transaksi dengan seluruh dunia dan tidak terhad kepada pasaran tempatan sahaja. PayPal sudah pun menjadi jenama yang dipercayai dan dengan memberi pilihan kepada para pelanggan untuk membuat bayaran menggunakannya, akan memberi imej positif serta peluang perniagaan yang lebih meluas.
Menggunakan akaun yang sama, anda boleh menerima bayaran daripada orang lain, contohnya jika anda menjual sesuatu melalui laman eBay, anda boleh gunakan PayPal untuk menerima bayaran tersebut.
PayPal juga sering digunakan untuk menjual sebarang produk atau perkhidmatan menerusi laman web, blog, laman iklan, forum dan lain-lain medium. Ia juga menjimatkan masa kerana anda tidak perlu mengisi maklumat transaksi dan alamat penghantaran berulang-ulang kali.
Selain transaksi perniagaan, PayPal juga boleh digunakan untuk mengirimkan wang kepada kepada orang lain, contohnya kepada ahli keluarga yang berada di luar negara. Untuk mengirim wang atau membuat bayaran wang kepada pengguna lain, anda hanya perlu tahu emel ataupun nombor telefon pengguna tersebut.
Anda juga boleh gunakan PayPal untuk menuntut bayaran dan mengirimkan invois untuk produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.
Sekiranya anda mempunyai kedai dalam talian, PayPal menyediakan kemudahan untuk menghubungkan terus shopping cart anda untuk mewujudkan integrasi yang lebih lancar dan memberi pengalaman membeli-belah yang selesa dan meyakinkan kepada pengguna.
Banyak juga sistem kedai online dan aplikasi shopping cart yang sedia menyokong sistem penerimaan bayaran PayPal tanpa memerlukan konfigurasi yang rumit, hanya perlu masukkan emel anda sahaja.
Wang yang anda terima dan tersimpan di dalam akaun PayPal boleh digunakan untuk apa-apa transaksi lain pula ataupun dipindahkan keluar ke akaun bank atau ke kad Visa (sama ada kad kredit, debit atau pra bayar). Pindahan wang ke kad Visa akan mengambil masa sekitar lima hingga tujuh hari dan dikenakan yuran sebanyak RM20.
Manakala pindahan wang ke mana-mana bank dalam rangkaian MEPS di Malaysia akan mengambil masa tiga hingga empat hari, tiada yuran dikenakan jika jumlah pindahan adalah melebihi RM400, dan jika kurang dari jumlah itu, hanya caj RM3 dikenakan.
PayPal tidak mengenakan sebarang caj untuk anda membuka akaun, memindahkan wang dari akaun bank dan juga membuat sebarang belian, sebaliknya PayPal hanya mengenakan caj apabila anda menerima bayaran dari jualan produk atau perkhidmatan, menerima bayaran atau pindahan wang dari kawan atau ahli keluarga yang menggunakan kad kredit atau debit, atau menerima bayaran daripada pengguna lain di luar negara.
Layari blog hasanihassan.com untuk menyatakan pendapat atau berbincang sebarang kemusykilan berkenaan transaksi secara dalam talian. Ikuti juga video tentang amalan selamat untuk berurusniaga di dalam talian menerusi laman video Utusan Online (http://xtive.utusan.com.my/video.php) mulai hari Khamis, 22 Februari 2012.

bisnes telekomunikasi

Peluang ceburi bisnes telekomunikasi luar bandar


BISNES TMC sesuai dijalankan di pekan-pekan kecil untuk kemudahan penduduk luar bandar.


CAPAIAN Internet yang terhad di luar bandar dan pedalaman mengakibatkan penduduk kawasan tersebut sering berhadapan dengan masalah membuat pembayaran bil setiap bulan.
Lebih menyulitkan, kaunter pembayaran yang terletak di jauh di pekan-pekan juga menyebabkan mereka terbeban dengan kos yang perlu ditanggung serta pembaziran masa.
Memahami permasalahan itu, sebuah syarikat bumiputera tempatan, Berjaya Telekomunikasi telah memperkenalkan Program Keusahawan Komunikasi untuk memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar.
Ia dilaksanakan di bawah projek Pusat Perkhidmatan Telekomunikasi Bersepadu atau lebih dikenali sebagai Pusat Telco Mini (TMC).
Tujuannya adalah untuk memberi kemudahan pembayaran pelbagai jenis bil di kalangan penduduk pedalaman selain menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan telekomunikasi.
Menurut Ketua Eksekutif Pemasaran TMC, Jeffrey Khua, menerusi projek berkenaan, individu yang berminat boleh menyertai pakej perniagaan yang telah disediakan TMC.
"Mereka akan bertindak sebagai agen kutipan di sesebuah kawasan untuk memudahkan penduduk menjelaskan pelbagai jenis bil seperti bil telefon, utiliti dan penyiaran termasuk pembayaran bagi dua syarikat telekomunikasi di Brunei.
"Apa yang menarik, sistem ini tidak memerlukan sebarang akses komputer atau Internet sebaliknya hanya menggunakan aplikasi yang terdapat pada telefon bimbit.
"Aktiviti bisnes berteraskan teknologi maklumat dan telekomunikasi ini sebenarnya bakal memberi pulangan lumayan dan tidak mempunyai risiko tinggi berbanding perniagaan lain,'' jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Selain perkhidmatan sedia ada, pada tahun 2012 ini, TMC bakal memperkembangkan dua lagi servis terbaru iaitu pemindahan duit serta pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya.
Sesuatu yang menarik mengenai aplikasi pembayaran melalui telefon bimbit itu, ia mempunyai antara muka yang ringkas dan mudah untuk dikendalikan.
Bagi melaksanakan transaksi, agen perlu mengkreditkan nilai tertentu ke dalam akaun telefon bimbit mereka terlebih dahulu sebelum ditolak secara automatik sekiranya pelanggan membuat bayaran.
Keuntungan akan diperoleh menerusi caj perkhidmatan yang dikenakan bergantung kepada jarak dan keadaan sesebuah kawasan pedalaman.
Selain individu, para pemilik kedai telefon bimbit dan kedai runcit juga dialu-alukan untuk menyertai projek tersebut.
Ketika ini, TMC mempunyai seramai 52 orang agen di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak dan dijangka ia akan meningkat kepada 1,000 orang menjelang pertengahan tahun ini.
Untuk menyertai TMC, usahawan perlu membayar pakej RM1,995 bagi menerima telefon bimbit beserta aplikasi, kredit bernilai RM300, buku resit dan yang paling penting tidak mempunyai sebarang kos penyelenggaraan.
Oleh itu, agen akan mendapat keuntungan seratus peratus daripada kos perkhidmatan yang dikenakan.
Daripada segi sekuriti pula, pembayaran tersebut adalah selamat dan dijamin boleh dikemas kini dalam masa 24 jam.
Bercerita mengenai aplikasi TMC, Jeffrey memberitahu, pembangunan programnya telah mengambil masa selama tiga bulan dengan sokongan pengaturcara dari China.
Aplikasi berkenaan mempunyai keupayaan boleh diselaraskan bersama semua model telefon bimbit sama ada yang baru atau pun lama.
Untuk strategi perniagaan tersebut pula, pihak TMC akan memberi pendedahan dan informasi kepada pembekal serta pemilik kedai telefon bimbit di seluruh Malaysia tentang betapa mudahnya menjelaskan bil menerusi telefon bimbit.
"Ini merupakan peluang perniagaan yang sangat baik untuk penduduk luar bandar meningkatkan taraf sosio ekonomi melalui bisnes telekomunikasi.
"TMC akan membantu mereka yang berminat bagi memulakan perniagaan ini daripada segi daripada segi latihan dan bimbingan nasihat,'' jelasnya.
Pada masa hadapan, TMC bercadang untuk mewujudkan sistem pembayaran dalam bentuk caravan bergerak untuk kemudahan mobiliti lebih baik kepada pengguna.
Mereka yang berminat menjadi usahawan TMC boleh menghubungi talian 03-8888 8655, 09-662 6862 atau layari portal TMC di www.tmc.my

Tuesday, February 21, 2012

tuah kerja dengan penjara

Tuah suami isteri kerja di Jabatan Penjara
Wartawan Sinar Harian
21 Februari 2012
tuah
JITRA- “Kami tidak menyangka pertemuan di penjara yang membawa ke jinjang pelamin tujuh tahun lalu akhirnya membolehkan kami berkongsi kegembiraan selepas masing-masing menerima anugerah tahun ini,” kata pasangan suami isteri bertugas di Penjara Alor Setar ketika ditemui di sini, semalam.

Irwan Rafes Sazali, 28, dan isterinya, Ayunatida Yahaya, 30, antara 182 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Zon Utara Dua terdiri kakitangan penjara dari Perlis, Pulau Pinang selain Kedah.

Irwan Rafes yang bertugas di bahagian pemulihan dan rawatan itu berkata, biarpun mereka bertugas di penjara sama, namun perlu menghormati satu sama lain sama seperti rakan sekerja lain.

Menurutnya, waktu bekerja adalah masa menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas diamanahkan tanpa mencampuradukkan urusan kerja dengan hal peribadi.

“Baik saya mahupun isteri, kami perlu fokus ketika bekerja dan apabila pulang ke rumah kami berusaha untuk tidak bercerita mengenai hal kerja kerana mahu meluangkan masa bersama keluarga.

“Itu prinsip saya pegang bersama isteri selama berkhidmat di Penjara Alor Setar lapan tahun lalu,” katanya di majlis anugerah itu di Auditorium Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian anugerah itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar.

Ayunatida yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, sebagai pasangan suami isteri bertugas di penjara sama, mereka turut melakukan persaingan sihat menjadi kakitangan yang cemerlang dalam perkhidmatan.

“Tidak sangka tahun ini kami berdua menerima anugerah buat pertama kali ini bersama-sama. Ini sungguh menggembirakan dan akan menjadi kenangan bersama sehingga ke akhir hayat,” katanya yang bertugas di bahagian Pengurusan Rekod Banduan.

Seorang lagi penerima, Mohd Suhairi Awang, 35, yang turut berkongsi kegembiraan itu melahirkan kesyukuran kerana diberi peluang menerima anugerah berkenaan biarpun baru empat tahun berkhidmat dengan Jabatan Penjara.

Menurutnya, disiplin dalam mengikut peraturan yang ditetapkan dalam perkhidma-tan mendorong dirinya menjadi komited dalam menjalan tugas seharian.

“Anugerah ini akan menjadi dorongan kepada saya untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh dan memberikan perkhidmatan terbaik khususnya kepada Jabatan Penjara dan negara amnya pada masa depan,” katanya.

kaya jual cendol

Berniaga rojak ubah kehidupan Rafi


Mohd. Rafi Sultan, (tengah) ditemani bapanya, Muhammad Sultan (kanan) kini berbangga memiliki van sendiri berkat berniaga rojak dan cendol di hadapan Pasaraya Tunas Manja, Kuantan,


KUANTAN 20 Feb. - Mungkin sebahagian masyarakat lebih suka bekerja makan gaji daripada berniaga sendiri kerana tidak perlu mengeluarkan modal untuk memulakan perniagaan.
Malah, berniaga di tepi kaki lima seperti menjual cendol dan rojak kurang menjadi pilihan orang ramai terutamanya di kalangan masyarakat Melayu.
Akibatnya, sektor perniagaan ini dimonopoli kaum lain kerana mereka sedar bidang tersebut mempunyai potensi cerah selain memberi pulangan lumayan.
Namun bagi Mohamad Rafi Sultan, 24, dia mula berniaga sendiri sejak berumur 17 tahun menggunakan basikal roda tiga untuk menjual cendol dan rojak.
"Saya mula belajar berniaga daripada ayah. Masa itu keluarga saya amat susah. Ketika kecil saya akan teman ayah menjual ikan dari rumah ke rumah.
"Kadangkala saya akan ikut ayah berniaga cendol dengan menaiki basikal. Dari situ saya belajar berniaga," katanya yang kini menjual rojak, cendol dan mi goreng di Indera Mahkota di sini.
Katanya, dia bertekad mengubah nasib keluarga daripada belenggu kemiskinan dengan berniaga secara kecil-kecilan di sekitar Indera Mahkota.
"Pada mulanya saya hanya berniaga menggunakan basikal, lama-kelamaan perniagaan saya semakin baik dan akhirnya keluarga saya memperbesarkan perniagaan dengan menggunakan dua van dan tiga motosikal," katanya.
Bapa kepada dua anak itu kini boleh berbangga kerana berjaya mengubah nasib keluarga daripada belenggu kemiskinan.
"Kini, saya sudah mempunyai rumah sendiri berbanding dahulu kerana terpaksa menumpang di tanah orang dan hanya tinggal di rumah kayu yang buruk," katanya.
Dia menasihati anak-anak muda supaya menceburi bidang perniagaan kerana ia banyak memberi keuntungan daripada bekerja dengan orang lain.
"Banyak manfaatnya jika menceburi bidang itu kerana kita tidak perlu terikat dengan mana-mana pihak. Kita boleh bekerja sendiri tanpa orang lain memantau," katanya.

Friday, February 17, 2012

kg baru

Kg. Baru ala Pulau Roosevelt


Pemandangan Kampung Baru, Kuala Lumpur dari udara yang jelas kelihatan reka bentuk rumahnya masih banyak tidak berubah seperti dahulu.


SAYA ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada saudara Y Hussin melalui surat beliau dalam Forum bertarikh 13 Februari 2012 yang menyatakan pendapatnya bahawa orang Melayu (khususnya di Kuala Lumpur) perlu mempunyai satu kawasan khas untuk memperagakan budaya bangsa Melayu dan pada masa yang sama menjadi satu pusat atau hab untuk perniagaan mereka di Kuala Lumpur, sebagaimana kaum Cina yang mempunyai Petaling Street (atau Chinatown) dan kaum India yang mempunyai Little India, Brickfield.
Seperti saudara Y Hussin, pernah terdetik persoalan dalam minda saya pada satu ketika dulu, kenapa orang Melayu, selaku penduduk asal negara ini, tidak mempunyai satu pusat sedemikian di Kuala Lumpur?
Hasil tinjauan rambang saya, saya dapat membuat beberapa kesimpulan yang agak ‘kurang menyenangkan’ bagi saya sendiri.
* Mungkin kerana orang Melayu masih berasa ‘selesa’ dengan mentaliti bahawa seluruh negara ini adalah ‘Tanah Melayu’ jadi tidak perlu mempunyai kawasan warisan Melayu yang bersaiz kecil walaupun di Kuala Lumpur.
* Mentaliti jual tanah (terutamanya tanah bandar) kepada kaum lain untuk mendapat ‘kekayaan segera’ masih lagi bertakuk dalam pemikiran orang Melayu.
Buat permulaan, tidak perlu membina kompleks perniagaan yang besar untuk peniaga Melayu di situ tetapi MENAMBAH BAIK dan MENAIK TARAF apa yang ada. Kemudian seperti yang disarankan oleh saudara Y Hussin, kumpulkan kesemua kebudayaan dan identiti Kaum Melayu di Kampung Baru. Pelihara Kampung Baru sebagai sebuah ‘Kampung’ untuk tujuan pelancongan dan perniagaan.
Antara cadangan penambahbaikan saya adalah:
* Rumah penduduk Kampung Baru harus ditambah baik atau dinaik taraf untuk dijadikan sebagai homestay/hotel/kafe ala Kampung atau pusat pameran /galeri kraf atau budaya Melayu ataupun muzium persendirian milik tuan rumah tersebut. Sebarang renovasi harus mempunyai ciri-ciri kemelayuan. Reka bentuk boleh diambil dari rumah-rumah Melayu dari setiap negeri. Elakkan atap zink kerana ia mencacatkan pemandangan.
* Menambah baik sistem saliran/longkang dan pembetungan untuk mengelakkan banjir dan bau yang tidak diingini. Pemilik rumah juga digalakkan menanam bunga atau pokok yang redup agar kawasan Rumah Orang Melayu Kampung Baru kekal seperti yang kita dapat lihat di kampung-kampung Melayu yang mempunyai pangkin dan pokok bunga di halamannya.
* Menyediakan tempat untuk penjaja kecil Melayu di beberapa batang jalan di Kampung Baru. Mungkin di pusat komersial sedia ada iaitu di sepanjang Jalan Raja Muda Musa atau di tempat yang baharu seperti di Jalan Hamzah atau mungkin di semua jalan di Kampung Baru.
Dengan adanya penjaja-penjaja ini, maka dapat mewujudkan satu lagi kawasan Downtown Hawker untuk orang Melayu. Saya percaya dengan pengurusan yang cekap dan ditambah dengan sifat peramah dan layanan mesra dari penjaja Melayu, Downtown Hawker Kampung Baru akan terkenal dengan sendirinya, baik di dalam dan luar negeri.
Mungkin akan lebih terkenal dari Petaling Street yang kita sedia maklum, terkenal dengan sikap kurang ajar penjajanya. Jika pihak Tourism Malaysia masih berkeras mahu mempertahankan Petaling Street sebagai khazanah negara dengan mempromosikannya seantaro dunia, biarkan.
Saya yakin dengan idea kreatif dan semangat orang muda Melayu dari Kampung Baru dan juga dari luar, kita dapat mempromosikan Kampong Baru Street Mall ini dengan cara tersendiri.
* Membina bumbung tinggi di beberapa batang jalan di Kampung Baru untuk keselesaan pelawat dan pelancong , khususnya untuk ‘Kampong Baru Street Mall’. Jika kerajaan dapat memperuntukkan berjuta ringgit untuk Green Dragon Petaling Street (bumbung tinggi hijau Petaling Street), mengapa tidak dapat memperuntukkan wang untuk membina ‘ATAP’ yang bereka bentuk dan bercirikan seni bina Melayu di Kampung Baru?
* Mengawal keluar masuk kenderaan atau menghentikan terus kenderaan pelawat ke dalam Kampung Baru. Ini untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas dan untuk keselesaan pelancong dan pelawat itu sendiri.
Satu bangunan letak kereta bertingkat untuk kenderaan luar harus dibina di pintu masuk Kampung Baru (sama ada di Jalan Raja Muda Abdul Aziz atau di Jalan Raja Abdullah).Sediakan beberapa perkhidmatan untuk para pelawat seperti basikal sewa, beca atau buggy car berkuasa elektrik sebagai bas atau teksi untuk memasuki Kampung Baru.
Sediakan wakaf atau pangkin di tepi jalan untuk pelawat yang berjalan kaki merehatkan badan. Konsep ini telah sebenarnya telah dipraktikkan di beberapa negara barat, contohnya di Pulau Roosevelt, New York, Amerika Syarikat di mana semua kenderaan milik pelawat dan kebanyakan penduduk pulau tersebut diletakkan di sebuah letak kereta bertingkat dikenali sebagai Motorgate yang dibina sebagai pintu masuk pulau tersebut dari Roosevelt Island Bridge yang menghubungkan pulau tersebut dengan kawasan Queens.
Ini adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan juga untuk keselesaan penduduk pulau tersebut. Untuk makluman, seperti Kampung Baru yang kini mempunyai Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Pulau Roosevelt juga mempunyai entiti yang hampir sama iaitu Roosevelt Island Operating Corporation.
* Sediakan tempat untuk kesusasteraan dan kesenian Melayu di Kampung Baru. Buat permulaan, tidak perlu satu bangunan besar atau ‘kompleks budaya’. Cukup dengan sebatang jalan atau dataran yang dipenuhi dengan aktiviti kesenian seperti muzik tradisional dimainkan secara langsung, panggung bangsawan dan sebagainya. Biarkan ia terbuka supaya para pelancong dapat menyaksikannya secara bebas dan santai.
* Untuk keselamatan dan ketenangan para penduduk dan pelawat, saya menyarankan agar Kampung Baru dibersihkan dari pendatang asing.
* Sifat semulajadi orang Melayu yang peramah, penyayang dan bertolak ansur harus ditonjolkan di Kampung Baru sebagai produk pelancongan.
Buatkan para pelancong yang datang berasa tenang dan selamat apabila berada di Kampung Baru walaupun tanpa kehadiran anggota polis. Jadikan Kampung Baru sebagai satu oasis di tengah hiruk pikuk kota Kuala Lumpur untuk mereka.
* Jika cadangan ini diterima, para pengendali agensi pelancongan Bumiputera/Melayu harus bekerjasama untuk mempergiatkan promosi pelancongan untuk Kampung Baru. Daripada membawa pelanggan luar negara anda ke Petaling Street dan ‘dibuli’ adalah lebih baik jika pelanggan anda dapat menikmati suasana dan layanan mesra orang Melayu sendiri.
* ‘Para Pembesar’ dan ‘Orang Kaya’ Melayu harus melihat cadangan ini sebagai satu survival orang Melayu pada masa hadapan. Mereka juga harus mengenepikan fahaman politik mereka dan bersatu demi bangsa.
Mereka juga harus ‘kuat’ untuk menolak godaan dari pemaju (terutamanya bukan Melayu) yang sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan tanah milik orang Melayu; dan yang paling penting, mereka harus menghentikan sikap mementingkan diri sendiri agar orang Melayu tidak lagi dihalau dari tanah sendiri. Untuk ingatan semua kaum Melayu, beberapa tahun dahulu peniaga-peniaga/penjaja kecil Melayu pernah dihalau dari berniaga di satu lokasi yang amat popular iaitu di Uptown Damansara.
Jika ada pihak yang berminat untuk merealisasikan cadangan ini, sila hubungi saya di ravers_x79 @yahoo.com. Saya amat berminat untuk turut serta sebagai sukarelawan dalam projek ini, tanpa bayaran. Sekurang-kurang ini adalah jihad saya untuk membangunkan bangsa saya sendiri.
KM, Dutamas
Kuala Lumpur.

Thursday, February 16, 2012

tukang rumah

Bangga jadi tukang rumah
Wartawan Sinar Harian
16 Februari 2012
zulkifli
MACHANG - Bermula sebagai pengutip sampah di tapak pembinaan dengan gaji RM12 sehari di Singapura, Zulkifli Mat Nor, 50 mampu berbangga apabila dia kini bergelar tukang rumah mahir.

Pendek kata, pelanggan hanya perlu memberitahu apa sahaja reka bentuk yang diingini, dia mampu menyiapkannya dengan baik berbekalkan pengalaman selama 18 tahun di Singapura membina pelbagai jenis rumah hingga bangunan setinggi 25 tingkat.

Namun katanya, kemahiran tersebut bukan diperoleh dengan mudah apabila pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhinya tambahan pula, dia tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi.

“Dulu susah nak cari kerja berdekatan dengan rumah tambahan pula saya masih muda ketika itu, 15 tahun jadi saya mengambil keputusan mengikut kawan bekerja di Singapura.

“Pada masa itu bekerja di Singapura adalah perkara biasa, dan ramai orang Kelantan ke sana bagi mencari rezeki memandangkan gaji yang ditawarkan lebih baik,’’ katanya.

Anak kelahiran Kampung Pangkal Durian, Bukit Baka itu berkata, selepas 18 tahun mencari rezeki di negara orang, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan membina keluarga.

Katanya, tempoh yang cukup panjang tersebut memberi ruang yang luas kepadanya menimba pengalaman dalam dunia pembinaan.

“Di sana, saya diajar pelbagai kemahiran yang meliputi bermacam bidang dan seterusnya bergelar pekerja mahir. Saya pernah terlibat dengan pembinaan setinggi 25 tingkat dan ia memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada saya.

“Dengan pengalaman tersebut, saya pulang ke kampung dan mengambil upah membina dan membaiki rumah penduduk kampung dan kawasan sekitar bagi mencari rezeki untuk keluarga,’’ kata ayah kepada lapan anak itu.

Lebih membanggakan apabila, Zulkifli turut membantu menyediakan ruang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampungnya dengan mengambil mereka sebagai pekerja.

Katanya, jumlah pekerja bergantung kepada keluasan rumah yang dibinanya dan tempoh masa pembinaan yang ditetapkan pemilik.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah mempunyai masalah dengan pemilik rumah dan mampu menyiapkan tugasan yang diberikan dengan baik.

“Berbanding ruang lain, bagi saya bahagian bumbung paling memakan masa dan memerlukan kemahiran yang tinggi untuk disiapkan,” katanya yang mula bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, walaupun pendapatannya lebih baik namun, dia tetap berjimat memandangkan enam anaknya masih bersekolah dan harga barangan juga semakin meningkat berbanding sebelum ini.

Wednesday, February 15, 2012

leftenan adnan

14 Feb. memperingati Lt. Adnan


Allahyarham Leftenan Adnan Saidi yang keberaniannya menjadi sebutan sehingga kini.


DALAM keghairahan masyarakat terutamanya generasi muda pada hari ini menyambut tarikh 14 Februari sebagai Valentine Day atau hari memperingati kekasih, kita lupa pada tarikh itu juga mencatatkan satu peristiwa penting yang perlu diingati untuk membangkitkan semangat cinta dan kasihkan negara.
Tarikh 14 Februari menyaksikan satu tragedi, satu pengorbanan dan satu perjuangan seorang anak Melayu, yang tidak pernah merasa gentar berdepan dengan maut demi mempertahankan tanah melayu dari penaklukan tentera Jepun.
Walaupun tewas namun perjuangan beliau tidak pernah ada noktahnya dan semangat itu terus membara bersama-sama pahlawan dan para perjuang tanah air yang lain sehingga ke hari ini.
Mungkin ramai generasi muda hari ini masih tidak mengenali tokoh pejuang ini, Lt. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam sebuah keluarga berketurunan Minangkabau kelahiran Sungai Ramal, Kajang, Selangor dilahirkan pada 1915.
Adnan mendapat pendidikan awal di Pekan Sungai Ramal dalam aliran Inggeris dan merupakan seorang pelajar yang pintar dan berdedikasi.
Setelah tamat persekolahan beliau memulakan karier sebagai guru pelatih selama setahun sebelum memutuskan untuk menyertai tentera pada 1933 ketika berusia 18 tahun.
Beliau merupakan salah seorang daripada 25 anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyertai pasukan Askar Melayu dan berjaya menamatkan latihan serta terpilih sebagai rekrut terbaik.
Pada 1936, beliau dinaikkan ke pangkat Sarjan dan setahun kemudian Lt. Adnan terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI.
Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus beliau dinaikkan ke Pangkat Leftenan Muda dan dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .
Lt. Adnan berkahwin dengan seorang guru di kampungnya, Sophia Pakih Muda serta dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan yang meninggal tidak lama setelah kejatuhan Singapura.
Pada 1941, Lt. Adnan membawa keluarganya tinggal di Pasir Panjang dan ketika berita pihak Jepun bersedia menyerang Singapura, beliau membawa keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang dan pada ketika itu isterinya sedang mengandungkan anak yang ketiga. Itulah kali terakhir Lt. Adnan bersama keluarganya sebelum beliau menemui ajal di tangan Jepun.
Pertempuran Bukit Candu
PERTEMPURAN Bukit Candu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang merupakan lanjutan kepada pertempuran Pasir Panjang, berlaku sehari sebelumnya.
Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut dan merupakan garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu dari serangan Jepun ketika itu.
Bukit Candu merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik iaitu ia boleh melihat bahagian utara Singapura dengan lebih jelas dan merupakan laluan langsung ke kawasan Alexandra yang mana terdapatnya depot bekalan peluru dan gudang utama bekalan makanan, hospital tentera dan kemudahan-kemudahan lain Tentera British. Justeru, lokasi ini perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin.
Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi melancarkan serangan ke pesisiran Selatan Singapura iaitu Pematang Pasir Panjang.
Lokasi tersebut dibedil dengan mortar dan meriam dengan hebatnya, namun Kompeni 'C' dan Lt. Adnan yang ditempatkan di perkampungan Pasir Panjang membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai 'Celah' (Gap) telah memberikan tentangan hebat sehingga memaksa Jepun beralah dan berundur walaupun Pasukan Jepun di bawah Major Kimura mempunyai bilangan anggota yang jauh lebih ramai.
Pada tengah malam hari yang sama, 'C' Coy dengan kekuatan 42 orang terdiri daripada gabungan sebahagian anggota Rejimen Askar Melayu, Rejimen ke-2 Tentera British dan Briged India ke-44, diperintahkan untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu.
Setelah memilih lokasi yang sesuai untuk pertahanan, Lt. Adnan memerintahkan anggotanya memperkukuhkan benteng pertahanan dengan beg pasir di sekeliling kawasan tersebut. Pada petang 14 Februari, pihak Jepun mengatur strategi menggunakan helah dengan menyamar sebagai "Tentera Punjabi", British-Indian Army.
Bagaimanapun Lt. Adnan dapat menyedari helah tersebut apabila perasan sesuatu tidak kena dengan tentera berturban yang mara itu, bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British.
Menyedari helah itu, Lt. Adnan membiarkan tentera Jepun tersebut menghampiri garisan pertahanan sebelum beliau dan anak buahnya melepaskan tembakan daripada mesingan Lewis dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat serta tentera Jepun sekali lagi terpaksa berundur dari Pertahanan Bukit Candu. Dua jam kemudian tentera Jepun melancarkan serangan balas besar-besaran dalam bilangan yang lebih besar.
Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu dengan melibatkan pelbagai jenis senjata seperti granet, bayonet dan parang turut digunakan untuk menghalang askar Jepun daripada menguasai kedudukan tersebut namun bilangan tentera musuh yang ramai tidak mampu dilawan oleh Lt. Adnan dan pasukannya.
Pertempuran yang berlangsung selama 48 jam itu menyebabkan ramai jiwa Askar Melayu terkorban dan tidak kurangnya yang cedera. Namun bagi Lt. Adnan, yang juga cedera parah ketika itu serangan hebat Jepun tidak mampu melunturkan semangatnya.
"Biar Berputih Tulang, Jangan Berputih Mata", kata-kata inilah yang membakar dan terus menyemarakkan lagi semangat juangnya dan rakan-rakan yang lain agar tidak gentar menghadapi Jepun demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah yang terakhir.
Namun Lt. Adnan tewas akhirnya kerana tidak mampu menandingi bilangan Tentera Jepun yang ramai. Bukit Candu akhirnya ditawan Jepun dan beliau sendiri menemui ajal setelah diikat dan digantung di sebatang pokok, lalu ditikam berkali-kali dengan bayonet Jepun.
Mayat beliau dilarang diturunkan daripada pokok tersebut sebagai peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang cuba menentang Jepun akan turut menerima nasib yang sama.
Kematian Lt. Adnan merupakan episod perjuangan seorang anak Melayu yang berjiwa cekal dan kental mempertahankan tanah air tercinta. Semangat dan pengorbanan beliau perlu dikenang dan disemai dalam setiap generasi muda hari ini dengan menjadikan 14 Februari tarikh untuk dikenang, gugurnya seorang pahlawan dan pejuang negara.
Lt. Adnan turut dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Negeri Selangor oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2001 yang membawa gelaran Datuk.
"Biar putih tulang, jangan putih mata," jadi pengajaran
SESUNGGUHNYA keberanian Lt. Adnan dan rakan-rakan yang bertempur bermati-matian merupakan episod yang kekal dalam lipatan sejarah.
Apakah perjuangan dan pengorbanan Lt Datuk Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi? Masih adakah anak bangsa pada hari ini yang mahu mengikut jejak langkahnya yang sanggup berputih tulang daripada berputih mata? Pastinya jika Lt. Adnan dapat melihat Malaysia pada hari ini yang begitu makmur dan pesat membangun, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara ini dengan darah dan nyawanya.
Keberanian Lt. Adnan turut diakui oleh General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan "Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun".
Iktibar dan pengajaran yang boleh kita perolehi dari kisah keberanian Lt. Adnan adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati di kalangan seluruh rakyat tidak kira bangsa dan agama. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan oleh musuh negara.
Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah dan bangsa demi kepentingan material dan diri sendiri serta tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.
Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran yang dikecapi hari ini.
Mereka perlu disedarkan agar tidak sesekali terjerat dengan helah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghuru harakan negara demi kepentingan pihak tertentu.
Mereka harus menjadikan semangat Lt. Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan serta sayang dan cintakan negara.
Seluruh rakyat Malaysia harus bersatu demi mengekalkan keharmonian dan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Terima kasih kepada para pahlawan dahulu yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara ini.
Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan. Sesukar manapun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab untuk mempertahankan sebuah negara yang merdeka.
Pada tanggal ini, 14 Februari, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Lt. Adnan dan marilah bersama-sama kita menghadiahkan sekalung doa buat insan-insan yang selama ini berjuang bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.

agropolitan

100 keluarga pindah ke Agropolitan Besut–Setiu


Ahmad Said (tengah) membuat tinjauan pembangunan Projek Agropolitan Besut-Setiu di Panchur Bederu, Setiu, kelmarin.


SETIU 14 Feb. – Projek Agropolitan Besut-Setiu (BSA) di Panchur Bederu dekat sini bakal memberi manfaat kepada 38 keluarga miskin apabila peringkat pertama fasa satu projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu beroperasi Mei ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek penternakan biri-biri Dorper seluas 104 hektar itu melibatkan pembangunan 38 unit rumah, 40 hektar tanaman rumput Napier, surau, kantin, dewan serbaguna dan tadika.
Menurutnya, sebanyak 2,080 kambing biri-biri baka Dorper dari Australia akan dibawa masuk untuk peringkat pertama dan ditempatkan di 20 kandang di situ.
“Peserta bakal menerima pendapatan RM1,000 sebulan daripada aktiviti premier iaitu ternakan biri-biri dan insentif tambahan apabila projek berkenaan meraih keuntungan kelak,” katanya selepas melawat projek itu semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha‘ari Idris; Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafie dan Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim.
Kata Ahmad, Majlis Pembangunan ECER dan kerajaan negeri akan bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras keseluruhan projek bagi memastikan setiap pencapaian disiapkan mengikut perancangan.
Katanya, peringkat kedua Fasa I melibatkan pembinaan 62 unit rumah, 34 unit kandang biri-biri, 64 hektar tanaman rumput Napier, rumah kedai, rumah pegawai dan kerja-kerja landskap.
Menurutnya, 62 keluarga lagi akan berpindah September ini menjadikan jumlah keseluruhan 100 keluarga dengan tambahan 2,600 ekor biri-biri.
“Selain imbuhan bulanan, peserta berpeluang menambah pendapatan dengan aktiviti sekunder yang akan dilaksanakan seperti tanaman jangka pendek, memproses tinja untuk dijadikan baja organik serta ternakan burung walet.
“Pendapatan peserta dijangka meningkat kepada RM2,000 dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan boleh mencecah RM5,000 untuk tempoh 10 tahun dengan aktiviti seperti industri makanan ternakan, pengeluaran benih rumput dan rantaian nilai kedai daging,” jelasnya.

Sunday, February 12, 2012

baitul husna

Baitul Husna tidak eksploitasi penghuni anak yatim
Wartawan Sinar Harian
12 Februari 2012
Baitul Husna tidak eksploitasi penghuni anak yatim
Selepas mendengar pendapat orang ramai mengenai ketulusan mereka menderma tanpa berkira walaupun ada kalanya ditipu individu yang dikatakan sindiket atau tidak mendaftar dengan jabatan bertanggungjawab, kami temui mereka yang prihatin mengurus rumah anak yatim.

Rumah Baitul Husna Bukit Sekilau adalah antara rumah anak yatim dan kanak-kanak miskin yang mampu menguruskan penghuninya dengan baik.

Pengurusannya juga tidak pernah menganjurkan derma jalanan seperti yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab berselindung di sebalik nama madrasah atau rumah anak yatim tertentu.

Timbalan Pengerusi Unit Carian Dana Baitul Husna, Hilmi Mohd Noor berkata, kanak-kanak di Baitul Husna tidak pernah diarahkan meminta derma daripada masyarakat malah pengurusannya sentiasa mengambil tanggungjawab itu dengan cara terancang.

“Baitul Husna yang menempatkan hanya penghuni perempuan ditubuhkan dua tahun lalu pernah dibiayai Yayasan Al-Khalifah selama enam bulan,” katanya.

Selepas itu, katanya, pengurusan Baitul Husna kemudian berusaha memperkenalkan rumah itu kepada masyarakat dengan pelbagai program bersama ahli korporat dan individu yang sudi menderma.

“Impaknya, Baitul Husna kini semakin dikenali malah ada dermawan yang menghulurkan derma tanpa menyebut nama mereka,” katanya yang turut berbangga dengan pemberian penderma secara tetap.

Mohd Hilmi berkata, pihaknya mewujudkan blog dan facebook semata-mata memperkenalkan rumah anak yatim dan penghuni miskin itu kepada orang ramai.

Menurutnya, walaupun tidak mewah dan lengkap sepenuhnya tetapi mereka masih boleh menikmati kemudahan yang sepatutnya dalam sebuah rumah untuk membina sahsiah dan moral penghuninya.

“Sehingga kini, kita tidak pernah melantik mana-mana individu untuk meminta derma bagi pihak Baitul Husna tetapi saya sentiasa berusaha mendapatkan sumber kewangan untuk perbelanjaan mereka selain derma ikhlas masyarakat,” katanya.

Baitul Husna kini mempunyai 14 penghuni berusia antara 9 hingga 14 tahun masih memerlukan derma orang ramai bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih sempurna.

Mereka yang ingin menghulurkan derma boleh menyumbangkan ke akaun Bank Islam 06082010001642 atau menghubungi Hilmi di talian 0162327061.

oku yg berjaya

Tangan kanan hancur digilis mesin
Wartawan Sinar Harian
12 Februari 2012
Tangan kanan hancur digilis mesin
KUANTAN - Kehilangan tangan kanan akibat kemalangan di tempat kerja pada 2003 tidak melemahkan semangat Ahmad Ramli, 41, dari Felda Sungai Kemahal, Jerantut ­untuk berdikari dengan mengusahakan penternakan lembu bagi ­menampung kehidupan keluarganya.
Tragedi yang menyebabkan ­sebahagian tangan kanannya hancur akibat digilis mesin ketika bekerja di sebuah kilang percetakan di Batu Caves menyebabkan dunia kehidupannya berubah daripada insan ­normal menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).
Kini, Ahmad yang memiliki 40 lembu serta dua pekerja OKU juga berhasrat menambahkan lagi jumlah ternakannya menerusi peruntukan geran RM70,000 yang diterima daripada Skim Bantuan Perniagaan OKU Peringkat Negeri.

Dia antara 12 penerima geran dari seluruh negeri ini yang terpilih menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Menurutnya, dia terharu kerana penantiannya berbaloi dan mula ­memohon sejak 2008 dan meng­hargai usaha kerajaan yang mem­bantu ­golongan sepertinya.

“Syukur kepada ALLAH SWT kerana saya sendiri tidak sangka ter­pilih dan peruntukan geran ini membantu mengurangkan beban dan ­memudahkan usaha saya.
“Saya bercadang menambahkan jumlah ternakan selain mempel­bagaikan lagi usaha seperti menambahkan baka, menghasilkan dedak sendiri dan menanam anak benih untuk meningkatkan lagi pen­dapatan,” kata bapa kepada empat anak itu.

12 tahun baru buka restoran

Miliki restoran selepas 12 tahun
Wartawan Sinar Harian
12 Februari 2012
Miliki restoran selepas 12 tahun
PADANG PAK AMAT - Berbekalkan payung besar dan sebuah meja, Dolasim Mohd Som, 65, menjual gulai daging pada waktu tengah hari yang diletakkan di dalam periuk di tepi jalan utama Pasir Puteh ke Kota Bharu di sini.

Tetapi kini semua itu hanya tinggal kenangan apabila hampir 12 tahun menggunakan periuk untuk menjual gulai daging sebagai sumber pendapatannya selepas bersara.

Ini kerana bapa kepada tiga anak itu boleh tersenyum lebar apabila gulai daging yang dijual sebelum ini tidak lagi dimasak di dalam periuk bahkan menggunakan kawah.

Dolasim berkata, sebelum ini dia hanya menjual di gerai yang dibina sendiri, tetapi selepas mendapat sambutan yang menggalakkan, kini dia sudah memiliki sebuah restoran yang dikenali sebagai Che Dol Gulai Kawah.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini, kerana pada awal penglibatan dalam perniagaan gulai, saya hanya berniaga untuk mendapatkan wang sampingan selepas bersara sebagai askar Melayu.

“Apabila melihat sambutan yang diterima daripada orang ramai, ahli keluarga dan pelanggan tetap memberikan cadangan kepada saya untuk membuka kedai makan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dengan hasil usaha tersebut sekarang ini, dia mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan apabila menggunakan hampir 10 pekerja setiap hari bagi menguruskan restoran yang dibuka dari jam 10.30 pagi hingga 5.30 petang itu.

Dolasim yang menetap di Kampung Wakaf Lanas berkata, setiap hari, lebih daripada 30 kilogram daging dimasak menggunakan dua kawah bagi menampung permintaan orang ramai yang terdiri daripada penduduk setempat dan orang luar dari daerah Pasir Puteh.

Katanya, bagi memudahkan urusan memasak, seorang pembantu khas iaitu Mek Mail, 62, daripada Kampung Nara membantu dia menyiapkan gulai daging kawah yang sedap menggunakan resipi tersendiri.

“Jika dahulu, orang ramai hanya boleh mendapatkan gulai, sahaja tetapi sekarang ini mereka mempunyai banyak pilihan kerana kami juga menyediakan beraneka jenis lauk pauk masakan kampung,” katanya.

Dolasim berkata, melihat kepada kejayaan yang dikecapinya sekarang ia tidak mustahil kerana dengan kerja keras serta semangat bersungguh-sungguh, apa sahaja yang diusahakan akan mencapai kejayaan.

Friday, February 10, 2012

pelepah sawit

Pelepah sawit sumber rezeki
Wartawan Sinar Harian
10 Februari 2012
Pelepah sawit sumber rezeki
SIMPANG BEKOH - Kalau ada kemahuan, di situ ada jalan. Itu yang dibuktikan seorang suri rumah di Kam­-pung Simpang Bekoh, dekat sini apabila menjadikan pelepah pokok kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.
Dengan sumber yang ada, Fatimah Abdullah, 63, mampu menghasilkan lidi penyapu yang ternyata jarang-jarang sekali dibuat, bagaimanapun sebenarnya mendapat permintaan tinggi daripada pembeli.
Menurut Fatimah, lidi penyapu dihasilkan bukan saja digunakan penduduk Jasin, malah terkenal dari penduduk luar daerah, sekali gus me­ngimbau kembali kepakaran masyarakat Melayu tradisional dalam penghasilan sesuatu produk.
“Sebenarnya lidi penyapu yang diperbuat dari pelepah kelapa sawit lebih tahan lama berbanding penyapu diperbuat dari batang padi atau jerami gandum. Sebab itu ia mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, Fatimah berkata, adakalanya dia berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pelepah sawit yang baik.
“Pelepah sawit yang digunakan mestilah daunnya baik serta sesuai untuk menghasilkan lidi penyapu yang tahan lama dan bermutu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.
Menurut Fatimah, dia menghasilkan lidi penyapu pada masa luang sambil ditemani cucunya.
“Penghasilan lidi penyapu hanya boleh dilakukan pada waktu-waktu tertentu, terutama ketika pemetik buah kelapa sawit memungut hasil sawit.
“Setiap hari saya mampu menghasilkan lebih kurang 30 ikat lidi penyapu dan seikat lidi penyapu dijual dengan harga RM2,” katanya.
Fatimah turut berharap kemahiran membuat lidi penyapu menerusi pelepah sawit tidak akan hilang untuk generasi akan datang.

reka motosikal

Mekanik cipta motosikal mini daripada bahan terbuang

10 Februari 2012
Mekanik cipta motosikal mini daripada bahan terbuang
KOTA BHARU - Bagi Rohazman Affendi Abdul Rahim, barangan terbuang seperti besi buruk, tin kosong dan botol plastik beserta enjin pemotong
rumput boleh direka bentuk menjadi motosikal mini.

Motosikal mini unik ciptaan Rohazman, 46, itu kini menarik perhatian sehingga ada yang sanggup menempah motosikal berkenaan yang berharga antara RM800 hingga RM1,000 sebuah.

Mekanik motosikal dengan pengalaman lebih 15 tahun itu mendapat ilham mencipta motosikal mini berkenaan lima tahun lalu "bermodalkan" basikal rosak dan mesin rumput yang tidak boleh dibaiki.

"Idea berkenaan tercetus selepas ada seorang penduduk datang membaiki mesin rumput yang rosak, bagaimanapun ia tidak dapat dibaiki kerana tiada alat ganti berikutan mesin berkenaan jenis yang lama dan dia memberinya kepada saya.

"Selepas itu, saya teringatkan basikal milik anak yang rosak dan mengambilnya dari stor sebelum meletakkan kedua-dua barangan berkenaan
sebelah-menyebelah dan berfikir apa yang boleh dibuat menggunakan bahan ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di bengkelnya di Binjai, Kubang Kerian di sini.

Katanya selepas beberapa lama berfikir dia mendapat idea untuk membuat motosikal mini dan mula mengubah suai basikal anaknya itu secara perlahan-lahan selepas menyiapkan kerja di bengkel.

"Saya mula membina 'tapak' pada basikal itu untuk diletakkan enjin mesin rumput berkenaan dan daripada itu mula diubah suai sedikit demi sedikit hingga akhirnya ia berjaya disiapkan selepas kira-kira sebulan mencuba," katanya.
Berikutan kejayaannya membina motosikal mini itu, ada penduduk yang membuat tempahan daripada beliau untuk merasai sendiri kelainan menunggang kenderaan dua roda yang dibuat khas, katanya.
"Malah mereka sendiri ada yang turut menyediakan bahan berkaitan seperti basikal dan enjin mesin rumput," katanya.

Rohazman berkata beliau memerlukan masa dua minggu untuk menyediakan motosikal mini itu jika menerima tempahan pelanggan.
Katanya beliau telah mendapat sembilan tempahan daripada penduduk yang menunggang kenderaan berkenaan di kawasan kampung.

"Bagaimanapun, saya hanya melakukannya pada waktu terluang dan minat mendalam mengenai barangan berkaitan mekanikal juga menjadi pendorong untuk membina motosikal ini," katanya.- Bernama

Thursday, February 9, 2012

tawaran phd

Umur 23 tahun dapat tawaran sambung PhD
Wartawan Sinar Harian
7 Februari 2012

BALING - Walaupun usianya baru mencecah 23 tahun, Nurliyana Mohd Yuosf, dari Kampung Charuk Semeliang, mukim Siong mengejutkan seluruh penduduk kampungnya setelah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam ­bidang ekonomi.

Anak kedua pasangan Mohd Yusof Hussin, 49, dan Norsiha Amir, 48, cemerlang dalam akademik dan kokurikulumnya membuatkannya terpilih untuk mengikuti ­pengajian peringkat PhD.

Nurliyana berkata, tawaran itu adalah hadiah paling bernilai kepadanya dan keluarga untuk mengubah nasib keluarganya yang hidup serba sederhana.

“Tawaran ini akan digunakan sebaik-baiknya. Saya ­tidak menyangka akan terpilih untuk melanjutkan pengajian setinggi ini,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi UUM itu turut berbakti kepada penduduk kampungnya dengan menganjurkan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar sekolah menengah dan rendah.

“Ilmu yang dimiliki adalah untuk disampaikan kepada orang lain. Jadi, sesuai saya membantu penduduk kampung ini dalam pelajaran mereka. Kini, saya perlu menyambung pelajaran. Sekiranya tamat pengajian kelak, saya ­terus membantu mereka yang memerlukan terutama dalam pelajaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurliyana yang bercita-cita menjadi penganalisis ­ekonomi itu tidak pernah menjadikan kekangan hidup sebagai halangan kepadanya.

“Bagi saya, tumpuan dan latihan adalah perkara yang paling penting. Usaha dan doa kita akan mendapat hasil yang setimpal,” katanya.

Kejayaan anak muda ini mendapat perhatian Penyela­ras Parlimen Baling, Datuk ­Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Secara peribadi, saya berbangga dengan kejayaan Nurliyana yang berjaya melanjutkan pelajaran peringkat PhD walaupun umurnya baru mencecah 23 tahun dan masih muda,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuesday, February 7, 2012

cacat

Cacat bukan penghalang
ROSMIZA KASIM
6 Februari 2012
cacat bukan penghalang
KOTA BHARU - Biarpun kudung kedua-dua tangan dan kaki tetapi ia tidak menjadi halangan bagi Tuan Man Tuan Weh, 50, untuk mengejar cita-citanya menjadi pakar motivasi suatu hari nanti.

Sehubungan itu, bapa kepada tiga anak itu nekad untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat ijazah dalam jurusan Kaunseling Psikologi di sebuah universiti swasta di Lundang di sini. Lebih beruntung bagi Tuan Man apabila isterinya, Rosiah Abdullah, 41, juga sanggup belajar bersamanya dan sekali gus boleh membantu pergerakannya serta memberi semangat kepadanya.

Tuan Man yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Jabatan Kerja raya Negeri Kelantan berkata, pernah kecundang pada zaman persekolahan tidak menjadi pematah semangat kepadanya untuk sekali lagi mencuba bagi mencapai impiannya.

“Walaupun kelainan upaya, tetapi saya beranggapan pendidikan ini sangat penting dan kali ini saya akan buktikan dengan semangat yang ada serta berkat keizinan ALLAH SWT saya boleh berjaya. Selain itu, saya mahu membuka minda tiga anak yang masih bersekolah ini supaya jangan putus harapan,” katanya ketika ditemui sempena pendaftaran pelajar baru Open University Malaysia (OUM), di sini.

Tuan Man berkata, dia berhasrat untuk mencurah baktinya bagi memberi kesedaran kepada individu yang mempunyai masalah dalam kehidupannya. Pengarah Pusat Pembelajaran OUM, Datuk Dr Nik Najib Nik Abdul Rahman berkata, Tuan Mat adalah satu-satunya penuntut istimewa dan beliau bangga dengan kesungguhannya.

dadih kelapa

Hamidah mampu jual 500 dadih sehari


HAMIDAH Deris menunjukkan dadih kelapa yang diprosesnya untuk pasaran di Taman Negara Kuala Tahan Seberang, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/Haris Fadilah Ahmad


JERANTUT 6 Feb. - Siapa sangka dengan hanya menjual dadih kelapa, seorang suri rumah tangga mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.
Selain enak untuk diminum, dadih kelapa mempunyai pelbagai khasiat kepada manusia dan dikatakan boleh menjadi penawar kepada racun.
Penjual dadih kelapa di Taman Negera Kuala Tahan, Hamidah Deris, 41, berkata, penjualan dadih kelapa pada musim cuaca panas itu meningkat dan mampu menjual sehingga 500 bekas dalam masa sehari.
"Dalam masa tiga hari jualan saya boleh mencecah 1,000 bekas dan musim cuaca panas ini boleh mendatangkan rezeki yang berganda kepada saya.
"Setiap hari memang tak menang tangan. Saya dan suami, Ahmad Husni Awang tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang membeli ke kedai kami," katanya, ketika ditemui di kedainya di Pusat Pertumbuhan Baru Kuala Tahan Seberang, Kuala Tahan dekat sini baru-baru ini.
Menurut Hamidah, pada mulanya, dia hanya menjual secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu setelah memperoleh kemahiran daripada rakannya membuat dadih kelapa di bandar ini.
"Saya lihat pelanggan tempatan dan pelancong suka minum air kelapa dan mengambil keputusan untuk membuat dadih biasa dan pandan kerana rasanya lebih enak serta baunya yang lebih wangi.
"Pada mulanya saya hanya jual sekitar 50 bekas dalam sehari dan langsung tak sangka kini saya boleh jual sehingga 500 bekas dalam tempoh itu," ujarnya.
Katanya, kebiasaannya dia memperoleh RM500 sehari dan pernah menjangkau RM1,000 apabila dadih kelapanya ditempah untuk majlis perkahwinan serta majlis keramaian di Taman Negara Kuala Tahan.
"Saya bercadang melebarkan perusahaan dadih ini dan memerlukan bantuan sebuah peti sejuk yang lebih besar pada masa akan datang," katanya.

Sunday, February 5, 2012

perniagaan francaise dari blog fazlisyam.com

PERNIAGAAN FRANCAIS
    Di dalam sistem francais kita ada franchaisor dan franchaisee. Franchaisor adalah syarikat yang sudah berjaya yang akan memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha kecil menjalankan bisnes yang sama melalui perjanjian francais. Franchaisor akan memberi hak untuk memasarkan atau mengeluarkan produk mereka kepada franchaisee. Franchaisee akan membayar royalti atau pembayaran khusus yang ditetapkan dalam perjanjian francais.
Sebagai contoh restoran McDonalds adalah franchaisor yang akan memberi peluang kepada franchaisee membuka restoran McDonalds. Franchaisee akan memulakan perniagaan di bawah jenama McDonalds di mana franchaisor akan memastikan operasi franchaisee seragam dengan mana-mana out­et McDonalds di seluruh dunia.
    Kadar kegagalan memulakan perniagaan sendiri adalah amat tinggi terutama jika kurang pengalaman memulakan perniagaan contohnya membuka restoran. Besar kemungkinan restoran mereka akan gagal disebabkan oleh fakta-fakta penjenamaan, promosi dan penerimaan pelanggan kepada produk makanan restoran tersebut. Untuk mengurangkan risiko ini, lebih baik kita menjadi franchaisee kepada restoran-restoran yang berjenama supaya kita dapat memulakan perniagaan produk yang sudah dikenali ramai dan dapat menggunakan sistem franchaisor untuk menjalankan operasi secara optimum. Dengan itu, kemungkinan kejayaan kita menjalankan bisnes ini adalah lebih tinggi.
 Trend di seluruh dunia menunjukkan bahawa apa sahaja barangan atau perkhidmatan dapat difrancaiskan. Negara yang paling banyak menjalankan francais adalah Amerika Syarikat di mana hampir semua bisnes dijalankan secara francais. Antara perniagaan francais dari Amerika yang sudah bertapak di Malaysia adalah McDonalds, Kentucky Fried Chicken (KFC), Pizza Hut, A&W dan banyak lagi.
 
 
 
 
    Saya akan memberikan beberapa jenama francais yang mungkin boleh dilaksanakan di Malaysia sebagai contoh seperti:
a. Francais Subway: Menjual pelbagai jenis sandwich yang laris. Kini Subway mempunyai lebih dari 20,000 outlet di seluruh dunia
b. Starbuck : Bistro yang sadang berkembang pesat di seluruh dunia
c. Chemdry : Francais membersihkan karpet, langsir dan Iain-lain
d. Jani-King : Francais industrial and commercial cleaning service
e. Jazzercise : Francais untuk fitness center seperti aerobik, slimming dan Iain-lain.
f. Futurekid Inc : Francais untuk pembelajaran komputer kanak-kanak Francais di atas sebagai contoh sahaja. Jika anda melayari internet anda boleh pilih bermacam bidang francais.
Sebagai contoh anda boleh 'search' di Googles dan taipkan key word umpamanya francais produk barangan kulit. Anda akan dapat mengenali franchaisor yang menjalankan bisnes barangan kulit. Taip apa sahaja bisnes francais yang anda minat dan akan mendapat banyak maklumat.
Jika anda minat bisnes masakan, mungkin anda boleh memasuki bidang francais restoran. Sebaiknya tanya diri sendiri apa minat anda dan apa yang memberi kepuasan kepada anda. Kita perlu faham bahawa menjalankan bisnes francais bukan mudah dan perlu kepada kegigihan dan kerja kuat.

katering dari blog fazlisyam.com

PANDUAN PERNIAGAAN KATERING
1. Pilih jenis perniagaan katering yang akan anda jalankan. Apakah katering yang bersifat khusus atau umum. Katering khusus bererti katering anda hanya menyajikan untuk satu acara tertentu dengan menu khusus, misalnya, majlis hari jadi, mesyuarat atau pesta formal. Sementara katering umum lebih bersifat fleksibel. la boleh digunakan untuk acara apa sekalipun.
2. Lakukan tinjauan secara kecil-kecilan untuk mengetahui pesaing-pesaing anda. Cuba cari maklumat mengenai soal harga, kualiti makanan serta kualiti penyajiannya. Makin banyak informasi yang boleh anda cari semakin banyak ilmu yang anda cari, anda sebenarnya semakin bersedia menghadapi persaingan dalam perniagaan katering.
3. Hitung kos pengeluaran yang diperlukan untuk memulakan perniagaan. Di awal anda membuka perniagaan, buatlah pel-bagai promosi. Misalnya mengedarkan risalah yang mengandungi nombor telefon, alamat dan sebagainya atau jika anda lebih berkemampuan, tidak salah jika anda mengiklankan perniagaan anda di dalam surat khabar. Untuk lebih cepat dan praktikal, anda juga boleh mengiklankan perniagaan di dalam iklan di radio mahupun di dalam internet. Selain itu salah satu caranya adalah dengan menawarkan harga yang berpatutan di atas setiap tempahan yang diterima daripada pelanggan. Dengan cara itu, anda mampu menarik lebih ramai pelanggan membuat tempahan
 

4. Untuk perniagaan katering, anda tidak perlu mempertimbangkan faktor lokasi. Hal ini adalah kerana pemesanan boleh dilakukan melalui telefon atau dari mulut ke mulut.
5. Manfaatkanlah anggota keluarga atau teman-teman untuk membantu anda memulakan perniagaan katering. Percayalah, tindakan ini dapat memberikan peluang pekerjaan kepada ahli keluarga anda. .
6. Selain itu cuba buat tinjauan perkakas barang yang diperlukan untuk industri katering ialah pinggan mangkuk, sudu, garpu, pisau, peralatan dapur, lapik meja, meja, kerusi, tisu dan sebagainya. Semua itu perlu diambil kira. Untuk itu anda boleh membeli barang-barang tersebut secara borong untuk mendapatkan harga yang murah. Beli dalam jumlah yang banyak jadi anda dapat menjimatkan perbelanjaan pengeluaran anda.
7. Namun jika semua ini mampu anda sediakan tetapi tidak mempunyai modal, jangan bimbang. Anda boleh memulakan perniagaan anda dengan membuat pinjaman sama ada daripada pihak bank mahupun daripada pihak yang berkaitan. Walaupun tiada modal, anda masih berpeluang membuka perniagaan asalkan anda tahu caranya.

buat telur masin

Cara Membuat Telur Itik Masin
30 Mei

Setiap kali ke gerai ataupun restoran makanan, saya selalu melihat telur masin yang dibelah dua, dan adakala saya mengambilnya untuk dimakan bersama dengan nasi, dan adakalnya saya hanya memandangnya sambil menangguhkan hasrat di hati. hehehe.. Secara tidak langsung, hari ini saya menemui maklumat mengenai cara membuat telur itik masin. Bukankah mudah kalau ia dibuat sendiri, dan boleh juga dibuat untuk menambah sumber pendapatan? Em, rezeki Allah terbentang luas di mana-mana. Selamat membaca semua…

Pendahuluan

Telur masin adalah telur yang diawet yang disediakan dari telur itik. Telur masin merupakan makanan yang berkhasiat. Proses pengawetan telur masin adalah satu proses yang mudah, ringkas dan menguntungkan. Proses yang dilakukan tidak melibatkan peralatan yang mahal. Memandangkan kandungan zat pemakanannya yang tinggi, telur masin amatlah sesuai dijadikan sumber makanan protin.

Bahan Mentah

Bahan yang diperlukan untuk mengeluarkan 2500, 500 atau 100 biji telur masin:-
BAHAN 2500 biji 500 biji 100 biji
Telur Itik (biji) 2500 500 100
Garam Halus (kg) 18.0 3.6 0.72
Tanah Liat kering (tanah warna kuning) (kg) 22.5 4.5 0.70
Air (liter) 15 5.0 0.60
Sekam Padi yang dibakar hitam (kg) 6.25 1.25 0.25

Cara memproses

Telur itik dipilih dari jenis bermutu tinggi. Telur yang mempunyai kuning telur yang kemerah-merahan adalah lebih sesuai kerana ia akan menghasilkan telur yang bermutu tinggi.

Telur dibasuh untuk membersihkan segala kotoran yang melekat pada kulitnya.
Tanah liat dikeringkan, ditumbuk halus dan diayak untuk memudahkan penyediaan perekat (paste).
Perekat disediakan dengan membancuh tanah liat, garam halus dan air di dalam bekas sehingga sebati.
Telur dicelup ke dalam perekat agar satu lapisan perekat menyaluti telur tersebut.
Telur tersebut kemudiannya digolekkan di atas sekam padi bakar (hitam) sehingga keseluruhan telur tadi disaluti sekam padi dan lapisan asal (perekat) tidak tanggal.
Telur dimasukkan ke dalam kotak kayu dan disimpan selama 25 – 30 hari sebelum dijual.

Sumber:http://www.jphpk.gov.my

Saturday, February 4, 2012

lain salah lain tutup

‘Bukan di taska saya’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seorang pemilik sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Seksyen 8, di sini, mendakwa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak melulu menutup taska miliknya itu selepas dikatakan berlaku kejadian bayi lelaki berusia tujuh bulan jatuh hingga retak tengkorak.

Pemilik Taska Manjaku, Monaliza Mokhtar, 42, berkata kejadian pada 26 Disember lalu itu berlaku bukan di taska miliknya, tetapi di tempat tinggal pekerjanya di Seksyen 3 dan bayi itu anak bekas pekerjanya.


Monaliza mendakwa pihak JKM tidak mempedulikan penjelasannya berhubung perkara itu sebaliknya menutup taska berkenaan sehingga punca rezekinya terjejas.

“Saya dimaklumkan pekerja yang tinggal di rumah itu bahawa bayi berkenaan terjatuh ketika dalam buaian yang dijaga ibu saudaranya iaitu seminggu sebelum bayi itu dihantar ke taska saya. “Pada 6 Januari lalu, ketika bayi itu dalam jagaan taska saya di Seksyen 8, bayi berkenaan menangis tanpa henti dan mulutnya berbuih sebelum saya bergegas membawanya ke hospital.


“Saya terlalu risaukan keadaannya dan saya bayarkan kos rawatan sementara menantikan ibu bapa bayi itu pulang daripada bercuti di kampung mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.


Beliau berkata, dia mempunyai beberapa pekerja lain sebagai saksi yang boleh menyokong apa yang berlaku pada hari kejadian, selain sudah melaporkan perkara sebenar kepada polis.

Click Here

“Malah, polis mengesahkan tiada laporan dibuat terhadap saya atau pekerja saya di taska,” katanya.


Lebih dikesalkan, katanya, apabila ibu bayi itu yang juga bekas pekerjanya di pusat itu menghantar SMS mengancam untuk memanggil media ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tempat bayinya dimasukkan untuk memburukkan beliau.

harga emas melonjak

Harga emas jangka cecah RM6,000 satu auns

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HARGA emas dijangka terus meningkat hingga mencecah harga purata AS$1,975 (RM6,000) bagi satu auns (28.35g) menjelang suku keempat tahun ini berikutan sentimen positif terhadap komoditi itu meskipun ketika situasi ekonomi global berdepan keadaan tidak menentu.

Ketua Pakar Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank, Steve Brice berkata, selain emas, harga minyak turut dijangka naik kepada AS$100 (RM301) setong menjelang separuh kedua tahun ini.


Beliau berkata, terdapat empat faktor yang mendorong peningkatan harga emas iaitu jumlah hutang tinggi di barat, kadar faedah sebenar yang negatif, permintaan tinggi dari China, India dan bank-bank pusat serta bekalan terhad komoditi berkenaan.

“Suasana tidak menentu ekonomi global secara berterusan turut merangsang minat terhadap emas sebagai alternatif bagi melindungi nilai berbanding pelaburan lebih berisiko.


“Kenaikan harga minyak pula disebabkan risiko ketidakstabilan politik di Timur Tengah dan permintaan kukuh daripada pasaran baru muncul terutama China,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.


Sementara itu, katanya pasaran ekuiti di negara ini yang mencatatkan prestasi kukuh tahun lalu, kini sudah meningkat.

Friday, February 3, 2012

pekerja fb jutawan

1,000 pekerja Facebook jadi jutawan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ZUCKERBERG  hanya memiliki kira-kira satu per lima daripada saham syarikat Facebook Inc.
ZUCKERBERG hanya memiliki kira-kira satu per lima daripada saham syarikat Facebook Inc.
SEBAHAGIAN daripada pekerja Facebook yang bakal menjadi jutawan menjadi penghias dokumen tawaran IPO dikemukakan Facebook Inc kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Saham AS.
SEBAHAGIAN daripada pekerja Facebook yang bakal menjadi jutawan menjadi penghias dokumen tawaran IPO dikemukakan Facebook Inc kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Saham AS.
LOS ANGELES: Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun untuk merancang pengembaraan serba mewah, mengimpikan memandu kereta sport paling mahal dan menetap di apartmen serba lengkap di California.
Kini, ketika proses pengapungan bernilai RM15 bilion Facebook di pasaran saham semakin hampir, sekurang-kurangnya 1,000 pekerja rangkaian sosial berpangkalan di Menlo Park itu akan bakal menjadi jutawan.

Semalam, Facebook mengemukakan kertas kerja kepada pihak berkenaan untuk penawaran penyenaraian awam (IPO) paling ditunggu-tunggu sejak langkah sama dilakukan Google pada 2004.
Tindakan itu dijangka menjadikan syarikat sangat berjaya itu bernilai sehingga RM300 bilion.

Syarikat yang mempunyai 3,000 pekerja itu berharap dapat menyenaraikan Facebook di bawah simbol FB di Pasaran Saham New York atau Pasaran Saham Nasdaq.

Dalam peraturan difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Saham, Facebook Inc membayangkan harapannya untuk mengumpul sehingga AS$5 bilion (RM15 bilion) melalui IPO berkenaan dan ia adalah rekod baru untuk syarikat teknologi di pasaran saham selepas Google mencatatkan nilai RM5.73 bilion pada 2004.
Click Here

Ia menjadi perubahan besar terhadap syarikat yang dijelaskan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Inc, Mark Zuckerberg, dalam dokumen berkenaan sebagai “pada peringkat awal tidak dicipta untuk menjadi syarikat.” “Ia dibangunkan untuk menyempurnakan misi sosial - bagi menjadikan dunia lebih terbuka dan saling berhubung,” katanya.

Zuckerberg juga menyatakan, mereka menanam budaya unik dan pendekatan pengurusan dikenali sebagai “Kaedah Penggodam.” “Ungkapan ‘penggodam’ diberi gambaran negatif secara berlebihan dalam media sebagai seseorang yang menceroboh komputer.
“Hakikatnya, penggodaman bermaksud membina sesuatu dengan pantas atau mencuba batasan kemampuan diri,” katanya.

Dokumen dikemukakan Facebook Inc juga mendedahkan beberapa fakta penting firma banyak berahsia itu, selain kawalan ketat Zuckerberg ke atas pelbagai aspek pengurusan syarikatnya.

Ketika semua pihak menyangka setiap penutur berbahasa Inggeris memiliki akaun Facebook, sebenarnya rangkaian itu baru meneroka 60 peratus pasaran di Amerika Syarikat, Britain dan paling popular di Chile, Turki dan Venezuela.

Dokumen itu menyatakan, mereka menyasarkan China kini mengharamkan Facebook sebagai pasaran besar selanjutnya, tetapi ragu mampu menyediakan dasar tapisan diterima kerajaan negara berkenaan. - DM